Kementerian Pendidikan tidak janjikan penempatan kepada graduan – Mary Yap – Bernama


Kementerian Pendidikan tidak janjikan penempatan kepada graduan – Mary Yap

2013/11/26 – 14:26:12 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak menjanjikan penempatan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kian Ching.

Beliau berkata, ini kerana sebahagian besar daripada mereka bukan ditaja oleh Kementerian Pendidikan dan tidak ada sebarang ikatan perjanjian dengan pihak kementerian.

“Penempatan graduan adalah berdasarkan kepada kekosongan perjawatan yang ada. Apabila bekalan diterima, penempatan dilaksanakan mengikut kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen,” katanya.

Yap berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini. Abdul Rahman bertanyakan mengenai mekanisme Kementerian Pendidikan dalam mengatasi kelewatan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan sejak akhir-akhir ini.

Beliau menambah, mulai 2012, pelantikan dan penempatan graduan pendidikan keluaran IPTA dan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak lagi secara automatik, tetapi secara lantikan tetap dan tidak lagi lantikan secara sandaran.

“Kementerian Pendidikan berpandangan bahawa tidak timbul isu kelewatan dalam penempatan guru baharu memandangkan semua graduan pendidikan perlu menjalani prosedur pelantikan dan penempatan yang telah ditetapkan,” kata Yap.

Jelasnya, graduan pendidikan yang tamat pengajian dan diperakukan oleh senat IPTA/IPG perlu memohon di portal http://www.jobsmalaysia.com bagi tujuan panggilan temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Yab berkata bakal guru hanya akan ditempatkan di sekolah-sekolah setelah mereka lulus temuduga dan diperakui oleh pihak SPP.

“Ini bertujuan untuk memastikan guru-guru yang dilantik berkualiti dan memenuhi standard guru Malaysia. Mereka akan ditempatkan ke sekolah dengan tawaran jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41,” katanya.

– BERNAMA

Ditemui di pantai Pulau Tekong – Metro


Ditemui di pantai Pulau Tekong

Oleh Mary Victoria Dass

PASIR GUDANG: Mayat mangsa lemas, Muhammad Taufik Abdul Talib, 8, yang hilang dihanyutkan arus sejak Sabtu lalu ditemui terdampar di pantai Pulau Tekong, Singapura oleh pengawal pantai republik berkenaan, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam Deputi Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan penemuan mayat mangsa daripada pihak berkuasa Singapura pada jam 11.45 pagi.

Beliau berkata, difahamkan, pihak berkuasa Singapura tidak menemui sebarang maklumat berkaitan identiti mangsa bersamanya.

“Bagaimanapun, berdasarkan pakaian, mayat itu dipercayai Muhammad Taufik yang hilang di perairan Tanjung Langsat, Sungai Johor.
“Mayat itu ditemui kira-kira tujuh kilometer dari tempat kejadian. Kami akan berurusan dengan kedutaan Malaysia di republik berkenaan selain Wisma Putra,” katanya.
Saifi berkata, selain pengecaman, ahli keluarga mangsa juga perlu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenalpasti identiti mangsa.

Menurutnya, jenazah Muhammad Taufik dan bapanya, Abdul Talib Hadhari, 42, akan dibawa pulang secepat mungkin.

“Keluarga mangsa juga sudah dibawa ke Singapore General Hospital di Outram Road semalam untuk tujuan pengecaman serta ujian DNA,” katanya.

Pada jam 11.25 pagi semalam, mayat Abdul Talib ditemui di perairan Singapura oleh pengawal pantai republik berkenaan.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang Sabtu lalu, Abdul Talib dan Muhammad Taufik hilang selepas dihanyut arus deras.

Kejadian berlaku di rumah rakit selepas Muhammad Taufik tergelincir dan terjatuh ke dalam laut sebelum Abdul Talib terjun untuk menyelamatkannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/26