Pelajar dakwa diliwat tiga kali – Sinar Harian


Pelajar dakwa diliwat tiga kali
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 November 2013
  • Pelajar dakwa diliwat tiga kaliNg (dua, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat sewaktu ditemui di pejabat MCA Selayang Jaya, kelmarin.
< 1 / 1 >

SELAYANG – Bapa seorang pelajar tingkatan 2 membuat laporan polis selepas mendakwa anaknya diliwat sebanyak tiga kali oleh kenalan barunya  di tiga lokasi berbeza di Kepong sejak Ogos lalu.

Bapa yang mahu dikenali sebagai Ng, 53, berkata, kejadian hanya diketahui Oktober lalu selepas anak lelakinya mengadu mengalami pendarahan sewaktu membuang air besar.

Menurutnya, pihak hospital memaklumkan perlu membuat laporan polis sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan.

“Anak saya takut memaklumkan kejadian kerana telah diberikan amaran dan menerima ugutan akan dicederakan menyebabkan perkara itu hanya didiamkan.

“Bagaimanapun dia mengadu mengalami pendarahan sewaktu membuang air besar menyebabkan saya dan isteri membawanya untuk pemeriksaan dan ketika itu barulah kami mengetahui isu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, suspek sehingga kini belum ditahan dan anaknya hampir tiga minggu tidak ke sekolah kerana bimbang keselamatan diri kerana dipercayai suspek berlindung di sebalik kumpulan gengster.

“Anak berkenalan dengan suspek di kawasan menunggu di sekolah dan memperkenalkan diri dari persatuan wusyu ingin membantunya menjadi kuat kerana anak saya dari kecil menghidap kencing manis serta bergantung dengan ubat-ubatan.

“Suspek berusia 20-an dan yakin ramai mangsa yang tertipu dengannya serta membuat gangguan seksual di sebalik persatuan wushu,” katanya.

Katanya, dia berharap pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan supaya suspek dikenakan tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Pengerusi MCA cawangan Selayang Jaya, Jessie Ooi meminta supaya pihak sekolah lebih tegas melarang pihak luar yang tiada urusan daripada masuk ke kawasan sekolah.

“Pihak sekolah juga diminta untuk mengawal keselamatan pelajar-pelajar termasuk memantau anak-anak yang tiba awal ke sekolah dan pulang lewat.

“Kejadian berlaku sewaktu mangsa tiba awal ke sekolah dan didatangi suspek iaitu orang luar yang menawarkan latihan wushu secara percuma untuk tujuan pertahankan diri sebaliknya melakukan aktiviti tidak bermoral ke atas pelajar tersebut,” katanya.

Murid cemerlang UPSR terima hadiah kereta – Sinar Harian


Murid cemerlang UPSR terima hadiah kereta
ROSALWANI CHE SOH
15 November 2013
  • Murid cemerlang UPSR terima hadiah keretaSiti Nur Fatini Zulaika di hadapan kereta Mini Cooper yang dihadiahkan bapanya.
< 1 / 1 >

KOTA BHARU – “Saya tak sangka ayah akan tunaikan hajat untuk menghadiahkan kereta Mini Cooper kepada saya,” kata pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Nur Fatini Zulaika Zukila, 12.

Anak pembekal ayam di Kota Bharu itu yang juga murid Sekolah Kebangsaan Zainab 1, memperoleh keputusan 5A dalam semua lima mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan UPSR, diumumkan semalam.

Menurutnya, hadiah itu anugerah istimewa baginya kerana sebelum ini dia pernah menyatakan minatnya terhadap kereta tersebut yang kelihatan comel dan menarik kepada bapanya, Zukila Deraman, 36, dan ibunya, Nor Aishah Mahmud, 31.

“Ayah beritahu saya, jika saya dapat keputusan cemerlang dalam UPSR, dia janji untuk hadiahkan kereta tersebut.

“Memang pada mulanya seperti tidak percaya dan tidak sangka impian untuk memiliki kereta idaman tercapai selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Tanjung Chat, di sini, hari ini.

Anak sulung daripada empat beradik ini bercita-cita menjadi juruterbang dan berhasrat melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Insya-Allah, mungkin enam tahun lagi apabila saya dapat lesen memandu, saya akan pandu sendiri kereta kesayangan saya ini.

“Ayah dan ibu banyak bagi semangat untuk saya belajar. Mungkin hadiah ini agak pelik bagi saya yang baru berusia 12 tahun tapi inilah pendorong semangat untuk saya berjaya dan berharap akan terus capai keputusan cemerlang di peringkat menengah nanti,” katanya.

Kanak-kanak mati jatuh van sekolah – Metro


Kanak-kanak mati jatuh van sekolah

Johor Bahru: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas terjatuh daripada van sekolah dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dalam kemalangan di Taman Sri Pulai Perdana 2 di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Chan Zheng Yu, bersama dua rakannya berada di dalam van dan dalam perjalanan pulang dari sebuah tadika di Taman Sri Pulai ke rumahnya di Kangkar Pulai. Difahamkan, ketika kejadian pintu van itu disyaki tidak ditutup rapat menyebabkan mangsa tercampak keluar dan terjatuh ke jalan raya ketika kenderaan berkenaan melalui bonggol.
Chan yang cedera parah di kepala dikejarkan ke Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini oleh pemandu van sekolah itu untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia. Ibu bapa Chan yang terkilan dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu enggan mengulas.

 

Sementara itu, jurucakap tadika Chan belajar yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, mangsa dan rakannya meninggalkan tadika terletak di Taman Sri Pulai pada jam 11.45 pagi. Menurutnya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke rumahnya di Kangkar Pulai. “Pagi sebelum kejadian tadi dia kelihatan ceria. Dia bukan seorang kanak-kanak nakal. Dia bijak dan mengikut arahan diberikan. “Kami menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 12.25 tengah hari dan datang ke sini (HSA) untuk menyampaikan takziah serta memberikan sokongan moral kepada keluarga Chan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata, pemandu van dan keluarga mangsa sudah membuat laporan polis berkaitan kejadian dan pihaknya kini menjalankan siasatan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sesiapa mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/16

Jangan jadi alasan ganti MBMMBI – Metro


Jangan jadi alasan ganti MBMMBI

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Lumpur: Penurunan prestasi Sains dan Matematik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 diumumkan kelmarin tidak harus dijadikan alasan oleh pihak tertentu untuk mengembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pada 2011, kerajaan mengumumkan pemansuhan PPSMI dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebelum diperluaskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, penurunan prestasi dalam subjek berkenaan perkara biasa yang berlaku setiap tahun, malah tidak tertakluk kepada subjek tertentu. “Jangan sebab keputusan ini (penurunan prestasi) dijadikan alasan oleh pihak tertentu untuk mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (BI), sekali gus mengaitkan dengan minat pelajar yang tidak suka belajar dalam bahasa Melayu.
“Itu bukan faktor penyumbang, apatah lagi peratusan penurunannya terlalu kecil, kurang daripada 0.5 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), maka ia memang perkara biasa yang berlaku setiap tahun.

 

“Tak perlu dibimbangkan dan saya berharap tiada pihak yang kemaruk serta taksub dengan BI ini mahu menjadikannya penyebab serta kembalikan PPSMI. Ia sama sekali tak wajar,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi keputusan UPSR 2013 diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud yang mencatatkan penurunan minimum dengan Matematik menurun 0.03 mata GPMP manakala Sains sebanyak 0.02 mata GPMP berbanding tahun lalu.
Turut mencatatkan penurunan adalah prestasi keseluruhan BI sebanyak 0.06 mata GPMP.

 

Mengulas lanjut, Teo yang juga bekas Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 berkata, sudah tiba masa bagi semua pihak untuk tidak terlalu mengambil kira faktor bilangan pelajar memperoleh A sebagai pengukur prestasi.
“Peperiksaan bukan segala-galanya dalam kita mengukur prestasi dan ini cuba diterapkan dalam PPPM yang menilai berdasarkan penaksiran sekolah dan melihat secara keseluruhan termasuk pelajar lulus meskipun tidak cemerlang,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/16