Makluman Pelanjutan Tempoh Prapelaksanaan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP), Kementerian Pendidikan Malaysia di Sekolah-Sekolah Seluruh Malaysia


Makluman Pelanjutan Tempoh Prapelaksanaan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP), Kementerian Pendidikan Malaysia di Sekolah-Sekolah Seluruh Malaysia

Document:
Tarikh Berita/News Date:
13/11/2013

Tak Hadir Penuh Ke Sekolah, Tapi Dapat 5A – Bernama


Tak Hadir Penuh Ke Sekolah, Tapi Dapat 5A

KOTA BAHARU, 14 Nov (Bernama) — Walaupun terpaksa ‘ponteng’ sekolah pada setiap Rabu, namun ia tidak menghalang anak seorang tukang rumah daripada memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Khamis.

Ahmad Zuhaidi Razali tidak dapat hadir pada hari tersebut kerana terpaksa menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat kemalangan jalan raya yang dialaminya enam tahun lepas.

Dia terpaksa menggunakan tongkat setiap kali ke Sekolah Kebangsaan Ketereh di sini dan menduduki UPSR sebagai calon berkeperluan khas.

“Saya tidak menyangka mendapat 5A kerana sering tidak menghadiri sesi persekolahan ekoran rawatan saya,” katanya ketika ditemui di sekolahnya.

Anak keempat dari lapan beradik dari Kampung Hutan Pasir ini menghadiahkan kejayaannya kepada ibu bapanya yang bersusah-payah menghantarnya ke sekolah setiap hari.

Bapanya Razali Harun, 44, berkata akibat kemalangan itu anaknya patah kaki kiri dan tercabut bahu kanannya.

“Akibat kemalangan itu, Amir Zuhaidi dimasukkan ke hospital selama 10 hari. Setelah sembuh, dia diserang penyakit saraf kaki. Dia terpaksa ponteng sekolah sehari dalam seminggu untuk menjalani rawatan fisioterapi dan terpaksa menggunakan tongkat untuk memudahkanya berjalan,” katanya.

Pada masa yang sama Razali berkata sehingga kini bil perubatan anaknya yang berjumlah RM1,500 masih belum mampu dijelaskannya walaupun anaknya mempunyai insurans berkelompok.

“Mujur ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM1,800 setahun untuk membiayai kos perubatan dan fisioterapi Amir Zuhaidi ketika ini,” katanya.

— BERNAMA

UPSR 2013: Banyak negeri catat peningkatan – Bernama


UPSR 2013: Banyak negeri catat peningkatan
14 November 2013
  • UPSR: 13 pelajar SK Seri Pristana dapat 5A
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 yang diumumkan hari ini dengan menunjukkan peningkatan dalam jumlah dan peratusan murid yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Selain Sarawak, negeri yang mencatat peningkatan ialah Terengganu dan Pulau Pinang manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak mencatatkan penurunan.

Di KUALA LUMPUR, seramai 2,108 calon mendapat gred A bagi semua mata pelajaran yang mencatatkan penurunan 0.5 peratus berbanding 2,467 calon tahun lepas, kata Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Abdullah Mad Yunus.

“Beberapa mata pelajaran mencatatkan penurunan antaranya Matematik, Sains, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil selain 495 calon daripada 21,403 mendapat keputusan gagal,” katanya.

Beliau berkata keputusan tahun ini mencatatkan peningkatan dalam jumlah murid yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya C bagi semua mata pelajaran kepada 14,791 orang berbanding 13,797 orang tahun lepas.

Di KUCHING, 1,916 daripada 42,904 calon UPSR Sarawak mencatat keputusan semua A iaitu peningkatan sebanyak 0.09 peratus berbanding tahun lalu, kata Pengarah Pendidikan negeri Datuk Abdillah Adam.

“SK Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching mencatat calon paling ramai memperoleh A dalam semua mata pelajaran iaitu 61 orang,” katanya.

Di GEORGE TOWN, sebanyak 2,722 atau 11.6 peratus dari 23,562 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin.

Beliau berkata keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.11 peratus berbanding tahun lepas iaitu 2,752 murid daripada 26,370 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.

“Pada keseluruhannya, sebanyak 15,996 murid atau 68.55 peratus mencatat sekurang-kurangnya gred C dalam keseluruhan mata pelajaran  dan jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 peratus berbanding 17,904 murid tahun lepas,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 3,039 daripada 21,701 calon cemerlang dengan memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang mencatatkan peningkatan kepada 14 peratus berbanding 13.22 peratus tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu Zakaria Hussin berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Chalok Model Khas, Setiu pula merupakan sekolah terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.14 apabila tujuh daripada sepuluh calonnya mendapat 5A.

Di IPOH, sebanyak 3,249 atau 8.49 peratus daripada 38, 248 murid yang menduduki UPSR di Perak lulus cemerlang dengan memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Muhammat Roli Hassan berkata berkata peratusan calon yang mencapai tahap penguasaan minimum (A,B,C) bagi semua mata pelajaran menurun daripada 63.77 peratus pada tahun ini, berbanding 65.10 peratus tahun lepas.

“Sekolah yang paling banyak calon memperolehi A dalam semua mata pelajaran ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Ave Maria Convent, Ipoh (66 calon), Sekolah Jenis Kebangsaan Yuk Choy (45), Sekolah Kebangsaan Marian Convent (41), Sekolah Kebangsaan Tasik Damai (32) dan Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist (35),” katanya. – Bernama

UPSR 2013 terbaik dalam empat tahun – KP Pendidikan – Bernama


UPSR 2013 terbaik dalam empat tahun – KP Pendidikan

 

14/11/2013 11:53am

 

PUTRAJAYA – Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud hari ini.

Beliau berkata, seramai 466,167 calon menduduki UPSR pada tahun ini dan pencapaian keseluruhan telah meningkat sebanyak 0.04 mata Gred Purata Nasional (GPN).

“Ini merupakan keputusan UPSR terbaik dalam tempoh empat tahun iaitu sejak tahun 2010 di mana GNP telah meningkat dari 2.31 mata pada tahun 2010 kepada 2.30 mata (2011), 2.31 mata (2012) dan 2.27 mata pada tahun ini. (Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik).

“Ini satu pencapaian yang membanggakan. Saya mengucapkan tahniah kepada semua guru dan pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di sini hari ini.

Abd Ghafar berkata, seramai 42,646 calon UPSR tahun ini berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran, peningkatan sebanyak 0.21 peratus berbanding tahun lalu. – Bernama

‘Nak tukar ke kampung susahlah sikit…’ – Metro


‘Nak tukar ke kampung susahlah sikit…’

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan komited memastikan isu pertukaran guru dapat diselesaikan bagi membolehkan pasangan guru yang sudah berkeluarga ditempatkan bersama atas permohonan mereka.

Timbalan Menterinya, P Kamalanathan bagaimanapun berkata, terdapat juga permohonan pertukaran yang diterima bukan bertujuan untuk tinggal bersama pasangan, sebaliknya ingin pulang bertugas di kampung halaman.
“Isunya bukan penukaran nak bersama (pasangan), tetapi isu nak balik ke kampung. Sekiranya nak (tinggal) bersama kita boleh cuba, kalau balik ke kampung agak sukar sikit. Itu saja,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Wira Othman Abdul (BN-Pendang) di Dewan Rakyat, semalam.

 

Othman ingin tahu sama ada kementerian boleh menukarkan pasangan guru yang sudah berkeluarga supaya mereka dapat bersama di sekolah berdekatan atas permohonan mereka.
Kamalanathan berkata, data sehingga Julai lalu menunjukkan 142,474 guru (94.9 peratus) di sekolah menengah tinggal bersama pasangan manakala hanya 7,711 guru (5.1 peratus) tinggal berasingan suami dan isteri.
“Bagi sekolah rendah pula, 190,252 guru (95.4 peratus) tinggal bersama pasangan dan hanya 4.8 peratus (9,124) guru tinggal berasingan dengan pasangan.

 

“Walaupun peratus tinggal berasingan ini kecil, kementerian terus mencari pelbagai kaedah bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Beliau berkata, penekanan terhadap kekosongan jawatan adalah berdasarkan waran perjawatan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/14

UPSR 2013: Calon dapat A, B, C bagi Bahasa Inggeris menurun – Berita Harian


UPSR 2013: Calon dapat A, B, C bagi Bahasa Inggeris menurun

2013/11/14 – 09:44:02 AMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang memperoleh A untuk subjek bahasa Inggeris menurun 0.2 peratus tahun ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Bercakap pada sidang media bagi mengumumkan keputusan UPSR seluruh negara, di sini sebentar tadi, beliau berkata pelajar yang memperoleh keputusan B dan C untuk bahasa Inggeris juga merosot masing-masing kepada 1.8 peratus dan 0.9 peratus).

“Bagi keputusan D dan E untuk bahasa Inggeris, ia meningkat masing-masing kepada 2.1 peratus dan 0.9 peratus,” katanya.

UPSR 2013: 27,681 pelajar bandar, 17,329 pelajar luar bandar peroleh semua A – Berita Harian


UPSR 2013: 27,681 pelajar bandar, 17,329 pelajar luar bandar peroleh semua A

2013/11/14 – 09:29:12 AMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Seramai 27,681 pelajar di kawasan bandar dan 17,329 pelajar di luar bandar memperoleh A dalam semua subjek dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata demikian pada siding media bagi mengumumkan keputusan pencapaian UPSR 2013, di sini sebentar tadi.

Calon UPSR peroleh semua A meningkat 0.78 peratus di Terengganu – Berita Harian


Calon UPSR peroleh semua A meningkat 0.78 peratus di Terengganu

2013/11/14 – 11:58:09 AMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Terengganu terus mengekalkan pencapaian cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah (UPSR) apabila Gred Purata Negeri (GPN)meningkat 0.01 kepada 2.20, berbanding 2.21 tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri, Zakaria Husin, berkata pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A pula meningkat sebanyak 0.78 peratus kepada 14 peratus tahun ini, berbanding 13.22 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, lebih membanggakan, Sekolah Kebangsaan Paya Bunga iaitu antara sekolah paling corot dan bermasalah di bandar raya ini menduduki tangga kelima dari keseluruhan 21 sekolah yang menunjukkan pencapaian terbaik dalam UPSR tahun ini.

Peratusan hampir semua subjek UPSR meningkat di Sarawak – Berita Harian


Peratusan hampir semua subjek UPSR meningkat di Sarawak

2013/11/14 – 12:38:13 PMCetakEmel Kawan
MATANG JAYA: Sarawak berjaya mencatat keputusan terbaik Gred Purata Negeri (PGN) 2.52, iaitu yang terbaik dalam tempoh 11 tahun bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Seramai 1,916 calon UPSR negeri mencatat keputusan semua A dengan hampir semua subjek mencatat peningkatan kelulusan.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Abdillah Adam, berkata keputusan cemerlang ini adalah hasil dari kejayaan guru mendidik murid dan ibu bapa.

5,532 calon UPSR di Johor peroleh 5A – Berita Harian


5,532 calon UPSR di Johor peroleh 5A

2013/11/14 – 12:40:20 PMCetakEmel Kawan
JOHOR BAHRU: Seramai 5,532 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat negeri Johor berjaya memperoleh keputusan cemerlang 5A di sini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Hasidin Zaini berkata pada tahun ini seramai 58,391 mendaftar sebagai calon membabitkan 917 sekolah berbanding tahun sebelum 65,021 calon yang menunjukkan pengurangan sebanyak 10.20 peratus.

Bagaimanapun Gred Purata Negeri (GPN) bagi negeri ini meningkat sebanyak 0.05 peratus dengan gred 2.19 berbanding tahun lalu 2.14 sekaligus menunjukkan pencapaian GPN mengatasi Gred Purata Nasional 2.27 mata gred sebagai yang terbaik pernah dicapai di negeri ini.