Remaja antara dicekup – Sinar Harian


Remaja antara dicekup
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 November 2013
  • Remaja antara dicekupDadah dan pil yang ditemui polis di atas lantai ketika menyerbu sebuah rumah dekat Jalan Pasir Bedamar, awal pagi kelmarin.
< 1 / 1 >

TELUK INTAN – Remaja berusia 16 tahun antara 10 individu dicekup polis dalam serbuan di sebuah rumah, Jalan Pasir Pedamar, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti jenayah di kawasan berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, serbuan diketuai Inspektor Zubir itu berjaya menahan 10 lelaki termasuk remaja berusia 16 tahun yang sedang asyik bersuka ria di dalam kediaman terbabit.

“Ketika serbuan, kesemua suspek berusia lingkungan 16 hingga 30 tahun itu, sedang berkumpul di ruang tamu.

“Selepas menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas premis, pihak kami menemui satu peket dadah jenis ganja yang dianggarkan seberat 1.54 gram.

“Dua mengandungi 20 biji pil yang disyaki eramin 5 dengan berat 6.05 gram turut dijumpai di situ,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Kok Liang berkata, kesemua suspek enggan mengakui dadah yang ditemui di lantai rumah berkenaan milik mereka.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, semua ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mereka juga didapati negatif dadah.

Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Sekseyn 12(2) serta Seksyen 6 Akta Dadah berbahaya 1952.

Kaki digilis bas sekolah – Sinar Harian


Kaki digilis bas sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 November 2013
  • Kaki digilis bas sekolahIsmail menunjukkan keadaan kaki anaknya yang digilis tayar bas dua minggu lalu.
< 1 / 1 >

TANJUNG DAWAI – Seorang pelajar tingkatan dua terpaksa menanggung derita setelah kaki kirinya parah digilis tayar bas sekolah yang dinaikinya dua minggu lalu.

Kaki kiri Mohd Sanusi Ismail, 14, terpaksa dibedah bagi membuang isi rosak yang hancur selepas digilis bas sekolah yang baru beroperasi sejak dua bulan lalu.

Ismail Isa, 57, berkata, dalam kejadian 22 Oktober lalu, kira-kira jam 2.20 petang, anak kesembilan daripada 10 beradik itu dalam perjalanan pulang dari sekolah sebelum terjatuh semasa berdiri di pintu bas ketika kenderaan terbabit membelok ke salah satu selekoh dekat pekan Tanjung Dawai.

Menurutnya, Mohd Sanusi, 14, terpaksa menjalani beberapa pembedahan bagi membuang isi yang rosak selepas isi kakinya hancur akibat kejadian itu.

Kakak mangsa, Syahidatul Nasriah, 16, berkata, ketika kejadian dia berada di bahagian atas bas sebelum ternampak adiknya tergolek ke bawah ketika melalui selekoh dengan keadaan pintu bas yang terbuka.

“Sebaik terjatuh, tayar bas menggilis kaki kiri Mohd Sanusi menyebabkan semua pelajar dalam bas menjerit tetapi tidak didengari pemandu menyebabkan pemandu berundur sedikit sehingga kakinya digilis buat kali kedua.

“Kemudian, seorang saksi menahan pemandu bas bagi memaklumkan bahawa adik terjatuh, barulah bas berhenti ketika itu,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang terjatuh ketika itu bangun dan masuk ke dalam bas semula tanpa menyedari berlaku kecederaan di bahagian kaki kiri.

Sebaik sampai di rumah, kakak saudara mangsa, Wan Rohaiza Wan Abdullah, 35, dan suami yang diberitahu Syahidatul terus memapah Sanusi masuk ke rumah dan menyedari terdapat ketulan isi dan lemak jatuh bertaburan dengan keadaan seluar koyak serta berdarah.

Menurut Wan Rohaiza, dia segera membuka seluar mangsa sebelum mendapati kecederaan di kaki lebih teruk daripada yang disangka.

“Ketulan isu dan cebisan kulit kaki dari bahagian betis hingga ke paha terpaksa dibuang kerana sudah terkoyak,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, dia agak terkilan kerana pihak pengurusan bas langsung tidak bertanggungjawab serta tidak mengambil berat soal keselamatan penumpang.

“Pendedahan dibuat agar semua pihak prihatin berhubung isu keselamatan serta mengelakkan ia daripada terus berulang,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa ambulans ke Hospital Besar Yan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

“Bagaimanapun, dia kemudian dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang keesokan hari. Tetapi, keputusan pihak hospital mahu memotong kaki anak saya menyebabkan saya tidak bersetuju sebelum memindahkannya ke HSAH semula,” katanya.

Ismail berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, merawat serta memberi dorongan kepada anaknya agar cepat sembuh.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah sehingga mendatangkan kecuaian terhadap anaknya.

Sementara itu, Wan Rohaiza berkata, laporan polis masih gagal dibuat berikutan arahan pihak berkenaan yang mahukan Sanusi dibawa ke balai untuk diambil keterangan bagi tujuan itu sedangkan mangsa masih belum dibenarkan pulang.