Pelajar bertongkat, ibu bapa susah – Metro


Pelajar bertongkat, ibu bapa susah

Oleh Adnan Mohamad

Kota Bharu: Dia cacat manakala bapanya bekerja sebagai buruh binaan dan ibunya pula penoreh getah, namun ia bukan penghalang untuk Amir Zuhaidi Razali, 12, cemerlang dalam pelajaran apabila memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan semalam.

Bercita-cita menjadi doktor, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh, dekat sini, itu turut diiktiraf murid terbaik UPSR di sekolahnya serta murid terbaik berkeperluan khas di negeri ini.

Amir Zuhaidi cacat kaki kanan selepas dilanggar seorang pemandu kereta ketika dalam perjalanan pulang dari tadika enam tahun lalu dan kini terpaksa bertongkat.

Pada pengumuman UPSR di sekolahnya semalam, Amir Zuhaidi didukung bapanya ketika menerima keputusan dan anugerah disumbangkan pihak sekolah selain mendapat tepukan gemuruh daripada seluruh warga sekolah.

FotoAMIR Zuhaidi menunjukkan keputusan UPSRnya kepada Razali.

Menurutnya, dia mahu melanjutkan pelajaran di mana-mana sekolah berasrama penuh.
“Mungkin dengan tunjuk ajar guru dan rakan sebaya yang lain saya dapat merealisasikan impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman dan Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pentaksiran Kerja Amali.

Bapanya Razali Harun, 45, bersyukur anak keempat daripada lapan beradik itu mampu memperoleh keputusan cemerlang.

Katanya anaknya lebih banyak berada di rumah berbanding di sekolah selepas terbabit kemalangan kerana terpaksa menjalani tiga pembedahan di kaki serta menjalani rawatan fisioterapi di hospital.

“Saya masih ingat walaupun kakinya berbungkus selepas menjalani pembedahan, namun dia tetap mahu ke sekolah untuk belajar.

“Ketika itu saya berulang alik ke sekolah menggunakan motosikal dari rumah dan bersyukurlah hasil penat lelah itu ternyata berbaloi apabila dia mencatat keputusan cemerlang dalam UPSR,” katanya dari Kampung Hutan Pasir, Ketereh.

Katanya, dia berharap kejayaan Amir Zuhaidi tidak terhenti setakat itu dan diteruskan pada masa hadapan sehingga mampu mengubah nasib keluarganya.

“Saya buruh binaan manakala isteri penoreh getah dan saya harap kecemerlangan Amir Zuhaidi berterusan supaya dapat mengubah nasib keluarga,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Ketereh Che Hassin Isa, berkata, seramai 29 daripada 139 murid sekolah berkenaan berjaya mendapat 5A.

Katanya, lebih membanggakan keputusan cemerlang itu turut disumbangkan seorang murid istimewa.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Zahari Daud berkata, seramai 4,703 daripada 32,632 calon UPSR pada tahun ini mendapat keputusan 5A.

Katanya, peratusan cemerlang sekolah luar bandar menunjukkan pencapaian lebih tinggi berbanding sekolah bandar.

“Sebanyak 10 sekolah yang mencatatkan keputusan terbaik adalah SK Chabang Tiga Chetok, SK Biak, Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin, SK Pangkal Kala, SK Zainab 2, SK Chantum, SK Penggu, SK Zainab 1, SK Othman Talib 2 dan SK Kubang Kerian 3.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s