Keputusan UPSR di umum minggu depan – Bernama


Keputusan UPSR di umum minggu depan
7 November 2013
  • Kemneterian Pendidikan Malaysia
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 akan diumumkan pada 14 Nov ini, menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan hari ini.

Kenyataan itu menyebut calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi, pada hari berkenaan.

Selain itu, calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan UPSR 2013 melalui khidmat pesanan ringkas mySMS ke 15888.

“Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10 pagi, 14 Nov dan akan ditamatkan pada 11.59 malam, 20 Nov ini,” menurut kenyataan itu.

Pada tahun ini, seramai 478,848 calon telah menduduki peperiksaan UPSR di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara. – Bernama

Skim Gaji Bersepadu – NUTP


Skim Gaji Bersepadu

Skim Gaji Bersepadu

Untuk Makluman,

Skim Gaji Bersepadu untuk Guru akan disiarkan pada 1.1.2014.

JPA telah memaklumkan perkara ini kepada KPPK.

Diharap bersabar.

Pn Lok Yim Pheng

Setiausaha Agung KPPK

Tarikh Berita/News Date:

SURAT SIARAN PEMAKLUMAN MENGENAI STATUS PELAKSANAAN BAYARAN INSENTIF SUBJEK PENDIDIKAN


SURAT SIARAN PEMAKLUMAN MENGENAI STATUS PELAKSANAAN BAYARAN INSENTIF SUBJEK PENDIDIKAN

Kategori Surat Siaran
Bil 1
Tahun 2013
Jabatan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Fail SURAT SIARAN PEMAKLUMAN MENGENAI STATUS PELAKSANAAN BAYARAN INSENTIF SUBJEK PENDIDIKAN
Tarikh 01 November 2013

SOAL SELIDIK BAGI PEMILIHAN PIHAK BERKUASA MELANTIK (PBM) DAN KETUA PERKHIDMATAN BAGI ANGGOTA KUMPULAN PELAKSANA (AKP) DI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA


SOAL SELIDIK BAGI PEMILIHAN PIHAK BERKUASA MELANTIK (PBM) DAN KETUA PERKHIDMATAN BAGI ANGGOTA KUMPULAN PELAKSANA (AKP) DI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

07 November 2013

Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia

Tuan / Puan,

Adalah dimaklumkan bahawa, berikutan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian ini sedang meneliti opsyen terbaik bagi penetapan Pihak Berkuasa Melantik (PBM) dan Ketua Perkhidmatan bagi pegawai Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di bawah Sektor Pelajaran yang dari skim berikut:

 

i. Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi);

ii. Pembantu Tadbir (Kewangan);

iii. Pegawai Khidmat Pelanggan;

iv. Pegawai Tadbir Rendah (secara Khas Untuk Penyandang);

v. Pembantu Makmal;

vi. Penyelia Asrama; dan

vii. Pembantu Pengurusan Murid

 

Sehubungan dengan itu, Kementerian ini sedang menjalankan soal selidik yang bertujuan mendapatkan pandangan awal pegawai AKP yang terlibat dalam membantu Kementerian membuat pertimbangan penetapan yang terbaik dengan agensi pusat dan PBM yang terlibat.

 

Sila klik pada link di bawah bagi pautan SOAL SELIDIK.

 https://docs.google.com/forms/d/1ud-bDeSIlGLkb46oLA0_IR835joKKFNqm1hAXQoey_U/viewform

 

Sekian, Terima kasih.

LOGO BAHARU KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA


LOGO BAHARU KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

06 November 2013

RASIONAL

Logo ini direka mengunakan huruf ‘Alif’ sebagai konsep teras. Pendekatan mengunakan huruf atau typography adalah berdasarkan pengertian bahawa manusia yang pada masa hidupnya, berada pada jalan yang lurus sebagaimana huruf ‘Alif’ itu. Alif juga membawa pengertian ILMU kerana Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat. Ilmu juga diklasifikasikan sebagai pengetahuan atau kepandaian yang merangkumi semua bidang yakni duniawi mahupun ukhrawi. Ilmu juga di takrifkan sebagai pemindahan roh atau jiwa daripada kegelapan kepada kecerahan dan sebagai suatu kebenaran dan keyakinan. Logo ini menggunakan dua ‘P’ dan dua ‘Alif’ melambangkan dua peringkat pendidikan iaitu Sistem Sekolah dan Sistem Pengajian Tinggi. Hurup ‘P’ yang bertingkat ke arah Alif melambangkan tahap-tahap kecemerlangan pendidikan Malaysia. Bentuk Bulat melambangkan Malaysia sebagai pusat pendidikan yang bersifat global. Dari segi warna, biru bermaksud profesionalisma dalam sistem pendidikan negara. Kuning keemasan melambangkan kecemerlangan. Putih melambangkan sistem pendidikan yang bermutu tinggi dan membentuk insan yang berkualiti dan berilmu mulia.

 

Rekabentuk oleh Prof. Dato’ Dr Ahmad Zainuddin & Mohd Faizal Ahmad (Majlis Rekabentuk Malaysia)

 

Muat Turun
Logo Baharu KPM

Jawab periksa di hospital – Sinar Harian


Jawab periksa di hospital
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 November 2013
  • Jawab periksa di hospitalUmi Kalsom menemani anaknya berehat sementara menunggu untuk menduduki peperiksaan pada sebelah petang.
< 1 / 1 >

KUALA KRAI – Kesakitan yang dialami akibat dipatuk ular senduk pada Isnin lalu tidak menghalang seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai, dekat sini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohd Awub Mohd Rozi, 17 yang dipatuk ular kali ketiga tetap tabah menjawab soalan bagi Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2 dengan penuh kesabaran pada sebelah pagi dan petang di atas katil dalam wad Hospital Kuala Krai, semalam.

Pelajar itu telah dikejarkan ke hospital kelmarin kerana pengsan di sekolah selepas sehari dipatuk ular dan tidak mendapat rawatan serta tidak memaklumkan kejadian kepada sesiapa.

Dia dikatakan telah dipatuk ular di kaki ketika mahu mengambil buah nam-nam atau lebih dikenali sebagai buah katak puru dalam kalangan masyarakat setempat di halaman rumahnya.

Selepas kejadian, Mohd Ayub ke sekolah seperti biasa sehingga dia pengsan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Manek Urai sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Ketika ditemui, Mohd Ayub mengaku masih berasa pening dan terpaksa menjawab soalan peperiksaan bergantung kepada keadaannya.

“Saya jawab soalan ikut keselesaan. Adakala saya duduk dan bila rasa pening, saya baring,” katanya kepada Sinar Harian.

Memperoleh keputusan 2A pada peperiksaan percubaan SPM, Mohd Ayub bakal bakal menjawab kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Biologi sebagai kertas terakhir pada 28 November ini.

Sementara itu ibunya, Umi Kalsom Mohd Zain, 39 berkata, anak sulung daripada enam beradik itu tidak memaklumkan keluarga berkenaan kejadian dan dia hanya mengetahuinya seelpas Mohd Ayub pengsan di sekolah.

Katanya, anaknya itu tidak sedar dipatuk ular senduk yang berada tidak jauh dari pokok nam-nam ketika cuba mengambil buahnya.

“Sebelum kejadian, dia memaklumkan bermimpi dipatuk ular tiga kali berturut-turut dan saya nasihatkan dia supaya buat solat hajat untuk menghindarkan perkara tidak diingini.

“Mohd Ayub pernah dipatuk ular ketika berusia 11 tahun dan juga tahun lalu. Saya doakan dia cepat sembuh serta dapat jawab soalan peperiksaan dengan tenang di dewan peperiksaan bersama rakan-rakannya,” katanya.

Umi Kalsom berasa gembira kerana Hospital Kuala Krai menyediakan bilik yang selesa untuk anaknya menjawab soalan peperiksaan dan berterima kasih kepada Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Krai atas kerjasama mereka.

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Kuala Krai, Wan Seman Wan Bedollah turut melawat mangsa di wad hospital berkenaan, semalam.

Guru wanita rugi RM15,000 – Sinar Harian


Guru wanita rugi RM15,000
RAIHAM MOHD SANUSI
7 November 2013
  • Guru wanita rugi RM15,000Che Suza
< 1 / 1 >

KEMAMAN – Kegembiraan seorang guru wanita menyertai lawatan sekolah ke Kuala Lumpur bertukar duka kerana terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM15,000 selepas rumahnya di Kampung Baru Kerteh yang ditinggalkan selama tiga hari dipecah masuk pencuri.

Mangsa yang berusia 41 tahun berputih mata apabila seutas gelang tangan berlian, seutas rantai leher, empat bentuk cincin dan dua utas jam tangan lelaki masing-masing berjenama Tissot dan Tag Heuer lesap.

Kejadian disedari mangsa ketika tiba di rumahnya kira-kira jam 4.30 pagi, kelmarin, selepas mendapati tingkap bilik tidur anaknya diumpil.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mangsa mula meninggalkan rumahnya kira-kira jam 10.30 malam, pada 3 November lalu dalam keadaan pintu dan tingkap berkunci.

“Selepas mendapati tingkap bilik tidur anak diumpil, mangsa segera memeriksa rumah dan mendapati beberapa barang kemas dan jam tangan berjenama hilang yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM15,000.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kerteh. Hasil siasatan awal, polis dapati suspek memecah masuk dengan membengkokkan kunci jeriji tingkap bilik tidur anak mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis percaya suspek menceroboh rumah mangsa antara jam 10.30 malam, pada 3 November hingga awal pagi kelmarin.

Sehubungan itu katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh hingga 14 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Calon SPM akan dikuarantin – Sinar Harian


Calon SPM akan dikuarantin
MOHD TAHA YAACOB
7 November 2013
  • Calon SPM akan dikuarantin Calon SPM dari SMK Nasiruddin Shah, Besut, bersiap sedia menduduki peperiksaan pada hari pertama peperiksaan, semalam.
< 1 / 1 >

BESUT – Pejabat Pelajaran Daerah Besut dan Setiu membuat persediaan bagi mengelak calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terkandas sekiranya berlaku banjir.

Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab Halim Hassan berkata, beberapa sekolah yang lazim terputus jalan perhubungan ketika musim banjir sudah dikenal pasti dan calon yang menduduki peperiksaan di sekolah terbabit akan dikuarantin.

Menurutnya, jalan ke beberapa sekolah di Hulu Besut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra dan SMK Bukit Payong sering terputus perhubungan akibat ditenggelami air pada musim banjir dan pelajar yang tinggal jauh dari sekolah itu akan ditempatkan di asrama sekolah.

“Langkah ini akan dilakukan sekiranya mendapati hujan berterusan dan ramalan banjir benar berlaku untuk mengelak calon tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, seramai 3,270 calon SPM dari Besut menduduki peperiksaan yang bermula semalam di 26 pusat peperiksaan.

Ab Halim berkata, seramai empat calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital akibat masalah kesihatan dan kemalangan iaitu dua di Hospital Besut, masing-masing dari  SMK Tembila dan Sekolah Menengah Agama Imtiaz.

Dua lagi membabitkan pelajar dari Kolej Vokasional Besut yang dirawat di Hospital Kota Bharu, Kelantan dan seorang lagi juga dari SMK Tembira di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Di Setiu pula, seramai 1,507 calon menduduki peperiksaan SPM di 15 pusat peperiksaan termasuk satu pusat calon persendirian dan satu pusat di Hospital Setiu.

Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Kipayatu Allah Mohd Said berkata, daripada jumlah tersebut, 20 daripadanya adalah calon persendirian.

“Kami turut membuat persiapan untuk menghadapi banjir melalui Ops Payong membabitkan  sekolah berisiko seperti SMK Langkap, Pelong dan Guntong,” katanya.

Tahun terakhir jalani SPM – Sinar Harian


Tahun terakhir jalani SPM
MOHD FIRDAUS YON
7 November 2013
  • Tahun terakhir jalani SPMPelajar SM Teknik Perdagangan Johor Bahru melangkah masuk ke dewan peperiksaan.
< 1 / 1 >

JOHOR BAHRU – Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru yang dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional Perdagangan Johor Bahru memasang impian meneruskan kecemerlangan pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

Pengarahnya, Zanariah Ahmad berkata, SPM tahun ini merupakan yang terakhir sebelum sekolah itu menjadi Kolej Vokasional sepenuhnya tahun hadapan.

Menurutnya, seramai 370 calon sekolah berkenaan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini berbanding 386 calon tahun lalu.

“Sekolah ini dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional tahun ini dengan ada daripada pelajar telah mengikuti pengajian di peringkat diploma.

“Oleh itu, SPM tahun ini adalah yang terakhir dijalankan di sini kerana ia akan ditukar menjadi Kolej Vokasional sepenuhnya tahun hadapan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Zanariah berkata, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai program akademik dan latih tubi sebelum peperiksaan berlangsung, sekali gus berharap Gred Purata Sekolah (GPS) sekolah berkenaan meningkat berbanding tahun sebelumnya.

“Selama lapan tahun berturut-turut GPS sekolah ini mencatatkan peningkatan, di mana tahun lalu kita memperoleh GPS 2.87 dan pada peperiksaan kali ini kita menyasarkan GPS 2.67.

“Sudah semestinya kita mengharapkan agar keputusan SPM buat kali yang terakhir ini adalah yang terbaik akan kita peroleh kerana ia adalah hadiah paling bermakna,” katanya.

Pada tahun ini, seramai 57,090 calon di Johor menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini (semalam) hingga 5 Disember ini.

Daripada jumlah itu, seramai 51,170 pelajar merupakan calon sekolah kerajaan, manakala selebihnya calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Agama Kerajaan Negeri, sekolah swasta dan individu persendirian.