Remaja perempuan maut kena rempuh – Sinar Harian


Remaja perempuan maut kena rempuh
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 November 2013
  • Aszliya MohamaduanAszliya Mohamaduan
< 1 / 1 >

KOTA TINGGI – Seorang remaja maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kilometer 38.5 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi,  semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, Aszliya Mohamaduan, 17, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di seluruh badan dan kepala akibat rempuhan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Md Nor Rasid berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang selepas keluar minum bersama rakan di sebuah restoran sebelum dia dirempuh pacuan empat roda jenis Mitsubshi Triton.

Kejadian berlaku apabila mangsa dipercayai sedang melintas difahamkan dalam perjalanan pulang selepas keluar minum bersama rakannya di sebuah restoran dekat sini.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dihantar ke Hospital Daerah Kota Tinggi (HKT) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Tambah Md Nor, pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 34 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Angkara silap pilih kawan – Sinar Harian


Angkara silap pilih kawan
NOOR HAYATI MAMAT
10 November 2013
 
  • Angkara silap pilih kawanMohd berkongsi pengalamannya terlibat najis dadah bersama Pengarah AADK Terengganu, Rahayu Ahmad dan Ketua Pegawai AADK Hulu Terengganu, Anwar Hamid (kanan) pada Program Mengacau Bubur Asyura AADK Terengganu di Kampung Kepah.
< 1 / 1 >

HULU TERENGGANU – Gara-gara tersilap memilih kawan, seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di daerah ini terjebak najis dadah hingga menyebabkan dia lupa tanggungjawabnya untuk belajar dan sanggup menipu ibunya demi mendapatkan wang.

Namun melihat air mata ibu berusia 60 yang mencari rezeki dengan membersihkan masjid tatkala mengetahui dirinya terlibat dadah, remaja bergelar anak yatim ketika berumur 11 tahun ini diselubungi penyesalan atas kealpaannya.

Tekad untuk berubah, Mohd (bukan nama sebenar) kini mendapatkan rawatan pemulihan di Pusat Perkhidmatan Cure and Care di Ajil sejak 29 Mei lalu setelah didorong abang dan ibunya yang ingin melihatnya tidak terus hanyut.

Menceritakan kesilapan itu, Mohd yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik mengakui dia mula mengenal dadah awal tahun ini akibat pengaruh kawan dan sering menjadikan bangunan lama terbiar sebagai sasaran untuk melepaskan gian.

“Saya berkawan baik dengan mereka kerana tinggal sekampung dan belajar di sekolah sama. Walaupun terdengar ada antara mereka terlibat dadah, tetapi saya tidak pasti kerana belum melihat. Sehingga suatu hari, mereka menyuruh saya mencubanya.

“Sejak itu, saya semakin malas ke sekolah. Saya juga banyak menipu dan meminta duit daripada ibu bagi mendapatkan bekalan. Macam-macam alasan diberikan, tetapi ibu tidak mensyaki apa-apa.

“Apabila rasa ketagih, saya cuba elakkan diri daripada berjumpa ahli keluarga, selain berlagak biasa di hadapan mereka,” katanya.

Mohd berkata demikian pada Program Mengacau Bubur Asyura Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Terengganu di Kampung Kepah, di sini, kelmarin.

Mohd juga berkata, kegiatan itu terbongkar apabila seorang daripada abangnya menemui peralatan menagih dalam bilik dan memaklumkan kepada ibu.

Katanya, ketika itu dia tiada di rumah, bagaimanapun dia terus diasak pertanyaan sama ada terlibat dadah atau tidak apabila pulang ke rumah pada petang hari sama.

Menurutnya, dia diselubungi rasa bersalah melihat ibunya menangis setelah dia membuat pengakuan terjebak najis dadah dan sehari selepas itu, dia menjadi penghuni di Pusat Perkhidmatan Cure and Care sehingga kini.

“Corak kehidupan banyak berubah terutama berkaitan solat. Keputusan datang ke sini turut membolehkan saya menduduki PMR tahun ini. Jika tidak, saya sendiri belum pasti keadaan saya ketika itu.

“Buat remaja lain, saya harap mereka semua berhati-hati memilih kawan supaya tidak terpengaruh. Sekali terkena agak sukar untuk berundur, namun syukurlah saya belum sempat terlajak jauh,” katanya.

Pantau anak guna internet – Sinar Harian


Pantau anak guna internet
NORHASPIDA YATIM
10 November 2013
  • Pantau anak guna internetA Latiff (berdiri, tiga kanan) melawat murid yang menyertai kuiz ICT pada program Besscomm Tour 2013 bersama masyarakat di Pusat Bestari.Comm, Pulau Duyong, semalam.
< 1 / 1 >

KUALA TERENGGANU – Ibu bapa disaran mempelajari teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai panduan dalam masa sama bantu mereka memantau aktiviti anak terutama sejak kerajaan negeri memberikan e-Book kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, A Latiff Awang berkata, banyak kemudahan disediakan bagi memudahkan ibu bapa yang tinggal di desa mempelajari ICT seperti Pusat Bestari.Comm.

“Kerajaan negeri ada menyediakan e-Book untuk pelajar. Dengan pengetahuan ICT yang ada, sekurang-kurangnya kita dapat memantau anak ketika melayari internet.

“Ibu bapa boleh hadir ke mana-mana 47 Pusat Bestari.Comm yang disediakan di setiap Dun. Apabila kita pandai komputer, sekurang-kurangnya kita tahu apa anak kita buat dengan e-Book,” katanya pada program Besscomm Tour 2013 bersama masyarakat di Pulau Duyong, semalam.

A Latiff berkata, Bestari.Comm adalah pusat komuniti diwujudkan untuk beri pendedahan dan latihan kepada masyarakat bagi mencapai tahap diiktiraf di peringkat nasional.

Menurutnya, berikutan permintaan tinggi, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk menambah kira-kira 10 pusat Bestari.Comm di negeri ini.

“Sejak ditubuhkan pada 2005, kita mendapat sambutan amat memberangsangkan. Secara puratanya, terdapat sehingga 100,000 pengunjung datang ke Pusat Bestari.Comm pada setiap tahun.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan, tahun ini kita menambah sebuah Pusat Bestari.Comm dan mungkin akan tambah 10 lagi pada tahun hadapan yang menempatkan antara 13 hingga 15 komputer bagi setiap pusat,” katanya.

Beliau juga berkata, bajet disediakan untuk Pusat Bestari.Comm sahaja mencecah RM3.6 juta setiap tahun meliputi gaji kakitangan bertugas, penyelenggaraan komputer serta keperluan lain.

“Saya harap Pusat Bestari.Comm ini dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk membudayakan ICT sekali gus mengurangkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Bestari.Comm mula ditubuhkan pada 2005 dengan 32 pusat sahaja dan kini meningkat kepada 47 buah dengan jumlah kakitangan seramai 94 orang.

Diabetes meningkat di kalangan orang muda – Bernama


Diabetes meningkat di kalangan orang muda
10 November 2013

GEORGETOWN – Semakin ramai golongan muda, termasuk kanak-kanak seawal usia tujuh tahun, menghidap penyakit Kencing Manis Jenis 2 (T2D) dan kini, angka itu semakin meningkat.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata dianggarkan 2.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes dan jumlahnya boleh mencecah dua kali ganda jika diambil kira kes-kes yang tidak dilaporkan.

Beliau berkata, semakin ramai golongan muda menghidap penyakit diabetes berikutan peningkatan kadar obesiti di kalangan mereka yang berkait rapat dengan tabiat pemakanan tidak seimbang.

“Hampir setiap seorang daripada tiga rakyat Malaysia terutamanya golongan muda dikesan sama ada mengalami berat badan berlebihan atau obes, menjadikan mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti diabetes,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Walkathon sambutan Hari Diabetes Sedunia, di sini hari ini.

Beliau berkata kajian juga menunjukkan pesakit diabetes muda biasanya mengalami masalah kegemukan akibat daripada tabiat memakan terlalu banyak makanan tidak sihat dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif.

“Oleh kerana kurangnya kesedaran mengenai penyakit ini, ibu bapa terus memberi makan ‘makanan ringan’ kepada anak-anak mereka dan saya berharap semua ibu bapa dapat mula membimbing anak mereka untuk mengamalkan gaya hidup sihat, ” katanya.

Menurut Dr Hilmi, penyakit diabetes bukan sekadar mempunyai kandungan gula berlebihan dalam sistem darah, malah lebih serius ia boleh menjejaskan organ penting pesakit seperti jantung, buah pinggang, saraf dan mata.

Bagaimanapun, Perunding Endocrinologis dan Ketua Unit Endokrinologi dan Diabetes Hospital Pulau Pinang Dr Nor Azizah Aziz berkata penyakit diabetes kronik boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan permakanan seimbang.

“Bagi mereka yang dijangkiti, komplikasi diabetes boleh dilambat atau dihalang,” katanya.

Beliau menambah, selain tabiat permakanan yang tidak betul, waktu makan yang tidak teratur turut menyumbang kepada peningkatan trend T2D di kalangan orang muda.

Justeru, beliau menasihati rakyat Malaysia agar mencegah, mengurus diabetes dan komplikasinya dengan mengekalkan gaya hidup sihat dan membuat pilihan yang lebih baik dalam diet mereka. – Bernama

JPN Terenganu Atur Program Hadapi Pelan Pelaksanaan B. Inggeris Subjek Wajib Lulus SPM 2016 – Bernama


JPN Terenganu Atur Program Hadapi Pelan Pelaksanaan B. Inggeris Subjek Wajib Lulus SPM 2016

DUNGUN: Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) merancang pelbagai program dan strategi bagi menghadapi pelan pelaksanaan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib mendapatkan sijil untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016.

Pengarahnya Zakaria Hussin berkata pihaknya melalui sektor akademik dan guru-guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (AKRAM) sedang memperhebatkan lagi usaha itu demi manfaat pelajar di negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui sempena Program ‘A Moment In English’ 2013.

Turut hadir Pegawai Perhubungan Pantai Timur ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI), Othman Dzulkifli.

Program yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Ingeris di kalangan pelajar di negeri ini mendapat tajaan penuh ExxonMobil Malaysia sejak tahun 2002.

Zakaria berkata program itu turut melatih para pelajar supaya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan menggunakannya dalam pertuturan di sekolah bagi menghilangkan budaya takut berbahasa dalam kalangan pelajar.

“Program yang telah dijayakan setiap tahun ini juga memperlihat penyertaan pelajar sekolah menengah dan rendah dari seluruh daerah termasuk dari kawasan pedalaman dalam aktiviti pementasan selama dua jam tanpa henti yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris,” katanya.

Sebanyak 33 buah sekolah, iaitu 18 buah sekolah rendah dan 15 sekolah menengah menyertai program itu. -BERNAMA

Guru Pendidikan Islam dikesan sebar fahaman Syiah kepada pelajar di Kedah – Bernama


Guru Pendidikan Islam dikesan sebar fahaman Syiah kepada pelajar di Kedah

 

10/11/2013 6:00pm

 

ALOR SETAR – Beberapa guru yang mengajar subjek pendidikan Islam di sekolah menengah kerajaan di Kedah dikesan menyebar serta mengedar buku berkaitan fahaman dan ajaran Syiah kepada pelajar mereka.

Timbalan Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kedah, Abdullah Din berkata, kegiatan guru terbabit di beberapa sekolah di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu dikesan baru-baru ini.

“Perbuatan guru-guru ini boleh merosakkan akidah pelajar kerana ajarannya bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang dipegang oleh umat Islam negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menganggotai panel Forum Ancaman Syiah anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu dimaklum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka.

Abdullah juga berpendapat guru Pendidikan Islam yang menganut fahaman Syiah tidak seharusnya mengajar subjek itu.

Tambahnya, walaupun tidak mempunyai bukti kukuh untuk melabel seseorang sebagai penganut Syiah, tindakan mengedarkan buku berkaitan fahaman itu kepada pelajar jelas membuktikan mereka adalah pengikut Syiah. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_13.htm#ixzz2kJFufEkW
Hakcipta terpelihara

Orang solat dia mencuri – Metro


Orang solat dia mencuri

 2  0 Google +0  0  0

Oleh FATIN SYAFIQA ABD MANAP

Sabak Bernam: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun diberkas orang awam apabila dia dipercayai mencuri dompet seorang jemaah lelaki yang sedang menunaikan solat Subuh di sebuah surau di Taman Berkat, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi dan suspek dipercayai melakukan kerja jahat bersama abangnya sejurus dia masuk ke dalam surau seorang diri untuk mengambil barangan berharga ketika jemaah mendirikan solat sementara abangnya menunggu di luar.
Mangsa, Ahmad Fahim Jamaluddin, 20, berkata ketika kejadian dia sedang bersolat dan terkejut apabila terdengar bunyi kunci motosikal yang diletakkan di tepinya seakan ditarik.

 

“Ekoran itu, saya memberhentikan solat dan terus menoleh ke belakang sebelum mendapati dompet dan kunci motor yang saya letakkan di tepi sudah tiada,” katanya.
Menurutnya, kerana tidak mahu mengganggu jemaah lain yang sedang solat, dia hanya berdiam diri dan keluar perlahan bagi mengejar suspek.
“Dia (suspek) juga tidak berlari sebaliknya hanya berjalan menuju ke pintu surau, saya kemudiannya menjerit apabila mendapati suspek menuju ke arah seseorang yang bersedia menunggunya di luar surau dengan menaiki motosikal,” katanya.

 

Terkejut dengan jeritan itu, katanya, abang suspek yang menaiki motosikal segera meninggalkan adiknya sebelum orang awam yang kebetulan berada di luar surau membantu memberkasnya.
“Suspek akhirnya menyerah diri apabila menyedari dia terkepung oleh beberapa orang awam dan merayu untuk tidak diapa-apakan. Bagaimanapun, seorang lagi suspek yang menaiki motosikal sempat melarikan diri,” katanya.

 

Sementara, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, suspek dipercayai mengikut abangnya untuk melakukan kegiatan terbabit.
Menurutnya remaja berkenaan kini direman tiga hari bagi membantu siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/10

Berbau wangi sebelum ajal – Metro


Berbau wangi sebelum ajal

 199  1 Google +0  0  0

Oleh ARIFIN SALLEH

Alor Gajah: Seorang pelajar tingkatan satu sekolah menengah di Lubok Cina, Masjid Tanah, di sini maut dalam keadaan mengerikan apabila putus kaki kanan selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di Jalan Lubok Cina – Masjid Tanah, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa, Muhammad Amar Aidiel Rosli, 13, menunggang Yamaha Sport diekori rakannya, Ali Haikal Abd Aziz, 14, yang menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah ke Lubok Cina.
Dipercayai, sebaik tiba di lokasi, Perodua Myvi dipandu juruteknik, M Agilan, 24, dinaiki bersama tiga sepupunya berusia antara 21 hingga 30 tahun dari arah Lobok Cina ke Masjid Tanah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang kedua-dua remaja berkenaan.

 

Rempuhan mengakibatkan Muhammad Amar Aidiel yang melambung ke bahu jalan putus kaki kanan dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Ali Haikal cedera di kaki dan tangan kanan serta badan.
Ali Haikal berkata, sebelum kejadian dia mengekori motosikal ditunggang arwah beberapa meter di belakang sebelum melihat sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju menuju ke arah mereka.
“Saya menjerit ke arah arwah namun jeritan saya tidak didengarinya dan sekelip mata arwah melambung akibat dirempuh kereta berkenaan. Malah, saya yang cuba mengelak turut dirempuh kereta terbabit.

 

“Kejadian berlaku terlalu pantas, apabila bangun saya dapati arwah sudah tidak bergerak dan lebih menyedihkan kaki kanannya turut putus,” katanya ketika ditemui di Hospital Alor Gajah, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, ibu Muhammad Amar Aidiel, Mazliana Mahfol, 36, berkata dia tidak menyangka perubahan sikap anaknya yang menyatakan hasrat untuk tidur bersamanya sejak tiga hari lalu petanda arwah akan pergi selamanya.

 

Katanya, dia juga sempat bergurau dengan anaknya mengenai bau wangian air limau yang digunakan arwah ketika mandi pada pagi sebelum kejadian.
“Pada awalnya saya hairan apabila arwah menyatakan hasrat hendak tidur bersama saya kerana kebiasaannya dia tidak begitu, tidak sangka itu petanda arwah ingin bermanja dengan saya sebelum pergi meninggalkan kami.
“Malah arwah begitu berselera ketika menikmati makan tengah hari lauk gulai nangka yang saya masak sebelum dia meminta izin untuk keluar berjumpa rakannya kira-kira jam 3 petang (kelmarin),” katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital itu, malam kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan kejadian berkata, kemalangan berlaku selepas Perodua Myvi berkenaan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh dua motosikal ditunggang mangsa dan rakannya.
“Akibat rempuhan itu, Muhammad Amar Aidiel putus kaki kanan dan mati di tempat kejadian manakala rakannya hanya cedera ringan di badan. Bagaimanapun pemandu dan penumpang kereta tidak cedera.
“Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala rakannya dirawat sebagai pesakit luar dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/10