Kanak-kanak mati jatuh van sekolah
Johor Bahru: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas terjatuh daripada van sekolah dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dalam kemalangan di Taman Sri Pulai Perdana 2 di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Chan Zheng Yu, bersama dua rakannya berada di dalam van dan dalam perjalanan pulang dari sebuah tadika di Taman Sri Pulai ke rumahnya di Kangkar Pulai. Difahamkan, ketika kejadian pintu van itu disyaki tidak ditutup rapat menyebabkan mangsa tercampak keluar dan terjatuh ke jalan raya ketika kenderaan berkenaan melalui bonggol.
Chan yang cedera parah di kepala dikejarkan ke Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini oleh pemandu van sekolah itu untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia. Ibu bapa Chan yang terkilan dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu enggan mengulas.
Sementara itu, jurucakap tadika Chan belajar yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, mangsa dan rakannya meninggalkan tadika terletak di Taman Sri Pulai pada jam 11.45 pagi. Menurutnya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke rumahnya di Kangkar Pulai. “Pagi sebelum kejadian tadi dia kelihatan ceria. Dia bukan seorang kanak-kanak nakal. Dia bijak dan mengikut arahan diberikan. “Kami menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 12.25 tengah hari dan datang ke sini (HSA) untuk menyampaikan takziah serta memberikan sokongan moral kepada keluarga Chan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata, pemandu van dan keluarga mangsa sudah membuat laporan polis berkaitan kejadian dan pihaknya kini menjalankan siasatan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sesiapa mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/16