Gali ilmu guna buku bukan gajet – Kosmo


Gali ilmu guna buku bukan gajet

 

ARREESSA ZULAIKHA (kiri) didedahkan dengan amalan membaca oleh ibu dan bapanya, Muhammad Faiz (kanan) sejak berusia dua bulan.

 

BUKU merupakan guru yang tidak pernah marah, juga teman yang tak kenal lelah. Demikian ungkapan yang pernah dipegang suatu masa dahulu tetapi semakin hapus ditelan zaman.

Jika dahulu buku menjadi sumber utama menghilangkan rasa bosan dan mengisi masa lapang, kewujudan gajet seperti telefon pintar dan tablet seakan-akan menghapuskan hubungan antara buku dan manusia.

Namun pendedahan gajet terhadap kanak-kanak ketika mereka masih belum matang menimbulkan kesan yang lebih menakutkan kerana dikhuatiri membentuk sifat pentingkan diri dan antisosial.

Arreessa Zulaikha Muhammad Faiz berusia tiga tahun sangat meminati buku dan petah berbicara tanpa berbunyi pelat.

Terdedah dengan bahan bacaan sejak berusia dua bulan, pasangan suami isteri, Muhammad Faiz Mohammed Saaid, 28, dan Ainul Fadzilah Mohd. Mustafa, 28, bersyukur anak tunggal mereka itu mudah bersosial dan penuh dengan sifat ingin tahu.

Ainul berkata, dia dan suami tidak pernah mendedahkan Arreessa Zulaikha dengan sebarang gajet, sama ada tablet atau telefon pintar, kerana mahu mewujudkan komunikasi dua hala terutamanya dalam meluangkan masa sebagai sebuah keluarga.

“Saya dan suami memang suka membaca dan sejak Arreessa Zulaikha dalam kandungan lagi saya akan membacakan pelbagai cerita menarik berunsurkan nasihat untuknya.

“Apabila dia lahir dan mula belajar memegang, kami beralih kepada buku-buku bergambar yang mempunyai pelbagai warna yang menarik perhatian,” katanya.

Ainul Fadzilah menambah, selain membaca, mereka juga sering bertukar pendapat dan membiarkan Arreessa Zulaikha berhujah dengan jawapannya.

“Kami berpendapat ia merupakan langkah yang baik dalam meluangkan masa berkualiti bersama,”katanya.

Keupayaan menghafal surah

Ainul Fadzilah yang bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, antara kesan positif yang dapat dilihat melalui minat anaknya membaca ialah anaknya keupayaan menghafal surah tiga Qul dan al-Fatihah.

“Pada setiap malam, sama ada saya atau suami akan bersama Arreessa Zulaikha sebelum dia tidur untuk membacakan kisah-kisah nabi dan rasul.

“Kami pernah tersentak kerana secara tiba-tiba dia bertanya siapakah nenek Rasul. Sewaktu itu saya sendiri tidak terfikir dia akan bertanya soalan luar daripada intipati buku itu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pendekatan ibu bapa moden yang memilih gajet sebagai alat mengalih perhatian anak mereka, Ainul ternyata kecewa dengan keadaan itu.

“Anak-anak akan menjadi malas, tidak belajar untuk bersosial. Mungkin boleh menimbulkan masalah kesihatan sekiranya mereka ketagihan.

“Anak kita memerlukan perhatian daripada ibu bapa dan penyelesaiannya adalah buku bukan gajet,” tuturnya.

Sementara itu, Jururunding dan Pelatih Buku Bergambar Kanak-kanak, Fazeila Isa berkata, buku adalah instrumen yang tepat untuk ibu bapa menggantikan gajet.

Katanya, melalui bahan bacaan, ia dapat mewujudkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak mereka.

“Perkembangan otak kanak-kanak yang berusia enam bulan hingga dua tahun adalah sangat pesat dan pada ketika ini, mereka dipenuhi dengan sifat ingin tahu.

“Gajet melemahkan daya pemikiran si anak kerana tidak mewujudkan komunikasi dua hala. Berbeza dengan buku yang mampu memberikan rangsangan minda,” katanya.

Kesesuaian buku

Fazeila berkata, terdapat pelbagai bahan bacaan di pasaran yang sesuai untuk si kecil mengikut usia mereka.

Ini bermula enam bulan bagi jenis buku kain atau lembut, diikuti buku bergambar kemudian buku bergambar dan bertulis.

Menurutnya kesesuaian bahan bacaan harus berubah mengikut tahap usia kanak-kanak.

Bagaimanapun, tegas beliau, segala usaha untuk mewujudkan amalan membaca dalam kalangan anak-anak menuntut ibu bapa meluangkan masa bersama mereka.

“Tidak perlu terlalu pening memikirkan tempoh yang diperlukan. Cukup sekadar 15 minit sehari. Namun demikian, lebih lama lebih bagus,” jelasnya.

Fazeila menambah, dalam tempoh itu ibu bapa boleh bertanya kepada anak mereka beberapa soalan di luar intipati buku berkenaan.

“Ia akan meningkatkan kemampuan anak kita berfikir secara kreatif dan kritis. Contohnya, cerita dongeng mengenai Cinderella yang tamat dengan putera raja berjaya menemui kasut kaca miliknya.

“Ajukan soalan kepada mereka,’Apakah yang berlaku sekiranya putera itu tidak menemui pemilik kasut kaca berkenaan?’ Jawapan yang diberikan tiada betul dan salah, sebaliknya membantu dalam perkembangan mereka berfikir,” cadangnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s