Pengorbanan lima beradik – Sinar Harian


Pengorbanan lima beradik
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 November 2013
  • Pengorbanan lima beradikTiga daripada lima beradik, Hamizah (kanan), Liyana (kiri) mencium ibu mereka sambil diperhatikan Adawiah (belakang) ketika ditemui di rumah neneknya di Felda Bukit Jalor (FBJ).
< 1 / 1 >

GEMENCHEH – Demi kasihkan ibu tercinta, lima beradik rela menjaga ibu mereka yang menderita penyakit misteri sejak 13 tahun lalu dengan menumpang kasih dan berteduh di rumah nenek mereka di Felda Bukit Jalor (FBJ), dekat sini.

Walaupun tanpa kehadiran ayah di sisi susulan penceraian, lima beradik berkenaan bukan hanya gigih menjaga ibu bermula seawal pagi, bahkan menimba ilmu pengetahuan bagi mengubah taraf hidup keluarga pada masa hadapan.

Anak ketiga, Hamizah Mohd Hafiz, 17, berkata, dia dan adik-beradiknya yang lain sudah terdidik untuk menjaga ibu mereka, Roziah Md Yusuf, 45, sejak kecil lagi.

“Sejak dari kecil lagi saya sudah melihat bagaimana kakak sulung, Nur Atirah Mohd Hafiz yang kini berusia 21 tahun menjaga ibu yang sakit termasuk menguruskan makan minum serta menukar lampin pakai buang ibu.

“Walaupun banyak masa dihabiskan bagi menjaga ibu, kakak tetap juga berjaya membahagikan masa menuntut ilmu dan kini kakak sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandaraya Melaka selepas lulus cemerlang di peringkat matrikulasi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di FBJ, dekat sini, baru-baru ini.

Hamizah berkata, mereka tidak pernah membahagikan tugas dalam menjaga ibu mereka kerana masing-masing mengetahui peranan dan sekiranya seseorang daripada mereka sibuk belajar, adik-beradik lain akan menjaga ibu tanpa disuruh.

Menurutnya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, dia juga tidak pernah mengeluh walaupun kadangkala harus menyediakan juadah makan tengah hari sebaik pulang ke rumah sekiranya neneknya, Zawiyah Bador, 81, tidak sempat memasak.

“Saya akan terus memasak, manakala adik saya, Nur Liyana Mohd Hafiz, 16, akan menunggu hidangan  untuk menyuap ibu makan. Bahkan, abang kedua saya, Mohd Azri Mohd Hafiz, 19, yang merupakan pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman (STAR Gemas) juga membantu menjaga ibu sebaik pulang dari sekolah.

“Adik bongsu kami, Nur Adawiah, 13, juga bakal mencontohi jejak langkah kami dan sekiranya saya berjaya melanjutkan pelajaran, saya yakin adik-beradik yang lain akan sentiasa menjaga dan menyayangi ibu,” katanya.

Sementara itu, Zawiyah berkata, anaknya itu mulai diserang sakit misteri sejak 13 tahun lalu dan dihantar pulang oleh suami anaknya itu ke rumahnya.

“Pada mulanya Wan merujuk masalah kesihatannya kepada pakar perubatan, namun mereka mengesahkan anak bongsu Wan ini tidak sakit. Puas sudah Wan membawanya berubat, tapi dia masih juga terlantar sakit dan terbaring begitu sahaja.

“Alhamdulilah, sejak lima tahun lalu, anak Wan ini boleh duduk dan kadangkala percakapannya juga difahami. Walaupun keadaan anak Wan terlantar sebelum ini, dia masih boleh membahagikan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perbelanjaan persekolahan anak-anaknya,” katanya.

Zawiyah berkata, anaknya itu hanya menggunakan bantuan untuk membeli lampin pakai buangnya sahaja dan selebihnya  digunakan bagi keperluan persekolahan anak-anak.

“Keperluan perbelanjaan lain Wan tambah melalui pendapatan yang diperoleh daripada hasil getah dan bantuan anak-anak Wan yang lain. Bagaimanapun, Wan sebenarnya agak risau dengan nasib kewangan cucu-cucu Wan ini. Mujur ada antara mereka yang mendapat biasiswa kerajaan,” katanya.

Menurutnya, beberapa tahun lalu dia ada membuat permohonan bantuan JKM, namun ditolak memandangkan anaknya itu mendapat bantuan JKM bagi kategori  orang kurang upaya (OKU) terlantar.

“Wan hanya mahu gunakan bantuan itu untuk persekolahan cucu-cucu tetapi permohonan ditolak.

“Namun kini Wan yakin walau apa juga cabaran mendatang, lima beradik ini akan terus menjaga ibu mereka dan mencapai cita-cita masing-masing kerana sepanjang 13 tahun ini, Wan tidak pernah mendengar sekalipun mereka mengeluh atau menolak untuk menjaga ibu mereka,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s