‘Pendidikan untuk semua’ dicapai melalui internet – Bernama


‘Pendidikan untuk semua’ dicapai melalui internet
20 November 2013
  • Datuk Seri Ahmad Shabery CheekDatuk Seri Ahmad Shabery Cheek
< 1 / 1 >

BANGKOK – Ungkapan “pendidikan untuk semua”, hanya boleh dicapai sekiranya terdapat akses Internet untuk semua orang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pendidikan merupakan salah satu fungsi paling penting apabila melibatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), kata beliau dalam ucapan sebagai ahli panel pada Program Dialog mengenai Transformasi Pendidikan: Kepentingan ICT dalam  Pendidikan Abad ke-21 sempena ITU Telecom World 2013, di sini hari ini.

“Masalah jurang digital akan bertambah luas jika kita tidak boleh menyediakan akses kepada jalur lebar dan jurang pembangunan akan terus menyebabkan jurang pendidikan,” kata beliau.

Dalam hal ini, Ahmad Shabery juga melihat keperluan untuk mencari penyelesaian dan model yang sesuai untuk setiap negara.

“Berapa banyak negara yang benar-benar mempunyai akses, dalam jalur lebar dan dalam menyediakan peralatan dan segala-galanya yang berkaitan dengan penggunaan ICT dalam bidang pendidikan?” soal beliau.

Beliau berkata, permintaan infrastruktur dalam pendidikan adalah besar dan berubah-ubah.

“Sebelum ini, bercakap mengenai peratusan liputan dalam kalangan penduduk dan kadar penembusan adalah cukup baik. Tetapi hari ini, ia mengenai kualiti.

“Kelajuan internet 1 Mbps (Megabait sesaat) atau 4 Mbps tidak lagi mencukupi dan Amerika Syarikat sebagai contoh, telah menyasarkan untuk menyediakan 100 juta isi rumah dengan 100 Mbps manakala sekolah-sekolah dan institusi-institusi lain pada 1 gigabit.

“Berapa ramai daripada kita yang benar-benar berada pada kedudukan yang betul untuk memenuhi permintaan sebegini? Bagi saya, ini sangat penting,” kata Ahmad Shabery.

Satu lagi isu utama yang dibangkitkan pada dialog itu ialah berkenaan guru-guru dan kesediaan mereka menerima ICT dalam pendidikan.

Menteri Penerangan dan Pentadbiran Masyarakat Macedonian Ivo Ivanovski berkata, ibu bapa serta datuk dan nenek penting untuk memastikan projek-projek ICT dalam pendidikan mencapai kejayaan.

Usaha mendapat sokongan daripada guru-guru adalah satu cabaran dan terdapat golongan yang menghalang dari awal, kata beliau yang mengaitkan hal berkenaan dengan pengalaman negara beliau sendiri.

“Tetapi jika mendapat sokongan daripada ibu bapa, guru-guru perlu menyokong ICT dalam bidang pendidikan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s