Warna kulit ‘sekat’ dokumen
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris
Ipoh: Hanya kerana perbezaan warna kulit dengan ibunya, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun gagal mendapatkan MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak apabila permohonannya ditolak sejak dua bulan lalu.
Difahamkan, permohonan S Mahalachime, 12, ditolak JPN Perak selepas melihat rupa paras dia dan ibunya V Kamalla, 60, tidak seiras selain turut mempunyai warna kulit berbeza.
Akibat masalah itu, Mahalachime berkemungkinan tidak berpeluang untuk menempatkan dirinya di sekolah menengah pada tahun depan berikutan tidak mempunyai kad pengenalan.
Menurut Kamalla, permohonan kali pertama dibuat kira-kira dua bulan lalu di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini.
“Namun, permohonan itu tertangguh sebaik saja mereka melihat wajah dan warna kulit Mahalachime sangat berbeza dengan saya. Mereka memberi pelbagai alasan dan akhirnya menangguhkan segala proses permohonan dengan alasan untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Ketika itu saya amat terkejut dan kesal dengan tindakan dibuat kakitangan JPN kerana mereka seolah-olah mempertikaikan asal usul Mahalachime,” katanya ketika ditemui pada sidang media, di sini, semalam.
Menurutnya, selepas beberapa bulan tidak mendapat jawapan daripada JPN, dia sekali lagi membuat permohonan, tetapi kali ini dibuat di pejabat JPN Perak yang terletak di Meru Raya, di sini.
“Namun, seperti yang dijangka, perkara sama berulang apabila mereka enggan mengeluarkan MyKad berkenaan. Mereka sekali lagi mempersoalkan wajah anak saya yang tidak mempunyai wajah seiras.
“Berkali-kali saya tegaskan yang anak ini anak kandung saya, namun ia masih tidak mencukupi,” katanya yang tinggal di Kampung Baru, Jelapang.
Beliau berkata, selain menitik berat status ‘anak perempuan’ (A/p) dalam MyKad berkenaan, kad itu juga penting buat anaknya bagi membolehkan dia memasuki sekolah di peringkat menengah tahun depan.
“Saya tidak faham kenapa selama 12 tahun membesarkannya, baru kini masalah timbul. Malah, kami mempunyai sijil kelahiran Mahalachime yang sah,” katanya.
Menurutnya, dia berharap segala kesulitan dihadapi sejak beberapa bulan itu mendapat perhatian daripada pihak atasan kerana masa depan anaknya untuk meneruskan pelajaran amat penting.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPN Jainisah Mohd Noor berkata, siasatan secara terperinci sudah dijalankan ke atas kes itu., bagaimanapun, pihaknya tidak dapat mendedahkan dengan lebih lanjut kerana ia terikat dengan dasar jabatan berkaitan maklumat peribadi seseorang.
“Saya difahamkan pihak JPN sudah memaklumkan kepada pemohon terbabit untuk muncul di pejabat JPN negeri semalam, namun dia gagal untuk berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/21