Pelajar hilang selepas ke tandas – Sinar Harian


Pelajar hilang selepas ke tandas
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Oktober 2013
  • Pelajar hilang selepas ke tandasFatin Afifah (kanan) ketika bergambar bersama Zarina.
< 1 / 1 >

SUNGAI PETANI – “Pulanglah, ibu tak marah. Kami cukup risaukan keadaan kakak. Kalau ada dekat sini, baliklah segera. Ibu bimbang sampai tak dapat nak lelapkan mata,” luah Zarina Mohd Noor, 39, yang mencari anak keduanya, Fatin Afifah Mohd Fazli, 16, sejak disedari hilang, petang kelmarin.

Zarina berkata, ketika kejadian, Fatin Afifah bersama anak sulung, Mohd Amirul Mukhlis, 17, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di mana kedua-duanya belajar di sekolah berkenaan.

“Selalunya mereka letak motosikal di pekarangan masjid berhadapan sekolah, begitu juga semalam (kelmarin). Tetapi, Fatin Afifah memaklumkan dia sakit perut dan singgah di tandas masjid sementara abangnya terus masuk ke kelas,” katanya kepada Sinar Harian.

Zarina berkata, Mohd Amirul berasa hairan apabila rakan adiknya bertanyakan mengapa Fatin Afifah tidak masuk ke kelas ketika mahu pulang dari sekolah, kelmarin.

Menyedari keadaan itu, dia terus memaklumkan keluarga selain mencari adiknya di kawasan sekitar termasuk di rumah rakan serta hospital kerana bimbang sekiranya ditimpa sesuatu.

Menurutnya, anak keduanya cukup rapat dengan Mohd Amirul serta dua adik lain dan kehilangannya adalah satu tamparan buat mereka sekeluarga.

“Adik perempuan yang berusia 10 dan lima tahun asyik menangis dan bertanyakan kakak mereka.

“Saya juga bimbang jika dia terpengaruh dengan rakan luar mahupun mana-mana pihak tetapi sebelum ini kami cukup memantau pergerakannya sehingga ke mana-mana sahaja ditemani tanpa membiarkan dia sendiri,” katanya.

Katanya, dia tidak nampak sebarang perubahan ganjil ke atas anaknya malah mereka bertiga keluar bersama (bersama anak sulung) sehari sebelum kejadian tanpa sebarang masalah.

“Dia anak yang baik, selalunya dia tidak pernah bersikap begini. Saya merayu sangat sekiranya dia ternampak berita ini baliklah segera.

“Saya juga bimbang sekiranya dia diawasi mana-mana pihak, saya minta pulangkan anak saya dalam keadaan selamat,” katanya.

Laporan mengenai kehilangan mangsa dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, kelmarin.

Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Zarina di talian 017-5847659 atau suaminya, Fazli Fisol, 43, di talian 017-5520553.

Makan nasi berlauk cicak – Sinar Harian


Makan nasi berlauk cicak
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Oktober 2013
  • Makan nasi berlauk cicakSeekor cicak yang terdapat dalam makanan dihidangkan kepada pelajar di sebuah kantin sekolah.
< 1 / 1 >

JITRA – Seorang waris pelajar sebuah sekolah di sini kecewa dengan kualiti makanan yang dihidangkan kepada pelajar sehingga menyebabkan anaknya hampir termakan cicak yang terdapat dalam hidangan harian di sekolah itu.

Waris mangsa, Fawzi Ali berkata, dia dimaklumkan oleh anaknya selepas terjumpa seekor cicak bersama ikan goreng dalam nasi yang dihidangkan untuk makan tengah hari pelajar pada minggu lalu.

Menurutnya, anaknya merasa loya apabila melihat seekor cicak dalam pinggan lalu memaklumkan kepada pihak kantin.

“Bagi mengelak berlakunya kekecohan, pengusaha itu menggantikan nasi dan lauk yang lain kepada anak saya.

“Saya sungguh kecewa dengan pihak pengurusan kantin yang lalai dalam menyediakan makanan kepada pelajar hingga membolehkan berlakunya keracunan.

Apabila saya melihat gambar itu, ia sungguh menjijikkan dan tidak wajar perkara itu boleh berlaku,” katanya.

Fawzi berkata, sebelum ini dia pernah mendengar aduan daripada rakan anaknya yang sering terjumpa ulat dalam makanan yang dihidangkan kepada pelajar.

Katanya, dia berharap pihak berkenaan datang menyiasat kualiti makanan yang dihidangkan kepada pelajar di sekolah terbabit.

“Saya berharap Kementerian Pendidikan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak pengurusan kantin sekolah itu kerana jika dibiarkan, ia dibimbangkan akan menyebabkan berlakunya perkara yang lebih serius kepada pelajar sekolah itu,” katanya.

Diugut lapor pelajar merokok – Sinar Harian


Diugut lapor pelajar merokok
SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
29 Oktober 2013
  • Diugut lapor pelajar merokokMuhammad menunjukkan laporan polis di samping bapanya yang terkilan dengan kejadian itu.
< 1 / 1 >

GEORGETOWN – “Kalau orang lain tak ada di sini, dah lama aku bunuh hang (engkau)”. Itu ugutan yang diterima seorang pelajar dari sebuah sekolah menengah di Balik Pulau setelah memberi senarai nama pelajar yang disyaki merokok di sekolah berkenaan.

Menceritakan detik kejadian, Muhammad (bukan nama sebenar), 16, yang baru dilantik menjadi Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) pada Jun lalu berkata, kejadian itu berlaku setelah dia diminta untuk memberi senarai nama pelajar berkenaan kepada ketuanya minggu lalu.

“Ketua saya pelajar perempuan, oleh itu, untuk mengetahui apa yang berlaku di asrama lelaki, dia meminta saya untuk memberikan senarai pelajar yang merokok.

Saya kemudiannya memberikan 15 nama kepadanya. “Hal itu kemudiannya diketahui kumpulan pelajar berkenaan yang menyerang saya pada malam Sabtu lalu.

Pada mulanya, kira-kira 20 pelajar memanggil saya di asrama dan membawa saya ke belakang asrama untuk menyoal saya mengapa saya memberi nama mereka kepada ketua saya,” katanya kepada media di rumah keluarganya semalam.

Menurutnya, dalam keadaan gelap yang hanya disinari cahaya lampu kaki lima, kumpulan pelajar itu terus menyoal berhubung tindakannya menyerahkan nama mereka kepada ketua LDP.

“Mereka tidak puas hati dengan tindakan saya itu.

Sehubungan dengan itu, tiga daripada pelajar berkenaan memukul saya di perut dan di badan yang mana, selebihnya hanya melihat kejadian itu.

Kejadian itu berlaku kira-kira 20 minit sebelum seorang pelajar tingkatan lima datang dan meredakan keadaan.

“Selepas menceritakan kejadian berkenaan kepada pelajar tingkatan lima itu, saya kembali ke asrama untuk tidur.

Bagaimanapun, pada jam 2.30 pagi, saya dikejutkan lagi dengan kehadiran lima pelajar lain yang menyoal perkara sama,” katanya.

Muhammad yang masih trauma berkata, dia kemudiannya ditumbuk di perut, bahu kiri serta kepalanya dihentak ke dinding oleh kelima-lima pelajar itu.

“Saya hanya mampu menahan kesakitan. Dalam menahan kesakitan itu, salah seorang daripada mereka mengambil cermin tingkap dan mengugut untuk membunuh saya.

“Bagaimanapun, setelah dibantu oleh rakan-rakan yang lain, saya dilepaskan kira-kira jam 4 pagi. Saya terus menghubungi bapa dan kemudiannya warden memanggil saya untuk diambil keterangan. Bapa yang tiba kemudiannya membawa saya membuat laporan polis dan Hospital Balik Pulau untuk membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa berkata, dia terkilan dengan kejadian itu dan berharap agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap pelajar yang terlibat.

“Saya terkilan dengan kejadian itu walaupun ia baru kali pertama. Saya sedih apabila anak saya diperlakukan sedemikian. Dia hanya menjalankan tugas, mengapa sampai begini dia dipukul? Tidak dapat saya bayangkan perasaan saya ketika sampai di sekolah tempoh hari, lihat anak saya dalam keadaan trauma dengan bajunya terkoyak.

“Saya tidak pasti dengan tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat, namun sehingga hari ini (semalam), saya belum dipanggil pengetua sekolah untuk menerangkan perkembangan kes itu. Dari apa yang saya tahu, masih ada pelajar yang terlibat belum diambil tindakan,” katanya.

Menurutnya, dia belum membuat keputusan sama ada mahu menukarkan anaknya ke sekolah lain ataupun sebaliknya.