Helah suruh ambil telefon – Metro


Helah suruh ambil telefon

Kerteh: Helah seorang lelaki meminta anak saudaranya berusia 14 tahun mengambil telefon bimbit dalam bilik tidurnya berjaya memperdaya remaja berkenaan sebelum dirogol lelaki terbabit.

Kejadian dikatakan berlaku pada awal bulan ini ketika mangsa yang tidak bersekolah mengunjungi rumah lelaki terbabit yang berusia 45 tahun, di Kampung Labohan, di sini, kira-kira jam 3 petang.
Sumber berkata, sebelum kejadian, lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh meminta mangsa mengambil telefon bimbit yang kononnya ditinggalkan dalam bilik tidurnya.

 

Namun, selepas beberapa minit mangsa gagal menemui telefon berkenaan, lelaki terbabit dikatakan menyusuri anak saudaranya ke bilik berkenaan kononnya untuk mengambil sendiri peranti komunikasi itu.
Sumber berkata, sebaik memasuki bilik, lelaki berusia 45 tahun itu tanpa berfikir panjang terus mendakap dan merebahkan mangsa di atas katil dan merogolnya.
“Terkejut dengan tindakan lelaki terbabit, mangsa cuba melawan bagi mengelak dirogol, tetapi tidak berjaya,” katanya.

 

Ketika kejadian, mangsa dikatakan hanya tinggal berdua dengan lelaki terbabit di rumah berkenaan kerana ibu saudaranya tiada di rumah.
Selepas melampiaskan nafsu, lelaki terbabit mengugut mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada keluarga atau ibu saudaranya.

 

Bagaimanapun, peristiwa hitam itu sering menghantui mangsa menyebabkan mangsa yang tidak tahan menanggung derita memaklumkan kejadian itu kepada keluarga sebelum membuat laporan di Balai Polis Kerteh, di sini, pagi kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/18

Panda mahu jadi ustaz – Metro


Panda mahu jadi ustaz

Kota Belud: “Saya bercita-cita mahu menjadi seorang ustaz apabila dewasa nanti,” kata Jaimijam Asam, 9, penghuni Darul Bakti, Kampung Bobot, di sini, semalam.

Dia yang tinggal di rumah itu sejak berusia lima tahun dan kini belajar di Sekolah Kebangsaan Tempasuk, di sini, mengakui seronok tinggal di Darul Bakti.
Katanya, sejak menghuni rumah itu, dia banyak diberi ilmu terutama dari segi keagamaan.

 

“Saya tinggal di sini bersama dua lagi abang saya dan kami rasa seronok kerana diberi banyak ilmu terutama dari segi keagamaan.
“Ini yang mendorong saya untuk menjadi seorang ustaz apabila dewasa nanti,” katanya.
Pengetua Darul Bakti Rahmat Lokman berkata, Jaimijam bersama dua abangnya, Sukurley Asam, 13, dan Bonni Asam, 16, dimasukkan ke Darul Bakti selepas bapa saudara mereka tidak mampu untuk menanggung tiga beradik itu atas masalah kewangan.

 

Katanya, Jaimijam atau lebih manja dipanggil Panda juga adalah seorang kanak-kanak yang aktif sepanjang berada di Darul Bakti.
“Ketika Jaimijam masuk ke Darul Bakti, dia amat manja kepada kakitangan dan petugas di sini menyebabkan kami memanggilnya dengan panggilan Panda.

 

“Selain itu, dia juga lebih gemar tinggal di Darul Bakti apabila musim cuti sekolah berbanding pulang ke rumah bapa saudaranya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/18

Cemburu rakan sekolah – Metro


Cemburu rakan sekolah

Kota Belud: “Saya hendak pergi sekolah seperti kawan yang lain,” kata Mohd Taufik Abdullah, 7, yang tidak dapat belajar di sekolah kerajaan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Mohd Taufik dihantar ke Darul Bakti, Kampung Bobot, di sini, pada Mei lalu melalui kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk diberi persekolahan secara percuma di rumah berkenaan.
Katanya, dia cemburu dan sedih melihat rakan lain memakai pakaian seragam dan sibuk bersiap ke sekolah hampir setiap hari.

 

“Memang saya akui sedih apabila melihat kawan lain sibuk bersiap dan memperoleh buku baru setiap tahun. Apabila melihat mereka pulang dan menyiapkan kerja sekolah, saya terkilan kerana tidak mendapat peluang sama,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/18

Murid 11 tahun dapat 5A UPSR – Metro


Murid 11 tahun dapat 5A UPSR

Melaka: Walaupun baru berusia 11 tahun, seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Keroh, di sini, membuktikan dia mampu memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Khamis lalu.

Lebih membanggakan keluarganya, Muhammad Naazhim Farhan Azman, turut berkongsi kejayaan itu bersama kakaknya, Nur Nabila Farhana, 12, yang turut mendapat keputusan cemerlang.
Anak kelima daripada 11 beradik kepada pasangan Azman Paiman, 47, dan Hidayati Salleh, 41, itu menjadi calon muda UPSR selepas mendapat kemasukan awal ke tahun satu apabila lulus ujian khas pada 2008 ketika berusia enam tahun.

 

Menurut Muhammad Naazhim, dia tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang itu kerana hanya mendapat 4A 1B pada peperiksaan percubaan lalu.
Katanya, belajar dalam satu kelas dengan Nur Nabila Farhana membuatkannya yang muda setahun perlu lebih berusaha mendapat keputusan cemerlang seperti kakaknya itu.
“Walaupun kami satu kelas, di rumah kami mengulangkaji pelajaran berasingan dan hanya merujuk antara satu sama lain sekiranya tidak faham mengenai sesuatu perkara.

 

“Saya minat matematik dan Sains, manakala kakak pula lebih kepada Bahasa Melayu dan Inggeris, jadi ia membolehkan kami bertukar pengetahuan berdasarkan ‘kepakaran’ masing-masing,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Duyong Permai, di sini, semalam.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/18

Kali kedua tak selamat – Metro


Kali kedua tak selamat

Marang: Selepas terselamat dalam kemalangan sesama sendiri ketika menunggang motosikal bersama rakan dua bulan lalu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun sekali lagi terbabit dalam kemalangan ketika ‘bermain’ motosikal bersama rakan, malam kelmarin, namun kali ini dia maut akibat cedera di kepala dan muka.

Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, mangsa, Mohd Adhwa Zakaria dari Kampung Masjid Rusila, di sini, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu jam 4.10 pagi semalam selepas enam jam dimasukkan ke hospital berkenaan.
Kemalangan di depan sebuah restoran di Rusila, di sini, berlaku apabila mangsa dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan laju bersama rakannya secara bersaing gagal mengelak sebelum melanggar bahagian tepi kanan kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza yang mahu membuat pusingan U sebaik keluar dari kawasan restoran berkenaan.

 

Ketika kejadian, mangsa menunggang Honda EX5, manakala rakannya, Ahmad Annajmi Johari, 15, dari Taman Medan Jaya, di sini, menunggang Honda C70 dari arah Chendering ke bandar Marang. Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala, manakala Ahmad Annajmi yang sempat mengelak dan terbabas ke kiri jalan, turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan kecemasan.
Saksi kejadian, Amir Sidiq, 16, berkata, ketika kejadian, dia bersama ibunya sedang makan di restoran berkenaan dan terkejut apabila terdengar dentuman kuat lalu bergegas ke tempat kemalangan.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia terkejut apabila mendapati kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal memang dikenalinya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/18