Main iPad hingga mengantuk – Kosmo


Main iPad hingga mengantuk

 


 

MATANYA sedikit pun tidak mengerling ke arah tetamu yang hadir, jauh sekali mengambil tahu apa yang berlaku. Sebaliknya, jari-jemarinya menggenggam erat sebuah iPad sambil sesekali menyentuh skrin tablet itu.

Sambil ibunya menghidangkan juadah minum petang buat tetamu, kedengaran panggilan si ibu mengajak kanak-kanak tadi untuk makan bersama. Tanpa berganjak sedikitpun dari kedudukannya, Umar Fadhullah Md. Akhir@ Ezral, 3, hanya mengangakan mulut sebagai tanda minta disuap.

Respons yang diberikan kanak-kanak itu bukan suatu yang asing bagi ibunya, Azmah Abdul Wahab, 32.

Bahkan, Azmah sendiri sudah lali dengan perangai anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.

Sentiasa menghabiskan masa melayari internet dan bermain aplikasi permainan Angry Bird, Umar Fadhullah seakan-akan berada dalam dunianya sendiri. Dia mengabaikan kehadiran siapa sahaja di sisi termasuk kakaknya, Khairunissa Azzahra (Zara), 5, dan saudara kembarnya, Abu Bakar Fadhlullah.

Menceritakan sikap anaknya itu, Azmah berkata, keadaan semakin rumit sejak setahun lalu apabila Umar Fadhullah akan menghabiskan masa sehingga enam jam bersama gajet berkenaan.

“Selagi bateri tidak habis, iPad itu akan berada di tangannya. Begitu juga ketika mahu tidur. Dia akan bermain tablet itu sehingga mengantuk baru dia lepaskan,” ujar wanita itu.

Ketagihan

Azmah dan suaminya, Md. Akhir @ Ezral Jaaffar, 42, terpaksa memberi iPad berkenaan kepada Umar Fadhullah untuk mengelakkan anaknya itu meragam dan memberontak.

Katanya, sejak mempelajari cara membuka laman YouTube, ketagihan si anak itu semakin menjadi-jadi.

Pasangan tersebut mengakui buntu dengan sikap anak mereka yang berubah menjadi antisosial sedangkan anak mereka yang lain turut terdedah dengan penggunaan gajet seawal usia dua tahun.

“Zara sudah bermain dengan iPad dan telefon pintar saya sejak berumur dua tahun. Tetapi dia akan memulangkan peranti itu apabila terasa bosan.

“Umar dan Abu Bakar pada ketika itu terlalu kecil dan mereka sekadar melihat kakak bermain dalam gajet berkenaan,” jelasnya.

Berbeza dengan saudara kembarnya, Abu Bakar Fadhlullah lebih gemar bermain alat permainan.

Pasangan yang menetap di Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur itu mengakui kedua-dua anak lelaki mereka masih belum boleh bertutur dengan baik. Bagaimanapun, Abu Bakar Fadhlullah lebih mudah menerima arahan berbanding Umar Fadhullah.

Sungguhpun demikian, mereka terkejut Umar Fadhullah sering kali mengucapkan beberapa ayat ringkas dalam bahasa Inggeris seperti “What is this? Yes dan No.”

Tidak menolak ia mungkin berkait rapat dengan aplikasi yang terdapat dalam gajet berkenaan, Azmah memaklumkan dia juga sering melihat anaknya bermain permainan strategi yang memerlukan pemahaman menyeluruh bagi menjayakan permainan itu.

Kemahiran bahasa

PENGGUNAAN gajet boleh memberi impak positif dan negatif kepada kanak-kanak.

 

Keadaan berbeza bagi pasangan Lamzah Ibrahim, 51, dan isteri, Sharmila Abdul Rashid, 43. Mereka yakin perkembangan minda ketiga-tiga anak mereka terutamanya dalam penguasaan bahasa Inggeris telah dipengaruhi penggunaan gajet.

Malah anak sulung mereka, Amir Lamzah, 17, yang kini menuntut di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Amir, yang sedang membuat persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, mengakui bahawa gajet dan permainan video seperti Playstation (PS) banyak membantunya menguasai bahasa Inggeris.

Dia, yang juga merupakan Ketua Pelajar SDAR, berkata, pengawasan ibu bapa sangat penting dalam memastikan gajet memberi kesan positif terhadap perkembangan minda anak-anak.

Mengakui agak kurang gemar membaca, dia banyak belajar bahasa Inggeris melalui permainan video dan peranti pintar.

“Jika saya tidak tahu sesuatu perkataan, saya akan bertanya kepada adik atau ibu bapa saya.

“Di situ berlakunya perkongsian ilmu dan makna yang dicari akan diingati oleh setiap ahli keluarga,” kata penerima Anugerah Tokoh Pelajar Lelaki Negeri Sembilan itu.

Pemantauan

Amir yang mengemari produk keluaran Apple Inc. seperti iPod, iPad dan iPhone, suka menghabiskan masa melayari laman sosial.

“Saya bersyukur kerana ada ibu bapa yang sangat memahami keperluan anak mereka, di samping mengawal penggunaan gajet yang ada,” katanya.

Sementara itu, Sharmila yang juga ibu kepada Anwar, 14, dan Anis Syuhada, 12, bersyukur apabila kesemua anaknya berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka.

Dia yang tidak mempunyai rahsia tertentu dalam mencoret kejayaan itu berkata, ibu bapa perlu menjadi guru dan mengawal anak-anak agar tidak terlalu leka, terutamanya dalam perkara yang membabitkan teknologi.

“Saya akan beli setiap gajet yang mereka minta. Bagaimanapun, mereka sentiasa ditanya, sejauh mana mereka layak menerima penghargaan itu.

“Kecemerlangan tidak sahaja dalam pelajaran bahkan pembangunan sahsiah, kehidupan sosial dan aktif dalam kokurikulum,” katanya yang tidak teragak-agak mengambil semula gajet yang diberi sekiranya anak-anak menunjukkan kemerosotan dalam pencapaian sekolah.

Menurut Sharmila, sejak kecil, anak-anaknya diajar untuk berusaha sebelum memperoleh barangan yang mereka hajati.

“Kalau hampir waktu peperiksaan, mereka hanya akan dibenarkan bermain peranti itu selama sejam atau dua jam sahaja,” jelasnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s