PIBG: Ibu bapa rasa tidak penting – Sinar Harian


PIBG: Ibu bapa rasa tidak penting
MASITA HASSAN
22 November 2013

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditubuhkan di setiap sekolah sebagai platform menghubungkan guru-guru, ibu bapa dan penjaga anak-anak di sekolah berkenaan.  Lazimnya, pengerusi PIBG dilantik dari kalangan ibu bapa dan guru besar / pengetua sebagai penasihat, manakala Ahli-ahli jawatankuasa dilantik daripada kalangan guru dan juga ibu bapa.

Mesyuarat PIBG diadakan setiap tahun untuk membincangkan isu-isu pendidikan anak-anak. Kebiasaannya ia diadakan di sekolah. Terdapat juga sekolah yang mengadakan mesyuarat agung PIBGnya pada hujung minggu, dan ada kalanya pada hari bekerja. Pihak sekolah akan menghantar surat jemputan ke mesyuarat agung PIBG bersama dengan borang maklum balas untuk ibu bapa memberikan cadangan, pandangan dan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.

Cadangan atau pandangan ini biasanya akan dibincangkan semasa mesyuarat PIBG.  Saranan penambahbaikan yang diterima dalam mesyuarat PIBG akan diguna pakai dalam sistem pentadbiran sekolah. Oleh itu, adalah sangat penting ibu bapa berusaha untuk menghadirkan diri ke mesyuarat PIBG.

Namun, PIBG sekolah rendah menghadapi masalah untuk mendapatkan peratusan kedatangan yang memuaskan daripada ibu, bapa, atau penjaga ke setiap mesyuarat. Meskipun pelbagai pendekatan diambil PIBG untuk menarik ibu bapa hadir, seperti mengadakan cabutan bertuah di akhir sesi mesyuarat, mengadakan hari kualiti pada hari yang sama dan sebagainya, tetapi ia masih tidak mendapat sambutan menggalakkan.

Mesyuarat PIBG perlu dilihat bukan sahaja untuk melantik AJK dan mendengar ucapan tetamu VIP, tetapi pelbagai agenda bersangkutan dengan pembelajaran anak-anak turut diketengahkan. Ada segelintir ibu bapa merungut mereka terpaksa menunggu lama untuk kedatangan tetamu VIP bagi merasmikan mesyuarat. Ibu bapa mungkin kurang sedar pentingnya tetamu VIP merasmikan mesyuarat PIBG. Kebiasaannya jemputan tetamu VIP membolehkan pihak sekolah mendapatkan dana tambahan daripada tetamu tersebut. Apalah salahnya ibu bapa berkorban masa sedikit demi masa depan pembelajaran anak-anak.

Dana tambahan tersebut adalah sangat penting bagi meningkatkan kualiti pembelajaran anak-anak di sekolah. Walaupun begitu, pihak PIBG harus memilih tetamu VIP yang dapat hadir menepati masa. Jika tidak pastinya ibu bapa keresahan menunggu berjam-jam untuk mengikuti upacara perasmian.

Mesyuarat PIBG sepatutnya menjadi satu-satunya cara untuk guru-guru dan ibu bapa berbincang permasalahan pembelajaran anak-anak dan mencapai persetujuan untuk penyelesaian masalah tersebut.

Borang usul atau cadangan yang diedarkan kepada ibu bapa dan penjaga akan memberi ruang kepada mereka bagi memberikan usul kepada pihak sekolah. Perbincangan usul dan cadangan ini akan dibuat semasa mesyuarat PIBG dilangsungkan. Sebagaimana diamalkan di mana-mana mesyuarat, individu yang memberi usul dan cadangan mesti hadir ke mesyuarat. Jika pencadang tidak hadir, usul atau cadangan tersebut tidak dapat dibincangkan.

Mesyuarat juga boleh menjana lebih banyak penyelesaian bagi pelbagai permasalahan yang dihadapi. Dengan itu, ibu bapa dan penjaga mestilah berusaha meluangkan masa untuk menghadirkan diri ke mesyuarat PIBG ini, walaupun ramai ibu bapa atau penjaga mengatakan waktu mesyuarat tidak sesuai. Memang sukar untuk mendapatkan waktu yang sesuai jika ibu bapa beranggapan mesyuarat PIBG ini remeh.

Jika edaran BR1M ramai yang beratur dan sanggup menunggu lama, kenapa tidak untuk mesyuarat agung PIBG sekolah rendah anak mereka?

Menghadirkan diri ke mesyuarat PIBG dapat meningkatkan komunikasi dan hubungan muhibah antara guru-guru, ibu bapa serta penjaga.
Tatkala ini, ramai ibu bapa mempunyai persepsi bahawa guru hanya bekerja setengah hari sahaja. Malah mereka selalu menyalahkan guru jika prestasi anak kurang memuaskan.

Oleh yang demikian, mesyuarat agung PIBG seharusnya dipandang tinggi oleh semua ibu bapa dan penjaga. Mereka sepatutnya beranggapan bahawa mesyuarat PIBG sangat penting bagi pertumbuhan dan masa depan anak-anak mereka. Mesyuarat PIBG akan menjadi medan komunikasi yang efektif bukan sahaja bagi menyelesaikan masalah di sekolah tetapi juga dapat meningkatkan kualiti pencapaian akademik anak-anak khasnya.

 

Masita Hassan
Pensyarah Perakaunan, UiTM Melaka

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s