Diugut lapor pelajar merokok – Sinar Harian


Diugut lapor pelajar merokok
SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
29 Oktober 2013
  • Diugut lapor pelajar merokokMuhammad menunjukkan laporan polis di samping bapanya yang terkilan dengan kejadian itu.
< 1 / 1 >

GEORGETOWN – “Kalau orang lain tak ada di sini, dah lama aku bunuh hang (engkau)”. Itu ugutan yang diterima seorang pelajar dari sebuah sekolah menengah di Balik Pulau setelah memberi senarai nama pelajar yang disyaki merokok di sekolah berkenaan.

Menceritakan detik kejadian, Muhammad (bukan nama sebenar), 16, yang baru dilantik menjadi Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) pada Jun lalu berkata, kejadian itu berlaku setelah dia diminta untuk memberi senarai nama pelajar berkenaan kepada ketuanya minggu lalu.

“Ketua saya pelajar perempuan, oleh itu, untuk mengetahui apa yang berlaku di asrama lelaki, dia meminta saya untuk memberikan senarai pelajar yang merokok.

Saya kemudiannya memberikan 15 nama kepadanya. “Hal itu kemudiannya diketahui kumpulan pelajar berkenaan yang menyerang saya pada malam Sabtu lalu.

Pada mulanya, kira-kira 20 pelajar memanggil saya di asrama dan membawa saya ke belakang asrama untuk menyoal saya mengapa saya memberi nama mereka kepada ketua saya,” katanya kepada media di rumah keluarganya semalam.

Menurutnya, dalam keadaan gelap yang hanya disinari cahaya lampu kaki lima, kumpulan pelajar itu terus menyoal berhubung tindakannya menyerahkan nama mereka kepada ketua LDP.

“Mereka tidak puas hati dengan tindakan saya itu.

Sehubungan dengan itu, tiga daripada pelajar berkenaan memukul saya di perut dan di badan yang mana, selebihnya hanya melihat kejadian itu.

Kejadian itu berlaku kira-kira 20 minit sebelum seorang pelajar tingkatan lima datang dan meredakan keadaan.

“Selepas menceritakan kejadian berkenaan kepada pelajar tingkatan lima itu, saya kembali ke asrama untuk tidur.

Bagaimanapun, pada jam 2.30 pagi, saya dikejutkan lagi dengan kehadiran lima pelajar lain yang menyoal perkara sama,” katanya.

Muhammad yang masih trauma berkata, dia kemudiannya ditumbuk di perut, bahu kiri serta kepalanya dihentak ke dinding oleh kelima-lima pelajar itu.

“Saya hanya mampu menahan kesakitan. Dalam menahan kesakitan itu, salah seorang daripada mereka mengambil cermin tingkap dan mengugut untuk membunuh saya.

“Bagaimanapun, setelah dibantu oleh rakan-rakan yang lain, saya dilepaskan kira-kira jam 4 pagi. Saya terus menghubungi bapa dan kemudiannya warden memanggil saya untuk diambil keterangan. Bapa yang tiba kemudiannya membawa saya membuat laporan polis dan Hospital Balik Pulau untuk membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa berkata, dia terkilan dengan kejadian itu dan berharap agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap pelajar yang terlibat.

“Saya terkilan dengan kejadian itu walaupun ia baru kali pertama. Saya sedih apabila anak saya diperlakukan sedemikian. Dia hanya menjalankan tugas, mengapa sampai begini dia dipukul? Tidak dapat saya bayangkan perasaan saya ketika sampai di sekolah tempoh hari, lihat anak saya dalam keadaan trauma dengan bajunya terkoyak.

“Saya tidak pasti dengan tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat, namun sehingga hari ini (semalam), saya belum dipanggil pengetua sekolah untuk menerangkan perkembangan kes itu. Dari apa yang saya tahu, masih ada pelajar yang terlibat belum diambil tindakan,” katanya.

Menurutnya, dia belum membuat keputusan sama ada mahu menukarkan anaknya ke sekolah lain ataupun sebaliknya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s