Projek SMKA di Mengkuang harap dipercepatkan – Bernama


Projek SMKA di Mengkuang harap dipercepatkan
24 November 2013

BUKIT MERTAJAM – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang berharap Kementerian Pendidikan dapat meluluskan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Mengkuang, di sini secepat mungkin berikutan permintaan tinggi terhadap sekolah aliran agama.

Pengarah JPN Pulau Pinang Datuk Ahmad Tarmizi Kamarudin berkata pihaknya telah mencadangkan projek SMKA itu sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), dan tanah seluas 16 hektar juga disediakan untuk pembinaannya.

“Permintaan murid untuk menyambung pelajaran dalam aliran agama semakin meningkat sekarang ini dan SMKA yang terdapat di negeri ini tidak mampu menampungnya dan saya berharap cadangan bina SMKA di Mengkuang dapat dipercepatkan.

“Lagipun empat daerah di negeri ini sudah mempunyai SMKA dan hanya daerah Seberang Perai Tengah (SPT) iaitu di sini (Mengkuang) belum ada SMKA, pelajar di sini terpaksa bersekolah jauh untuk mendapatkan pendidikan aliran agama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Permatang Pauh, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said.

Pada majlis anjuran Umno Permatang Pauh dengan kerjasama Nashmir Holding Sdn Bhd itu, seramai 244 murid cemerlang yang memperoleh 5A dalam UPSR tahun ini menerima RM100 setiap seorang.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata Umno Permatang Pauh akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan untuk memohon agar pembinaan SMKA itu dapat dipercepatkan demi kepentingan pelajar terutama di kawasan berkenaan.

Katanya pembinaan SMKA itu bukan sahaja menguntungkan pelajar malah akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat kerana mereka boleh berniaga berhampiran sekolah.

“Pembinaan SMKA di Mengkuang adalah salah satu misi Umno Permatang Pauh dan kita harap tindakan susulan yang kita akan buat iaitu berhubung serta berjumpa pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan akan membuahkan hasil.

“Ini bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya adalah untuk semua pihak terutama pelajar dan penduduk setempat,” katanya. – Bernama

Berkat Allahuakbar – Sinar Harian


Berkat Allahuakbar

Oleh ANIZA ZAINUDIN

Kuala Lumpur: Kalimah Allahhuakbar menjadi penguat semangat bagi Muhamad Alqasya Razwan Nordin, 8, ketika berdepan ‘tok mudim’ untuk berkhatan.

Muhamad Alqasya Razwan antara 49 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun yang menyertai program Jom Berkhatan anjuran Masjid Jamek Al Khadijiah, Pantai Dalam bersama Ducati Club Malaysia dan Z Malaya, di sini, semalam.
Menurut murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Bangsar itu, dia turut berkhatan bersama abangnya Muhamad Aliff, 10, dan ditemani keluarga sejak awal pagi.

 

“Sebenarnya, saya bimbang dengan kesakitan bakal dialami tetapi ketenangan abang sedikit sebanyak memberi kekuatan kepada saya.
“Saya cuma menangis sewaktu diberi suntikan. Kemudian saya teringat pesanan emak supaya menyebut kalimah Allahhu Akbar sepanjang proses khatan, menyebabkan saya menjadi tenang.
“Menariknya, hari ini (semalam) saya bersama rakan berpeluang membonceng 12 motosikal berkuasa besar di sekitar Pantai Dalam sebelum kami mandi beramai-ramai menggunakan semburan air oleh pasukan Bomba dan Penyelamat,” katanya ketika ditemui selepas berkhatan.

 

Sementara itu, Muhamad Aliff mengakui sedih melihat adiknya menangis, namun sebagai abang, dia cuba memberi contoh terbaik.
Katanya, perasaan berdebar hilang sebaik dia membonceng motosikal berkuasa besar, malah menyifatkan sakit berkhatan seperti digigit semut saja.

 

Ketua Imam, Mohd Shahril Abd Samat berkata, program itu kali kedua sejak 2011 dan bertujuan hubungan silaturahim antara penduduk sekitar Pantai Dalam.
Menurutnya, program bermula seawal jam 8 pagi hingga 4 petang itu juga dapat membantu ibu bapa mengurangkan kos rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/24

Remaja lemas mandi di tali air – Bernama


Remaja lemas mandi di tali air
24 November 2013

TUMPAT – Seorang remaja berusia 13 tahun lemas ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di sebuah tali air di Kampung Berangan di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Raja Arisan Raja Ismail berkata mayat Muhamad Aimi Abdul Rahman ditemui selepas kira-kira dua jam pihaknya melakukan operasi mencari dan menyelamat.

“Sebaik menerima panggilan pada 5.37 petang, dua anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari balai ini dihantar ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa.

“Mereka mengambil masa kira-kira dua jam sebelum menemui mangsa terlekat di celah kayu dalam tali air itu, iaitu 25 meter dari tempat mangsa lemas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Raja Arisan berkata jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tumpat di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berangan hari ini.

Sementara itu, rakannya Aiman Afzan Mat Taib, 11, berkata Muhamad Aimi terjun ke dalam tali air itu untuk mendapatkan batang paip yang digunakan mereka untuk bermain.

“Saya nampak dia (mangsa) terjun berenang ke arah bawah jambatan kemudian terus tidak timbul-timbul,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Kakak mangsa, Nur Safira Abdul Rahman, 20, berkata aktiviti mandi di tali air itu merupakan rutin bagi adiknya bersama rakan-rakannya.

“Arwah pergi ke tali air itu bersama adik Mohd Adli tetapi Mohd Adli hanya memerhatikan abang dan rakan-rakannya mandi,” katanya.

Mangsa adalah anak kelapan daripada 10 beradik dan belajar dalam Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Berangan di sini. – Bernama

Pelbagai ragam kanak-kanak menanti giliran dikhatankan – Metro


Pelbagai ragam kanak-kanak menanti giliran dikhatankan

Nibong Tebal: Pelbagai ragam dan gelagat kanak-kanak dapat dilihat ketika mereka menyertai Majlis Berkhatan Perdana anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, di sini, semalam.

Ada yang menangis ketakutan serta cuba memujuk ibu bapanya untuk pulang dan ada juga yang selamba menunggu giliran.
Bagi Mohammad Ziyad Hambali Nordin, 6, dia berasa seronok mahu dikhatankan walaupun usianya masih muda.

 

Ziyad antara 100 kanak-kanak di dalam Parlimen Nibong Tebal yang menyertai program anjuran bersama Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal.
Dia yang tiba pada jam 8 pagi kelihatan bersemangat selain teruja sebaik diarak serta dimandikan dengan semburan air daripada jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Bapanya Nordin Shariff, 49, berkata, anak bongsu daripada tujuh beradik itu membawa balik sendiri borang untuk diisi bagi permohonan menyertai program berkenaan.

 

“Saya tanya dia sama ada bersedia untuk dikhatankan dan dia menjawab mahu menyertainya selain tidak takut,” katanya yang ditemui di program yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Setar.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Norhiesam Ismail dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal, Noor Zuraida Md Shariff.

 

Sementara itu, ADUN Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria berkata, program diadakan setiap tahun itu bertujuan mengurangkan beban ibu bapa yang ingin mengkhatankan anak mereka.
Menurutnya, program itu bertujuan mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan selain memberi pendedahan kepada orang ramai, sekali gus menyambung tradisi dan budaya berkhatan beramai-ramai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/24