Kena lempang enam kali – Sinar Harian


Kena lempang enam kali
NOR AINNA HAMZAH
12 November 2013
  • Kena lempang enam kaliRizal menunjukkan telinganya yang berdesing akibat dilempang warden ketika meminta kebenaran keluar awal dari asrama.
< 1 / 1 >

REMBAU – Seorang pelajar dilempang warden bertugas sebanyak enam kali selepas meminta kebenaran keluar awal dari asrama sebuah sekolah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, pelajar berkenaan, Mohd Rizal Kamarulzaman, mengetuk rumah warden untuk meminta kebenaran keluar asrama awal memandangkan keluarganya datang menjemputnya.

Menurutnya, ketukan pertama tidak mendapat respons sehinggalah dia mengetuk buat kali kedua  dan ketiga lalu warden menyuruhnya menunggu sekejap.

“Jadi saya menunggu warden keluar dan apabila dia keluar, saya terus dilempang sebanyak enam kali iaitu tiga kali di pipi kanan dan tiga kali di pipi kiri kerana katanya, saya tidak sabar menunggunya keluar,” katanya selepas ditemui di kediamannya
dekat sini, semalam.

Tambah Rizal, selepas dilempang dia hanya menundukkan muka dan warden berkenaan bertanya kepadanya sama ada ingin memberitahu hal tersebut kepada ibu dan bapanya.

“Warden mengarahkan saya membasuh muka dan minum air selepas kejadian berkenaan. Kemudian, dia menurunkan tandatangan untuk membenarkan saya keluar.

“Tidak lama selepas itu, rakan-rakan lain datang untuk meminta tandatangan. Bagaimanapun, warden seakan menyindir apabila berkata ‘yang ini dah kena enam kali, yang lain-lain macam mana?” katanya.

Ibu mangsa, Mazlinda Mohd Zin, 43, berkata, dia sudah lama perasan apa sesuatu yang berlaku susulan perubahan sikap anaknya sejak beberapa bulan yang lalu.

“Namun segala-galanya terbongkar apabila melihat muka dan mata anak saya merah sebaik masuk ke dalam kereta.

“Suami saya bertanya kepada Rizal adakah dia baru bergaduh, namun dia mendiamkan diri.  Bagaimanapun, setelah diasak barulah Rizal berani menceritakan apa berlaku,” katanya.

Tambah Mazlinda, kejadian dilempang warden itu bukan kali pertama berlaku ke atas anaknya.

“Pada mulanya kami tidak mahu memanjangkan hal ini, bagaimanapun kami berjumpa dengan warden berkenaan untuk mengetahui perkara sebenar.

“Warden itu meminta maaf dan menyatakan Rizal boleh melempangnya sebanyak enam kali sebagai balasan,” katanya.

Mazlinda berkata, suaminya membuat laporan polis berhubung perkara itu dan difahamkan ramai pelajar asrama lain turut menerima nasib yang sama.

“Sekiranya pelajar mempunyai masalah disiplin yang serius, memang warden perlu beri pengajaran seperti ini tetapi bukanlah bagi kesalahan ini.

“Kami menunggu sampai ke petang di sekolah berkenaan dan sebaik polis tiba bagi berjumpa warden berkenaan, warden sudah menghilangkan diri bersama keluarganya,” katanya.

Kata Mazlinda, mujur anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan serius, hanya telinga berdesing dan dia berharap polis dapat menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Kajian kurang beban guru dibentang pada Persidangan NBOS 20 November ini – Bernama


Kajian kurang beban guru dibentang pada Persidangan NBOS 20 November ini

 

12/11/2013 12:16pm

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan telah memperluas skop kajian mengenai kaedah dan pendekatan terbaik bagi mengurangkan beban tugas guru.

Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan berkata, kajian diterajui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu melibatkan empat lapangan iaitu beban tugas guru, ketidaksepadanan opsyen guru, saiz kelas yang ideal dan pertindihan pangkalan data.

Katanya, hasil kajian yang diaplikasikan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan dibentangkan di Persidangan NBOS pada 20 November ini.

“Ia bagi mendapatkan pandangan dan harapan selanjutnya dalam usaha mengurangkan beban tugas guru secara holistik dan efektif,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Wira Mohd Johari Baharom (BN-Kubang Pasu) dalam

persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Kamalanathan berkata kementerian ketika ini telah melaksanakan pelbagai langkah membantu mengurangkan beban guru di seluruh negara termasuk melaksanakan pengintegrasian data bagi mengelakkan pertindihan pengisian data di peringkat sekolah dengan hanya menggunakan satu sistem iaitu sistem pengurusan sekolah.

“Kementerian turut melaksanakan penempatan seorang pembantu tadbir perkeranian operasi di semua sekolah kementerian di bawah Pelan Pembanguan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi mengurangkan beban guru,”

katanya.

Jelasnya, kementerian akan memberi komitmen penuh bagi memastikan isu berbangkit mengenai beban tugas guru ini diselesaikan sebelum pelaksanaan PPPM. – Bernama

Cemerlang sukan, akademik – Metro


Cemerlang sukan, akademik

Kuching: Pandai mengurus masa menjadi resipi kejayaan Muhammad Faris Abdullah, 16, yang terpilih penerima Anugerah Tunas Jaya Kategori Akademik (Lelaki) pada sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan, semalam.

Anak kelahiran Terengganu dan kini bersekolah di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Terengganu itu dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar Cemerlang Akademik dan Kokurikulum 2012 peringkat sekolah dan kini memegang jawatan sebagai pengawas.
“Minat yang mendalam terhadap bidang sukan sedikit pun tidak saya jadikan alasan untuk mengurangkan masa mengulang kaji pelajaran,” katanya yang sangat meminati subjek Sains.

 

Faris sebelum ini pernah mewakili negara dalam acara mendayung di Asia Cup Singapura, Korea Indoor Rowing Champion, Asion Junior 2013 di Uzbekistan dan Yoq Qualification di Nanjing, China sebagai pencapaian tertingginya setakat ini.
Selain itu, dia turut aktif dalam permainan ragbi dan pernah mewakili negara dalam Bangkok International 10’s, Cobra 10’ 2013 dan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Open 7’s.
Anak bongsu daripada lima beradik itu yang memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu itu mewakili negeri bagi Sukan Malaysia (SUKMA) dalam sukan ragbi membantu pasukannya muncul johan. Selain itu, Muhammad Faris turut aktif dalam bola baling dan olahraga serta bola sepak. Dia ditemui selepas majlis sambutan Hari Kanak-Kanak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.

 

Hadiah kepada pemenang bernilai RM3,000 berserta sijil disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Turut hadir, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri Datuk Fatimah Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Norani Mohd Hashim.

 

Sementara itu, bagi Kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) Cemerlang (Perempuan), Anis Adlina Sofia Ahmad Rahaizad, 13 yang mengalami disleksia atau masalah pembelajaran dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, Kuala Terengganu terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/12

Bas rombongan sekolah terbabas – Metro


Bas rombongan sekolah terbabas

Seremban: Seramai 19 murid, waris dan guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Serkam, Merlimau, Melaka yang dalam perjalanan pulang selepas mengikuti rombongan ke Langkawi, Kedah cedera sejurus bas dinaiki mereka terbabas dan terbalik di susur masuk Lebuhraya Utara – Selatan menghala ke Seremban, Nilai, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Lebuhraya Utara – Selatan Hubungan Tengah (Elite) menuju ke Melaka sebelum hilang kawalan.

Katanya, seramai 40 individu yang mengikuti rombongan itu melalui detik mencemaskan apabila bas terbabit dikatakan tergelincir sebelum berpusing tiga kali dan terbalik.

Akibatnya, 18 murid dan guru sekolah itu mengalami kecederaan, manakala seorang wanita berusia 33 tahun yang mengikuti rombongan bersama anaknya retak tulang belakang berserta kecederaan lain.

FotoKEADAAN bas yang terbalik di lebuh raya.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai apabila pemandu bas keliru berikutan lokasi kejadian mempunyai dua susur iaitu ke Kuala Lumpur dan Seremban.
“Tambahan pula jalan yang dilalui licin kerana hujan malam tadi (semalam),” katanya pemandu lingkungan 40-an itu yang bertindak menekan brek kecemasan menyebabkan bas berpusing, terbabas dan terbalik.

Mohd Yusoff berkata, sebuah lori yang membawa muatan sayur yang berada di belakang bas terbabit turut terbalik apabila cuba mengelak daripada melanggar kenderaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/12

Dr. M ulangi gesaan Sains, Matematik diajar dalam BI – Bernama


Dr. M ulangi gesaan Sains, Matematik diajar dalam BI

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulangi gesaan supaya subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris kerana ia bahasa ilmu dan bahasa industri hari ini. – BERNAMA