KUALA NERANG – Seramai 100 kanak-kanak sekitar Padang Terap menyertai Program Berkhatan Perdana di Hospital Kuala Nerang, semalam.
Program tahunan itu dianjurkan Lembaga Pelawat Hospital dan Keda serta dirasmikan Timbalan Menteri Tenaga Air dan Hijau, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Turut hadir, Pengarah Hospital Kuala Nerang, Dr Abdul Malek Othman.
Kebanyakan kanak-kanak yang terlibat pada majlis itu terdiri kalangan keluarga yang berpendapatan rendah terutamanya yang tinggal di perkampungan Keda di daerah Padang Terap.
Mahdzir berkata, program ini diadakan setiap tahun supaya dapat mengumpul seluruh kanak-kanak di daerah tersebut bagi mengurangkan perbelanjaan ibu bapa.
Dengan kerjasama pihak hospital, kanak-kanak yang berkhatan pada majlis itu tidak dikenakan sebarang bayaran.
Ahmad Adam Ahmad Nazri, 7, dari Kampung Mani C, Kuala Nerang berkata, dia tidak sabar untuk bersunat.
Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Jenis Kou Hua ini mula seronok apabila rakan di kawasan rumah kebanyakannya sudah berkhatan.
“Pada mulanya sejak tahun lepas lagi saya mahu berkhatan tetapi sebab usia masih muda, ibu bapa saya tidak mengizinkan dan pada tahun ini saya dibenarkan berkhatan bersama sepupu,” katanya.
Sepupunya, Hamizan Noh Haslan, 6, dari Tokai berkata, dia berkhatan bersama Ahmad Adam kerana tidak mahu keseorangan.
“Apabila majlis berkhatan ini diadakan, kami mengambil kesempatan untuk berkhatan bersama supaya tidak menangis jika sakit nanti.
“Saya mahu cepat disunatkan kerana malu jika umur dah lebih, lagi pun apabila sudah sunat nanti, saya boleh ikut bapa ke masjid untuk menunaikan solat kerana saya dah besar,” katanya.
Pada program berkhatan itu, kanak-kanak terlibat dimandikan dengan semburan air oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang di Dataran Hospital Kuala Nerang.