Seminar bocor SPM – Metro


Seminar bocor SPM

Kuala Lumpur: Seminar membocorkan soalan, kata seorang lelaki yang mendakwa mempunyai bukti beberapa pelajar sebuah sekolah menengah di ibu negara mendapat soalan bocor kertas Matematik dan Matematik Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Isnin lalu.

Ia dikatakan diberi guru yang mengelola seminar di sebuah masjid sehari sebelum peperiksaan dengan pelajar yang mengikuti kursus berkenaan mendapat ‘bonus’ untuk memudahkan mereka menjawab kertas terbabit.
Bagaimanapun, disebabkan rasa gembira kerana mendapat soalan berkenaan, mereka berkongsi dengan rakan lain yang tidak menyertai seminar itu menyebabkan ia kemudian dimaklumkan kepada seorang lelaki, Mohd Husaini Jaslee, 30.

 

Husaini berkata, dia yang terkejut mendapatkan penjelasan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) yang memberi jaminan akan menyiasat dakwaan itu dalam tempoh terdekat.
“Sebaik selesai peperiksaan kertas itu, mereka menunjukkan soalan bocor yang diperoleh. Bila ditanya, semua mereka mengaku ia diberi guru yang mengelolakan seminar di masjid.
“Saya mendapatkan Lembaga Peperiksaan berhubung perkara itu dan pegawai di situ maklumkan mereka akan menyiasat,” katanya pada sidang media di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam. Masalah itu tidak terhenti di situ saja apabila dia menerima pesanan WhatsApp daripada pelajar menunjukkan soalan bocor kertas Matematik Tambahan, lima minit sebelum peperiksaan bermula Isnin lalu.

 

Dia yang kebetulan berada di Lembaga Peperiksaan menunjukkan pesanan itu kepada pegawai di sana dan sekali lagi diberi jaminan kes itu akan disiasat.
“Saya tunggu sehingga selesai peperiksaan pada jam 5.30 petang dan mendapati memang soalan yang dikatakan bocor itu keluar. Butiran soalan juga serupa.

 

“Di sini saya persoalkan bagaimana ia boleh berlaku sedangkan sepatutnya ia menjadi rahsia sehingga masa sebenar peperiksaan. Ia tidak adil kepada mereka yang tidak mendapat soalan bocor itu,” katanya yang turut membuat aduan di Balai polis Wangsa Maju. berhubung perkara itu.
Husaini berkata, dia berharap Kementerian Pendidikan menjelaskan isu itu kerana tidak mahu ada yang menjadi mangsa keadaan dan menjejaskan kualiti sistem pendidikan dan peperiksaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/23

Johor sah tukar cuti Jumaat, Sabtu – Sinar Harian


Johor sah tukar cuti Jumaat, Sabtu
WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2013
  • Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan IskandarSultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengumumkan perubahan cuti hujung minggu Johor ditukar pada hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 14 Januari 2014 pada Majlis Pengurniaan Darjah dan Pingat sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar Johor hari ini. – Foto Bernama
< 1 / 1 >

MUAR – Duli Yang Maha Mulia, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengumumkan pertukaran cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu.

Pengumuman itu dibuat ketika bertitah di majlis penganugerahan darjah dan pingat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, pagi ini.

Guru didakwa dalang soalan SPM bocor – Sinar Harian


Guru didakwa dalang soalan SPM bocor
HIDAYAH HAIROM
23 November 2013
  • Guru didakwa dalang soalan SPM bocorMohd Husaine (dua, kanan) menunjukkan laporan polis serta bukti berhubung dakwaan kebocoran maklumat soalan SPM bagi subjek Matematik dan Matematik Tambahan.
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Seorang guru yang juga tenaga pengajar di sebuah pusat tuisyen di ibu kota didakwa bertanggungjawab ke atas kebocoran soalan bagi subjek Matematik dan Matematik Tambahan untuk Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2013.

Soalan-soalan berkenaan didakwa ‘dibocorkan’ melalui beberapa siri seminar khas yang dijalankan di sebuah masjid, menjelang hari-hari akhir tarikh peperiksaan berlangsung.

Malah aktiviti berkenaan dikatakan berlaku sejak 2007 lagi dan telah ada laporan yang dibuat namun tiada sebarang tindakan ke atas individu berkenaan sehingga kini.

Perkara itu didedahkan Mohd Husaine Jaslee, 30, kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), selepas menerima maklumat daripada sekumpulan pelajar dan juga calon SPM, sebaik selesai kertas Matematik pada 18 November lalu.

Menurutnya, sekumpulan pelajar dari sekolah menengah di Zon Keramat itu memaklumkan mereka mendapat maklumat berhubung soalan bocor daripada rakan mereka yang menghadiri seminar berkenaan.

“Soalan dan susunannya sama bagi Matematik kertas II tetapi urutan soalan diubah-ubah bagi kertas satu. Setiap ayat, nombor, diagram dan apa sahaja dalam kertas soalan memang sama dengan apa yang dibocorkan,” katanya.

Atas rasa tanggungjawab, Mohd Husaine kemudiannya mengumpulkan bukti dan melaporkan ke Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Katanya, disebabkan maklumat soalan bocor itu diperolehi selepas kertas Matematik, dia diminta mendapatkan bukti kertas Matematik Tambahan sebelum peperiksaan kertas itu dijalankan bagi memastikan perkara itu benar-benar terjadi (kebocoran soalan).

“Pada 20 November, seminar sama diadakan iaitu sehari sebelum kertas Matematik Tambahan dijalankan, namun tiada tindakan diambil dan saya dimaklumkan pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia tidak mempunyai kuasa dan hanya menunggu laporan seterusnya.

“Lima minit sebelum kertas dua Matematik Tambahan dijalankan, saya menerima tiga keping gambar dipercayai soalan dan jawapan untuk kertas dua subjek itu dihantar seorang pelajar melalui ‘Whatsapp’.

“Saya terus ke Unit Keselamatan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan mencetak gambar itu sebagai bukti,” katanya.

Tambahnya, setelah diteliti kembali soalan kertas dua Matematik Tambahan, dia mendapati soalan nombor dua bahagian A kertas tersebut adalah sama dengan maklumat bergambar yang diterima pada awalnya.

“Saya dipanggil oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan dimaklumkan mereka akan menyiasat perkara itu dan saya akan dijadikan saksi,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju, kelmarin.

Kertas Soalan Matematik, Matematik Tambahan SPM 2013 Didakwa Bocor – Bernama


Kertas Soalan Matematik, Matematik Tambahan SPM 2013 Didakwa Bocor

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima aduan daripada tiga individu yang mendakwa kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, bocor.

Mohd Husaini Jaslee, Nor Izwan Abu Bakar dan Mohd Rizuan Abd Rashid turut menyerahkan salinan yang didakwa kertas soalan bocor itu kepada pemberita pada sidang media di pejabat PPIM di sini, Jumaat, yang dihadiri Pengarah Latihan PPIM Dr Izham Nayan.

Mohd Husaini, 30, berkata beliau mengetahui perihal kertas soalan yang didakwa bocor itu daripada beberapa pelajar sebuah sekolah di Seksyen 5, Wangsa Maju pada 19 November lepas.

“Kata mereka, kertas itu diedar ketika mengikuti satu seminar SPM 2013 yang dikelola seorang guru di Masjid Mua’adz Bin Jabal, Setiawangsa pada 17 November lepas bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

“Selepas itu, saya ke Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) di Putrajaya pada 20 November untuk membuat aduan, bagaimanapun, pegawainya meminta dikemukakan bukti,” katanya.

Mohd Husaini berkata bukti kebocoran soalan hanya diperoleh pada 21 November apabila seorang pelajar menghantar gambar Kertas 2 Matematik Tambahan berserta jawapan, yang didakwa soalan bocor, melalui aplikasi ‘WhatsApp’.

“Maklumat itu mengandungi tiga gambar mengenai soalan beserta jawapan yang berkemungkinan sama dengan kertas 2 Matematik Tambahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata segala maklumat itu kemudian diserah kepada LPM untuk siasatan lanjut dan satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Wang Maju semalam.

Mohd Husaini berkata beliau membuat pendedahan itu atas dasar tanggungjawab kerana tidak ingin melihat kemusnahan masa depan pelajar SPM.

“Saya berharap pihak LPM dapat menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya benar perkara ini berlaku,” katanya. – BERNAMA

Gali ilmu guna buku bukan gajet – Kosmo


Gali ilmu guna buku bukan gajet

 

ARREESSA ZULAIKHA (kiri) didedahkan dengan amalan membaca oleh ibu dan bapanya, Muhammad Faiz (kanan) sejak berusia dua bulan.

 

BUKU merupakan guru yang tidak pernah marah, juga teman yang tak kenal lelah. Demikian ungkapan yang pernah dipegang suatu masa dahulu tetapi semakin hapus ditelan zaman.

Jika dahulu buku menjadi sumber utama menghilangkan rasa bosan dan mengisi masa lapang, kewujudan gajet seperti telefon pintar dan tablet seakan-akan menghapuskan hubungan antara buku dan manusia.

Namun pendedahan gajet terhadap kanak-kanak ketika mereka masih belum matang menimbulkan kesan yang lebih menakutkan kerana dikhuatiri membentuk sifat pentingkan diri dan antisosial.

Arreessa Zulaikha Muhammad Faiz berusia tiga tahun sangat meminati buku dan petah berbicara tanpa berbunyi pelat.

Terdedah dengan bahan bacaan sejak berusia dua bulan, pasangan suami isteri, Muhammad Faiz Mohammed Saaid, 28, dan Ainul Fadzilah Mohd. Mustafa, 28, bersyukur anak tunggal mereka itu mudah bersosial dan penuh dengan sifat ingin tahu.

Ainul berkata, dia dan suami tidak pernah mendedahkan Arreessa Zulaikha dengan sebarang gajet, sama ada tablet atau telefon pintar, kerana mahu mewujudkan komunikasi dua hala terutamanya dalam meluangkan masa sebagai sebuah keluarga.

“Saya dan suami memang suka membaca dan sejak Arreessa Zulaikha dalam kandungan lagi saya akan membacakan pelbagai cerita menarik berunsurkan nasihat untuknya.

“Apabila dia lahir dan mula belajar memegang, kami beralih kepada buku-buku bergambar yang mempunyai pelbagai warna yang menarik perhatian,” katanya.

Ainul Fadzilah menambah, selain membaca, mereka juga sering bertukar pendapat dan membiarkan Arreessa Zulaikha berhujah dengan jawapannya.

“Kami berpendapat ia merupakan langkah yang baik dalam meluangkan masa berkualiti bersama,”katanya.

Keupayaan menghafal surah

Ainul Fadzilah yang bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, antara kesan positif yang dapat dilihat melalui minat anaknya membaca ialah anaknya keupayaan menghafal surah tiga Qul dan al-Fatihah.

“Pada setiap malam, sama ada saya atau suami akan bersama Arreessa Zulaikha sebelum dia tidur untuk membacakan kisah-kisah nabi dan rasul.

“Kami pernah tersentak kerana secara tiba-tiba dia bertanya siapakah nenek Rasul. Sewaktu itu saya sendiri tidak terfikir dia akan bertanya soalan luar daripada intipati buku itu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pendekatan ibu bapa moden yang memilih gajet sebagai alat mengalih perhatian anak mereka, Ainul ternyata kecewa dengan keadaan itu.

“Anak-anak akan menjadi malas, tidak belajar untuk bersosial. Mungkin boleh menimbulkan masalah kesihatan sekiranya mereka ketagihan.

“Anak kita memerlukan perhatian daripada ibu bapa dan penyelesaiannya adalah buku bukan gajet,” tuturnya.

Sementara itu, Jururunding dan Pelatih Buku Bergambar Kanak-kanak, Fazeila Isa berkata, buku adalah instrumen yang tepat untuk ibu bapa menggantikan gajet.

Katanya, melalui bahan bacaan, ia dapat mewujudkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak mereka.

“Perkembangan otak kanak-kanak yang berusia enam bulan hingga dua tahun adalah sangat pesat dan pada ketika ini, mereka dipenuhi dengan sifat ingin tahu.

“Gajet melemahkan daya pemikiran si anak kerana tidak mewujudkan komunikasi dua hala. Berbeza dengan buku yang mampu memberikan rangsangan minda,” katanya.

Kesesuaian buku

Fazeila berkata, terdapat pelbagai bahan bacaan di pasaran yang sesuai untuk si kecil mengikut usia mereka.

Ini bermula enam bulan bagi jenis buku kain atau lembut, diikuti buku bergambar kemudian buku bergambar dan bertulis.

Menurutnya kesesuaian bahan bacaan harus berubah mengikut tahap usia kanak-kanak.

Bagaimanapun, tegas beliau, segala usaha untuk mewujudkan amalan membaca dalam kalangan anak-anak menuntut ibu bapa meluangkan masa bersama mereka.

“Tidak perlu terlalu pening memikirkan tempoh yang diperlukan. Cukup sekadar 15 minit sehari. Namun demikian, lebih lama lebih bagus,” jelasnya.

Fazeila menambah, dalam tempoh itu ibu bapa boleh bertanya kepada anak mereka beberapa soalan di luar intipati buku berkenaan.

“Ia akan meningkatkan kemampuan anak kita berfikir secara kreatif dan kritis. Contohnya, cerita dongeng mengenai Cinderella yang tamat dengan putera raja berjaya menemui kasut kaca miliknya.

“Ajukan soalan kepada mereka,’Apakah yang berlaku sekiranya putera itu tidak menemui pemilik kasut kaca berkenaan?’ Jawapan yang diberikan tiada betul dan salah, sebaliknya membantu dalam perkembangan mereka berfikir,” cadangnya.

Main iPad hingga mengantuk – Kosmo


Main iPad hingga mengantuk

 


 

MATANYA sedikit pun tidak mengerling ke arah tetamu yang hadir, jauh sekali mengambil tahu apa yang berlaku. Sebaliknya, jari-jemarinya menggenggam erat sebuah iPad sambil sesekali menyentuh skrin tablet itu.

Sambil ibunya menghidangkan juadah minum petang buat tetamu, kedengaran panggilan si ibu mengajak kanak-kanak tadi untuk makan bersama. Tanpa berganjak sedikitpun dari kedudukannya, Umar Fadhullah Md. Akhir@ Ezral, 3, hanya mengangakan mulut sebagai tanda minta disuap.

Respons yang diberikan kanak-kanak itu bukan suatu yang asing bagi ibunya, Azmah Abdul Wahab, 32.

Bahkan, Azmah sendiri sudah lali dengan perangai anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.

Sentiasa menghabiskan masa melayari internet dan bermain aplikasi permainan Angry Bird, Umar Fadhullah seakan-akan berada dalam dunianya sendiri. Dia mengabaikan kehadiran siapa sahaja di sisi termasuk kakaknya, Khairunissa Azzahra (Zara), 5, dan saudara kembarnya, Abu Bakar Fadhlullah.

Menceritakan sikap anaknya itu, Azmah berkata, keadaan semakin rumit sejak setahun lalu apabila Umar Fadhullah akan menghabiskan masa sehingga enam jam bersama gajet berkenaan.

“Selagi bateri tidak habis, iPad itu akan berada di tangannya. Begitu juga ketika mahu tidur. Dia akan bermain tablet itu sehingga mengantuk baru dia lepaskan,” ujar wanita itu.

Ketagihan

Azmah dan suaminya, Md. Akhir @ Ezral Jaaffar, 42, terpaksa memberi iPad berkenaan kepada Umar Fadhullah untuk mengelakkan anaknya itu meragam dan memberontak.

Katanya, sejak mempelajari cara membuka laman YouTube, ketagihan si anak itu semakin menjadi-jadi.

Pasangan tersebut mengakui buntu dengan sikap anak mereka yang berubah menjadi antisosial sedangkan anak mereka yang lain turut terdedah dengan penggunaan gajet seawal usia dua tahun.

“Zara sudah bermain dengan iPad dan telefon pintar saya sejak berumur dua tahun. Tetapi dia akan memulangkan peranti itu apabila terasa bosan.

“Umar dan Abu Bakar pada ketika itu terlalu kecil dan mereka sekadar melihat kakak bermain dalam gajet berkenaan,” jelasnya.

Berbeza dengan saudara kembarnya, Abu Bakar Fadhlullah lebih gemar bermain alat permainan.

Pasangan yang menetap di Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur itu mengakui kedua-dua anak lelaki mereka masih belum boleh bertutur dengan baik. Bagaimanapun, Abu Bakar Fadhlullah lebih mudah menerima arahan berbanding Umar Fadhullah.

Sungguhpun demikian, mereka terkejut Umar Fadhullah sering kali mengucapkan beberapa ayat ringkas dalam bahasa Inggeris seperti “What is this? Yes dan No.”

Tidak menolak ia mungkin berkait rapat dengan aplikasi yang terdapat dalam gajet berkenaan, Azmah memaklumkan dia juga sering melihat anaknya bermain permainan strategi yang memerlukan pemahaman menyeluruh bagi menjayakan permainan itu.

Kemahiran bahasa

PENGGUNAAN gajet boleh memberi impak positif dan negatif kepada kanak-kanak.

 

Keadaan berbeza bagi pasangan Lamzah Ibrahim, 51, dan isteri, Sharmila Abdul Rashid, 43. Mereka yakin perkembangan minda ketiga-tiga anak mereka terutamanya dalam penguasaan bahasa Inggeris telah dipengaruhi penggunaan gajet.

Malah anak sulung mereka, Amir Lamzah, 17, yang kini menuntut di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Amir, yang sedang membuat persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, mengakui bahawa gajet dan permainan video seperti Playstation (PS) banyak membantunya menguasai bahasa Inggeris.

Dia, yang juga merupakan Ketua Pelajar SDAR, berkata, pengawasan ibu bapa sangat penting dalam memastikan gajet memberi kesan positif terhadap perkembangan minda anak-anak.

Mengakui agak kurang gemar membaca, dia banyak belajar bahasa Inggeris melalui permainan video dan peranti pintar.

“Jika saya tidak tahu sesuatu perkataan, saya akan bertanya kepada adik atau ibu bapa saya.

“Di situ berlakunya perkongsian ilmu dan makna yang dicari akan diingati oleh setiap ahli keluarga,” kata penerima Anugerah Tokoh Pelajar Lelaki Negeri Sembilan itu.

Pemantauan

Amir yang mengemari produk keluaran Apple Inc. seperti iPod, iPad dan iPhone, suka menghabiskan masa melayari laman sosial.

“Saya bersyukur kerana ada ibu bapa yang sangat memahami keperluan anak mereka, di samping mengawal penggunaan gajet yang ada,” katanya.

Sementara itu, Sharmila yang juga ibu kepada Anwar, 14, dan Anis Syuhada, 12, bersyukur apabila kesemua anaknya berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka.

Dia yang tidak mempunyai rahsia tertentu dalam mencoret kejayaan itu berkata, ibu bapa perlu menjadi guru dan mengawal anak-anak agar tidak terlalu leka, terutamanya dalam perkara yang membabitkan teknologi.

“Saya akan beli setiap gajet yang mereka minta. Bagaimanapun, mereka sentiasa ditanya, sejauh mana mereka layak menerima penghargaan itu.

“Kecemerlangan tidak sahaja dalam pelajaran bahkan pembangunan sahsiah, kehidupan sosial dan aktif dalam kokurikulum,” katanya yang tidak teragak-agak mengambil semula gajet yang diberi sekiranya anak-anak menunjukkan kemerosotan dalam pencapaian sekolah.

Menurut Sharmila, sejak kecil, anak-anaknya diajar untuk berusaha sebelum memperoleh barangan yang mereka hajati.

“Kalau hampir waktu peperiksaan, mereka hanya akan dibenarkan bermain peranti itu selama sejam atau dua jam sahaja,” jelasnya.