Sembelih lembu di sekolah boleh tapi bersyarat – Sinar Harian


Sembelih lembu di sekolah boleh tapi bersyarat
WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Oktober 2013
  • Idris Jusoh
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Susulan daripada kekeliruan isu sembelih lembu di kawasan sekolah, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kementerian Pelajaran membenarkan ibadah korban dijalankan dalam kawasan sekolah selagi tidak melibatkan sensitiviti kaum lain.

Menurutnya, penyembelihan lembu boleh dijalankan jika ia melibatkan sekolah yang mempunyai majoriti pelajar dan guru beragama Islam.

“Kementerian Pendidikan Malaysia tidak akan menghalang upacara korban di sekolah-sekolah.

“Tapi setiap program perlu mengambil kira sensitiviti kaum lain di sekolah tersebut dan dilaksanakan dengan sifat saling hormat-menghormati,” demikian menurut beliau melalui laman Facebooknya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan , P Kamalanathan  menyatakan larangan itu sebagai respon kepada aduan seorang pengadu berbangsa India yang mempersoalkan kewajaran ibadah korban diadakan dalam kawasan sekolah di Puchong Jaya, yang mempunyai pelajar bukan Islam.

Kamalanathan selain itu berkata, larangan tersebut tidak dinyatakan di dalam pekeliling, tetapi hanya dalam bentuk nasihat kepada pihak sekolah “dari semasa ke semasa”, di samping Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan menasihati sekolah untuk bekerjasama dengan surau berhampiran apabila pihak sekolah memaklumkan mengenai aktiviti berkenaan.

“Sebenarnya benda itu (sembelihan korban) tidak boleh. (Perkara) itu dah kementerian siasat. Biasanya tidak boleh, tetapi masalah yang berlaku apabila PPD tidak dimaklumkan.

“Kalau dimaklumkan di pejabat PPD, biasanya, mereka akan menasihatkan pihak sekolah bekerjasama dengan surau-surau berhampiran. Itu yang digalakkan,” katanya.

Pelajar dalam video dipanggil – Sinar Harian


Pelajar dalam video dipanggil
NURULATIQ AHMAD BANDI
28 Oktober 2013
  • Pelajar dalam video dipanggilSebahagian rakaman pelajar di tanah perkuburan yang tersebar di Youtube.
< 1 / 1 >

PORT DICKSON – Sembilan pelajar sekolah dipanggil polis bagi direkodkan keterangan berhubung sebuah video pendek memaparkan tingkah laku mereka di kawasan tanah perkuburan Cina di sini.

Video berdurasi 1 minit 32 saat itu, tersebar dalam Youtube memaparkan pelajar terbabit termasuk ada antaranya beruniform sekolah, menari dengan iringan muzik rancak serta bermain bola sepak di kawasan perkuburan itu sehingga menimbul rasa kurang senang masyarakat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, tujuh daripada mereka merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini, sementara dua lagi telah dibuang sekolah sebelum kejadian, atas faktor disiplin.

Menurutnya, kesemua mereka berusia antara 12 dan 14 tahun.

“Siasatan polis mendapati, kumpulan pelajar ini berbuat demikian tanpa niat untuk menghina ataupun cuba menggugat sentimen perkauman dan agama. Kelakuan yang dilakukan sekadar untuk bersukaria, bagaimanapun mereka berada di lokasi salah tanpa mengetahui kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut.

Menurutnya, perbuatan kumpulan pelajar itu dilakukan Khamis lalu, sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari.

“Rakaman video itu dirakam menggunakan telefon bimbit salah seorang daripada pelajar terbabit. Polis juga percaya antara mereka juga yang telah memuat naik rakaman tersebut ke internet,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Abd Wahab berkata, berikutan penyebaran video tersebut, satu laporan polis telah dibuat ahli jawatankuasa tanah perkuburan tersebut, Jumaat lalu.

“Dalam masa terdekat polis akan memanggil pelajar, ibu bapa mereka dan juga ahli jawatankuasa tanah perkuburan itu untuk menjernihkan kembali keadaan.

“Kejadian yang berlaku ini merupakan kes terpencil dan jangan jadikan ia sebagai punca untuk kita saling berbalah sesama kaum,” katanya percaya kes ini akan diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 298 A (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun,” katanya.

Abd Wahab menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video tersebut melalui apa juga medium komunikasi dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kanak-kanak nyaris maut terkena renjatan elektrik – Bernama


Kanak-kanak nyaris maut terkena renjatan elektrik
28 Oktober 2013

SEMPORNA – Seorang kanak-kanak nyaris maut selepas terkena renjatan elektrik daripada wayar voltan tinggi di Kampung Batu, Jalan Kampung Simunul dekat sini semalam.

Kanak-kanak berumur 12 tahun itu dikatakan memegang wayar daripada tiang elektrik yang telah semalaman terjatuh di atas tanah.

“Ketika kami tiba, tubuh kanak-kanak itu dalam keadaan bergetar dan dia mengadu amat sakit di bahagian dada.

“Kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Semporna. Dia kini dilapor stabil,” kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Penolong Penguasa Bomba Mohd Razali Awang Ahmad ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.46 tengah hari. – Bernama

Pekeliling tambah baik perkhidmatan awam dikeluar – Bernama


Pekeliling tambah baik perkhidmatan awam dikeluar

28 Oktober 2013
  • Datuk Seri Dr Ali Hamsa. Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
< 1 / 1 >

KUCHING – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, satu pekeliling mengenai 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah bajet 2014 akan dikeluarkan bulan depan untuk penjawat awam yang diberikan peluang dari segi peningkatan gred jawatan.

Beliau, yang turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju mengadakan kajian semula skim perkhidmatan awam berkata, ia telah sampai ke peringkat akhir setelah melalui satu proses ketat untuk mendapatkan persetujuan.

“Semua skim ini kita buat kajian semula dengan melibatkan semua.

Kita bermesyuarat dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), persatuan yang terlibat, semua ketua jabatan dan ketua-ketua setiausaha,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan serantau Persatuan Pentadbiran Awam dan Pengurusan Komanwel (Capam) 2013.

Persidangan itu dirasmikan Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sini, semalam.

Ali berharap penjawat awam yang menerima surat tawaran akan mempertimbang dengan baik perubahan skim masing-masing, yang dilaksanakan daripada pelbagai peringkat mulai bulan depan.

Ali, yang juga naib presiden Capam, berkata persidangan serantau itu yang merupakan forum multilateral mengenai pentadbiran awam dalam kalangan negara Komanwel, akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan selepas Kuching, yang dihadiri 336 peserta, yang terdiri daripada anggota Capam dari 22 negara Komanwel, termasuk Malaysia. – Bernama

Bajet 2014: J/kuasa khas siasat salah laku penjawat awam – Bernama


Bajet 2014: J/kuasa khas siasat salah laku penjawat awam

 

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas salah laku penjawat awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah susulan daripada Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Kerajaan memandang serius isu yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara itu. Demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan menjaga imej dan

kredibiliti sektor awam, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas itu,” katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat di sini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam sedang menjalankan penyiasatan dan tindakan tatatertib ke atas lebih daripada 100 kes ketidakpatuhan kepada prosedur kewangan termasuk prosedur perolehan selain 15 kes disiasat untuk tindakan pendakwaan di mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebagai langkah penambahbaikan, katanya, kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan Integriti yang dianggotai SPRM di setiap kementerian bagi

meningkatkan pematuhan dan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Selain itu, katanya, Transformasi Perkhidmatan Awam akan dilaksanakan di setiap kementerian sebagai langkah meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.

“Langkah ini amat penting bagi mengukuh dan menyusun semula organisasi supaya relevan dengan perkembangan semasa,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131025/dn_39/Bajet-2014-Jkuasa-khas-siasat-salah-laku-penjawat-awam#ixzz2imragxsJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bajet 2014: Bonus setengah bulan gaji untuk penjawat awam – Bernama


Bajet 2014: Bonus setengah bulan gaji untuk penjawat awam

 

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kira-kira 1.4 juta penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, demikian diumumkan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan lagi beban golongan pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.

“Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari 2014,” katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Ogos lepas, sebagai persiapan Hari Raya, Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.

Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Bagi menghargai sumbangan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pembangunan negara, Najib berkata kerajaan juga bersetuju menambah baik sebanyak 81 skim perkhidmatan daripada pelbagai peringkat mulai November ini.

Perdana Menteri berkata pada Julai lepas, kerajaan telah memberi tambahan satu kenaikan gaji tahunan (KGT) melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion.

Di samping itu, katanya kerajaan juga telah memberi tambahan tiga KGT kepada gaji maksimum bagi semua kumpulan perkhidmatan dan telah memanfaatkan 182,434 penjawat awam yang berada pada paras gaji maksimum. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131025/dn_41/Bajet-2014-Bonus-setengah-bulan-gaji-untuk-penjawat-awam#ixzz2imrNdQyO
© Utusan Melayu (M) Bhd

RM100 juta pendidikan, latihan kemahiran kaum India – Utusan


RM100 juta pendidikan, latihan kemahiran kaum India

 

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi meningkatkan pencapaian pelajaran dan latihan kemahiran untuk masyarakat India.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM28 juta akan digunakan bagi program pendidikan awal melibatkan 176 prasekolah Tamil dan program i-Sinar.

Menurut beliau, program tersebut akan meningkatkan prestasi pelajar melalui kaunseling, motivasi dan tuisyen kepada 45 sekolah ladang Tamil.

“Di samping itu, dana sebanyak RM50 juta disediakan untuk Skim Pembiayaan Usahawan Muda India (SPUMI) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

“Usahawan India juga boleh memohon pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya ketika berucap membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, kerajaan akan terus menumpukan kepada pembangunan masyarakat India agar mereka dapat bersama dalam arus kemajuan negara.

“Bijak bestari berkata, orang berbudi kita berbahasa. Kepada kaum India yang telah bersama menzahirkan ikatan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini, terima kasih, ‘rumba nandri’,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131026/dn_21/RM100-juta-pendidikan-latihan-kemahiran-kaum-India#ixzz2imrAk4Aw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bantuan sekolah diteruskan – Utusan


Bantuan sekolah diteruskan

 

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peruntukan sebanyak RM540 juta untuk bantuan itu akan memanfaatkan kira-kira 5.4 juta pelajar.

“Saya dimaklumkan, terdapat ibu bapa yang secara sukarela telah menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan kerajaan amat menghargai serta menyanjung tinggi nilai murni tersebut,” katanya ketika berucap membentangkan Bajet 2014 di Parlimen di sini hari ini.

Selain bantuan persekolahan, kata Najib, kerajaan juga akan meneruskan pemberian Baucar Buku 1Malaysia dengan nilai sebanyak RM250 kepada setiap pelajar prauniversiti dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, bantuan yang dapat mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian itu akan memanfaatkan sebanyak 1.3 juta pelajar dengan peruntukan RM325 juta.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131026/dn_07/Bantuan-sekolah-diteruskan#ixzz2imqmdRDw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bonus setengah bulan penjawat awam, RM250 pesara kerajaan – Utusan


Bonus setengah bulan penjawat awam, RM250 pesara kerajaan

 

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 untuk penjawat awam bagi tahun 2013.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, selain bonus tersebut, kerajaan juga mengumumkan bayaran khas kewangan sebanyak RM250 untuk golongan pesara kerajaan.

“Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan itu akan dibayar pada awal Januari 2014,” katanya semasa membentangkan Bajet 2014 di Parlimen di sini hari ini.

Kerajaan telah menyalurkan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 dan RM250 masing-masing kepada penjawat awam dan pesara sempena perayaan Aidilfitri yang lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131026/dn_03/Bonus-setengah-bulan-penjawat-awam—RM250-pesara-kerajaan#ixzz2imqGOh34
© Utusan Melayu (M) Bhd

Urusan Temu Duga ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG 41 Bagi Graduan Diploma Pendidikan Lepas Ijazah Guru Sandaran Tidak Terlatih (DPLI-GSTT) tamat Pengajian Jun 2013


Urusan Temu Duga ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG 41 Bagi Graduan Diploma Pendidikan Lepas Ijazah Guru Sandaran Tidak Terlatih (DPLI-GSTT) tamat Pengajian Jun 2013

Temu duga  ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 bagi Graduan DPLI-GSTT yang telah menamatkan pengajian mereka pada Jun 2013 akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai 28 Oktober 2013 hingga 13 Disember 2013 di Semenanjung Malaysia. Calon boleh menyemak jadual temu duga seperti berikut:

 

– 28 Oktober 2013 – 01 November 2013       [28/08/2013] [29/10/2013] [31/10/2013] [01/11/2013]

– 06 November 2013 – 08 November 2013

– 26 November 2013 – 28 November 2013

– 01 Disember 2013 – 03 Disember 2013

– 05 Disember 2013 – 06 Disember 2013

– 10 Disember 2013 – 13 Disember 2013 

Graduan juga diingatkan untuk membawa dokumen-dokumen berkaitan seperti dalam senarai semak untuk graduan Institut Pendidikan Guru (IPGM) dan graduan Institut Pengajian Tinggi IPTA.

 

* Peringatan.

Bagi mereka yang belum membuat permohonan jawatan PPPS Gred DG41, calon-calon berkenaan hendaklah berbuat demikian di www.jobsmalaysia.gov.my selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2013. Calon boleh merujuk mengenai tatacara permohonan di ruangan panduan permohonan di www.spp.gov.my.

 

 Muat naik pada 23 Oktober 2013