Murid cemerlang UPSR parah dirempuh kereta – Bernama


Murid cemerlang UPSR parah dirempuh kereta

 

15/11/2013 7:17pm

 

KUALA TERENGGANU – Seorang murid Sekolah Kampung Nyoir, Dungun tidak menyangka terbabit dalam kemalangan sehari sebelum dia memperoleh keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.40 pagi pada Rabu ketika Nur Iffah Qharina Amri, 12, hendak melintas jalan ke kedai milik ibunya tetapi dirempuh sebuah kereta.

Akibat itu, dia patah kaki dan tangan dn terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Menurut ibunya Zalina Ghani, 41, ketika itu anak ketiganya itu singgah di gerainya yang terletak berdekatan rumah mereka untuk bersarapan sebelum pergi ke sekolah.

Beliau berkata anaknya yang lengkap berpakaian sekolah begitu teruja untuk ke sekolah sebelum mengetahui keputusan peperiksaannya pada hari esok.

“Dia memang teruja kerana dia begitu yakin akan memperoleh 5A,” katanya ketika ditemui di HSNZ hari ini.

Beliau berkata, selepas anaknya itu sedar kira-kira pukul 4 pagi tadi, Nur Iffah Qharina memberitahu dia hendak balik ke Dungun untuk mengambil keputusan peperiksaan bersama kawan-kawannya.

“Semalam ibu saudaranya yang mengambil keputusannya. Selepas dia sedar tadi, saya memaklumkan dia mendapat 5A.

“Dia sangat gembira namun sedih kerana tidak dapat berkongsi detik indah itu bersama rakan-rakan yang lain,” katanya.

Sementara itu, Nur Iffah Qharina berkata dia berhasrat untuk belajar di Sekolah Menengah Agama Rantau Abang bersama rakannya yang lain. – Bernama

‘Tanya soalan jika tak faham’ – Metro


‘Tanya soalan jika tak faham’

Shah Alam: “Macam mimpi, tidak percaya saya mendapat 5A kerana saya kurang mengulangkaji menjelang peperiksaan,” kata Anisa Yahya, 12, yang mencatat sejarah apabila menjadi anak Orang Asli pertama mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Selangor.

Anisa, murid Sekolah Kebangsaan (Asli) Bukit Cheding Kuala Langat antara 7,914 calon UPSR mencapai keputusan cemerlang dan memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran diambil.

Menurutnya, tiada apa yang membezakan anak Orang Asli dengan pelajar lain di bandar untuk mencapai kejayaan kerana yang penting ialah fokus dalam bilik darjah.

“Saya suka menonton televisyen setiap hari menyebabkan saya kurang mengulangkaji pelajaran. Malah, ketika peperiksaan percubaan, saya hanya mendapat 3A 2B.

FotoANISA menunjukkan keputusan diterima kepada Lela di Seksyen 4, Shah Alam, semalam.

“Saya memberi sepenuh perhatian ketika dalam kelas ketika cikgu sedang mengajar dan bertanya soalan jika ada yang tidak faham,” katanya yang ditemui selepas Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 di sini, semalam.
Ibu saudaranya, Lela Belit, 56, yang menjaganya mengakui anak saudaranya itu tidak mengulangkaji pelajaran walaupun dia sering menegur Anisa.

“Puas saya memarahinya, tetapi dia lebih gemar menonton televisyen. Namun, selepas dia dapat 3A 2B dalam peperiksaan percubaan, saya tidak mengganggunya kerana percaya dengan kebolehannya,” katanya.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu bercita-cita ingin menjadi pereka fesyen dan mahu membuktikan kemampuan anak Orang Asli.

Turut memperolehi 5A ialah murid Sekolah Rendah (Berkeperluan Khas) Seksyen Satu Bandar Kinrara, Puchong Aineen Sofea Azhari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/15

Ubat penenang bantu perubahan – Metro


Ubat penenang bantu perubahan

Kepala Batas: Walaupun menghadapi kesukaran belajar atau ‘disleksia’ dan ‘hiperaktif’ sehingga pernah dimasukkan dalam Kelas Pendidikan Khas, seorang murid Sekolah kebangsaan Hashim Awang (SKHA), di sini, membuktikan dirinya pelajar terbaik dengan meraih 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.

Muhammad Hamizan Mohd Hawari, 12, mulanya mengikuti pembelajaran dalam kelas biasa sebelum dimasukkan ke Kelas Pendidikan Khas ketika di tahun empat berikutan sukar memberi perhatian pada pelajaran.
Dia terpaksa diberi ubat supaya menjadi tenang sebelum dapat memberi tumpuan pada pelajaran sama ada di sekolah atau rumah selain ibu bapanya menjadi ‘guru kedua’ ketika dia mengulang kaji pelajaran di rumah.

 

Menurut Muhammad Hamizan, dia mengulang kaji pelajaran lima jam sehari sebaik pulang dari sekolah sambil dibantu bapa, Mohd Hawari Rofiaae, 40, seorang jurutera dan ibu, Kartina Sari Idris, 39, pengamal undang-undang.
“Saya belajar seperti biasa di sekolah sebelum merujuk dengan ibu bapa ketika di rumah kerana mereka ibarat ‘guru kedua’.
“Saya juga banyak membuat latihan supaya lebih memahami setiap bab diajar guru,” katanya.

 

Anak sulung daripada tiga beradik itu antara lapan murid SKHA yang memperoleh 5A daripada 96 orang yang menduduki UPSR tahun ini.
Muhammad Hamizan juga menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Pendidikan Khas peringkat negeri Pulau Pinang, baru-baru ini.

 

“Selain membuat banyak latihan, saya juga ke kelas tambahan,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.
Sementara itu, Mohd Hawari berkata, ketika di tahun satu hingga tiga, anak sulungnya itu sukar dikawal selain sukar memberi perhatian pada pelajaran hingga terpaksa diberi ubat penenang.
“Selepas diberi ubat dan diberi tunjuk ajar secara berterusan, barulah dia boleh fokus pada pelajaran dan dikeluarkan dari Kelas Pendidikan Khas dan dipindahkan ke kelas biasa ketika tahun lima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/15

Pelajar bertongkat, ibu bapa susah – Metro


Pelajar bertongkat, ibu bapa susah

Oleh Adnan Mohamad

Kota Bharu: Dia cacat manakala bapanya bekerja sebagai buruh binaan dan ibunya pula penoreh getah, namun ia bukan penghalang untuk Amir Zuhaidi Razali, 12, cemerlang dalam pelajaran apabila memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan semalam.

Bercita-cita menjadi doktor, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh, dekat sini, itu turut diiktiraf murid terbaik UPSR di sekolahnya serta murid terbaik berkeperluan khas di negeri ini.

Amir Zuhaidi cacat kaki kanan selepas dilanggar seorang pemandu kereta ketika dalam perjalanan pulang dari tadika enam tahun lalu dan kini terpaksa bertongkat.

Pada pengumuman UPSR di sekolahnya semalam, Amir Zuhaidi didukung bapanya ketika menerima keputusan dan anugerah disumbangkan pihak sekolah selain mendapat tepukan gemuruh daripada seluruh warga sekolah.

FotoAMIR Zuhaidi menunjukkan keputusan UPSRnya kepada Razali.

Menurutnya, dia mahu melanjutkan pelajaran di mana-mana sekolah berasrama penuh.
“Mungkin dengan tunjuk ajar guru dan rakan sebaya yang lain saya dapat merealisasikan impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman dan Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pentaksiran Kerja Amali.

Bapanya Razali Harun, 45, bersyukur anak keempat daripada lapan beradik itu mampu memperoleh keputusan cemerlang.

Katanya anaknya lebih banyak berada di rumah berbanding di sekolah selepas terbabit kemalangan kerana terpaksa menjalani tiga pembedahan di kaki serta menjalani rawatan fisioterapi di hospital.

“Saya masih ingat walaupun kakinya berbungkus selepas menjalani pembedahan, namun dia tetap mahu ke sekolah untuk belajar.

“Ketika itu saya berulang alik ke sekolah menggunakan motosikal dari rumah dan bersyukurlah hasil penat lelah itu ternyata berbaloi apabila dia mencatat keputusan cemerlang dalam UPSR,” katanya dari Kampung Hutan Pasir, Ketereh.

Katanya, dia berharap kejayaan Amir Zuhaidi tidak terhenti setakat itu dan diteruskan pada masa hadapan sehingga mampu mengubah nasib keluarganya.

“Saya buruh binaan manakala isteri penoreh getah dan saya harap kecemerlangan Amir Zuhaidi berterusan supaya dapat mengubah nasib keluarga,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Ketereh Che Hassin Isa, berkata, seramai 29 daripada 139 murid sekolah berkenaan berjaya mendapat 5A.

Katanya, lebih membanggakan keputusan cemerlang itu turut disumbangkan seorang murid istimewa.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Zahari Daud berkata, seramai 4,703 daripada 32,632 calon UPSR pada tahun ini mendapat keputusan 5A.

Katanya, peratusan cemerlang sekolah luar bandar menunjukkan pencapaian lebih tinggi berbanding sekolah bandar.

“Sebanyak 10 sekolah yang mencatatkan keputusan terbaik adalah SK Chabang Tiga Chetok, SK Biak, Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin, SK Pangkal Kala, SK Zainab 2, SK Chantum, SK Penggu, SK Zainab 1, SK Othman Talib 2 dan SK Kubang Kerian 3.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sentiasa dipertingkat: Mary Yap – Bernama


Kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sentiasa dipertingkat: Mary Yap

2013/11/15 – 18:41:24 PMCetakEmel Kawan
SERDANG: Menjadikan pembelajaran subjek bahasa Inggeris lebih seronok adalah antara kaedah yang diguna oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha mempertingkat penguasaan pelajar dalam mata pelajaran itu.

Timbalan Menteri berkenaan, Mary Yap Kain Ching berkata perkara itu dilakukan menerusi kegiatan kokurikulum seperti koir, deklamasi puisi dan pertandingan bercerita serta pelbagai lagi.

“Dalam masa yang sama ada keperluan untuk terus mempertingkat kemahiran guru bahasa Inggeris selain menggalakkan warga pendidik lebih profesional dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Pembelajaran Bahasa Inggeris 2013, di sini, hari ini.

Katanya, kementerian juga akan memastikan pembelajaran bahasa Inggeris dilaksana dalam waktu berturut-turut bagi membolehkan pelajar mempraktik apa yang dipelajari ketika sesi pertama.

“Dari jadual kelas dan kurikulum hinggalah kepada infrastruktur dan sumber, kita merancang dan melaksana pelbagai langkah bagi menyepadukan usaha memberi nafas baru kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris,” katanya. – BERNAMA

Bekas guru rogol, cabul murid kekal dipenjara, sebat – Utusan


Bekas guru rogol, cabul murid kekal dipenjara, sebat

 

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 15 Nov. – Seorang bekas guru kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun dan sebatan tujuh kali kerana merogol dan mencabul seorang muridnya yang masih di bawah umur dalam makmal sains sekolah tersebut, empat tahun lalu.

Perkara itu berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Azahar Mohamed yang menolak rayuan akhir Yek Hock Soon, 30.

Hukuman berkuat kuasa hari ini.

Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa mangsa merupakan saksi yang boleh dipercayai dan keterangannya berhubung kejadian rogol dan cabul adalah munasabah. – UTUSAN ONLINE