Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Alam Maya Dijangka Siap Suku Pertama 2014 – Bernama


Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Alam Maya Dijangka Siap Suku Pertama 2014

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan merangka Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Alam Maya dan dijangka siap pada suku pertama tahun depan untuk melindungi kanak-kanak dalam dunia siber.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata satu forum bersama agensi dan pihak berkepentingan akan diadakan pada minggu pertama bulan depan bagi mendapatkan input untuk menyediakan pelan tindakan itu.

“Kita akan memuktamadkan pelan tindakan itu berdasarkan input dari agensi dan pihak berkepentingan. Pelan itu akan dibentangkan di peringkat kementerian sebelum dibawa pada mesyuarat kabinet,” katanya dalam sidang media di sini Rabu.

Sebelum itu, Rohani menghadiri “Forum Konsultatif: Kanak-Kanak Tidak Patut Dibesarkan Dalam Institusi” anjuran KPWKM dan Yayasan OrphanCARE di sini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Harjeet Singh dan Pengerusi Yayasan OrphanCARE Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

Rohani berharap pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang telah diserahkan kepada Peguam Negara akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

“Kira-kira 70 peratus akta itu akan dipinda mengikut kesesuaian dan peredaran masa untuk memperkasa golongan itu,” katanya.

Sementara itu, Rohani berkata terdapat 12 Pusat Perlindungan Kanak-Kanak di seluruh negara, kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan 1,950 penghuni.

Beliau berkata kementerian melalui JKM menawarkan kanak-kanak yang diberikan perlindungan kepada anggota masyarakat yang berminat untuk memelihara kanak-kanak tersebut.

“Kementerian mengamalkan pendekatan bahawa suasana keluarga merupakan suasana paling kondusif untuk membesarkan seseorang kanak-kanak dan perlindungan di institusi hanyalah pilihan terakhir.

“Kini, terdapat 756 permohonan dalam talian (online) untuk mendapatkan anak pelihara (anak angkat) melalui JKM,” katanya.

Rohani berkata pasangan yang menepati syarat dan kriteria yang ditetapkan akan melalui proses saringan yang teliti dan rapi bagi tujuan pemadanan antara ibu bapa pelihara dengan anak pelihara.

“Proses pemberian anak pelihara adalah melalui satu Panel Penempatan Anak Pelihara yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat. Prosedur ini adalah selaras dengan Seksyen 30 (1) (e) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau menambah program anak pelihara adalah satu kaedah mengelak pengambilan kanak-kanak secara tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang atau kes pemerdagangan kanak-kanak di samping memberi ruang kepada kanak-kanak tinggal dalam suasana keluarga.

Sementara itu, Faizah berkata OrphanCARE berjaya menempatkan 88 orang bayi yang ditinggalkan sebagai anak angkat oleh pasangan ibu bapa yang tidak mempunyai anak.

Selain itu, beliau berkata OrphanCARE berjaya menyelesaikan 50 kes melalui kaunseling kepada ibu kandung supaya menjaga bayi mereka sendiri dan tidak memberikannya kepada orang lain.

“Dalam pangkalan data kami, sehingga kini terdapat lebih 3,500 ibu bapa dalam senarai menunggu untuk mendapatkan bayi sebagai anak angkat mereka,” katanya. – BERNAMA

Timbalan Presiden 1 Cuepacs Tanding Jawatan Presiden – Bernama


Timbalan Presiden 1 Cuepacs Tanding Jawatan Presiden

 

Azih Muda.

 

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden I Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda mengumumkan akan bertanding merebut jawatan Presiden Cuepacs 2014/2016 bagi menggantikan Datuk Omar Osman yang akan bersara tidak lama lagi.

Beliau berkata pencalonan itu telah dibentangkan kepada kongres pada 14 November lepas, manakala proses pemilihan akan diadakan pada persidangan Cuepacs yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 19 Disember ini.

Katanya sekiranya dipilih menjadi presiden kelak, beliau akan memastikan kebajikan penjawat awam akan terus dipelihara.

“Saya akan meneruskan perjuangan Cuepacs yang telah dirintis oleh Datuk Omar Osman yang hari ini Cuepacs dihormati, disegani, dan digeruni,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Exco Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) di sini, Rabu.

Azih, yang telah menyandang jawatan sebagai Timbalan Presiden I Cuepacs sejak tujuh tahun lalu turut mendapat sokongan daripada Omar.

Katanya beliau akan bersaing dengan dua lagi rakannya iaitu Presiden Kakitangan Kementerian Pertahanan (Kesatria) Ahmad Shah Mohd Zain, dan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU), yang juga Pengerusi Cuepacs Perak Suhaimi Othman.

Dalam perkembangan lain, Azih yang juga Presiden Anulae meminta kerajaan dengan kadar segera menyemak baki 168 skim perkhidmatan awam selepas 81 skim disemak dan ditambah baik di bawah Bajet 2014.

“Penjawat awam hari ini tidak termasuk anggota polis dan tentera ialah 1.1 juta orang. Skim perkhidmatan polis dan tentera telah disemak, 81 skim telah disemak yang melibatkan kira-kira 650,000 penjawat awam…baki 700,000 ini sedang menunggu bila lagi (skim perkhidmatan mereka disemak),” katanya.

Azih berkata kerajaan perlu bertindak segera untuk menyemak skim perkhidmatan tersebut memandangkan penjawat awam berhadapan dengan kos hidup yang semakin meningkat. – BERNAMA

PAC akan panggil Menteri Pendidikan jelas penswastaan keselamatan sekolah – Bernama


PAC akan panggil Menteri Pendidikan jelas penswastaan keselamatan sekolah

2013/11/27 – 16:23:44 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Pendidikan bagi memberi penjelasan mengenai kelemahan dalam projek penswastaan perkhidmatan keselamatan di sekolah yang membabitkan kos sebanyak RM812 juta.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata PAC belum memutuskan sama ada akan memanggil Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan atau Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh untuk membuat penjelasan itu.

Beliau memberitahu sidang media di bilik jawatankuasa itu di bangunan Parlimen hari ini bahawa penjelasan itu mungkin dibuat awal tahun hadapan.

“PAC berpendapat banyak kelemahan dari segi pelaksanaan dan sikap yang perlu diperjelaskan seberapa segera memandangkan kos perkhidmatan keselamatan di sekolah bertambah dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, PAC mengenal pasti kelemahan itu semasa mesyuarat pagi ini.

“Pembayaran secara tidak betul, kurang cekap menjalankan tugas, pelaksanaan dan perkara-perkara pentadbiran akan menyebabkan kos lebih tinggi jika tidak ditangani segera.

“Walaupun ada tindakan yang diambil kementerian, namun PAC mendapati ia belum mencukupi memandangkan kos terus meningkat dari RM594 juta (2010) kepada RM812 juta tahun lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata pengambilan pengawal keselamatan di sekolah-sekolah perlu dilakukan dengan teliti dan tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan aspek penjagaan keselamatan pelajar sepanjang berada di dalam kawasan sekolah.

Katanya pengawal keselamatan berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak sekolah dalam menyampaikan maklumat mengenai salah laku pelajar kepada guru besar.

“Pengawal keselamatan perlu mainkan peranan untuk kawal gejala tidak sihat malah pihak sekolah perlu mengambil pengawal keselamatan terlatih yang bukan sahaja berdiri dan mengawal sekolah tanpa terbabit dalam mencegah pelajar sekolah daripada terjebak dengan gejala tidak sihat,” katanya.

– BERNAMA

Pelajar SMK USJ 13 juara Pertandingan F1 In School peringkat Kebangsaan 2013 – Berita Harian


Pelajar SMK USJ 13 juara Pertandingan F1 In School peringkat Kebangsaan 2013

2013/11/27 – 12:21:48 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Pasukan Elitus dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 13 muncul juara Pertandingan F1 In School Kebangsaan 2013 yang dianjurkan di Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini, hari ini.

Kemenangan itu melayakkan pasukan berkenaan mewakili Malaysia ke pertandingan sama di peringkat antarabangsa di Abu Dhabi, akhir tahun depan.

Mengutip markah 834, pasukan itu mengalahkan 23 sekolah lain di seluruh negara.

Bekas guru percaya adiknya jadi hamba di London – Sinar Harian


Bekas guru percaya adiknya jadi hamba di London
26 November 2013
  • Bekas guru percaya kakaknya jadi hamba di LondonSiti Aishah Abdul Wahab – Foto Ihsan The Telegraph oleh Dean Nelson
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Sebuah keluarga di Negeri Sembilan mengesahkan wanita yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London adalah anggota keluarga mereka yang hilang selepas menyertai kumpulan Maoist di sana.

Guru pencen, Kamar Mautum Abdul Wahab dari Jelebu berkata, beliau yakin adiknya yang berumur 69 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab adalah wanita Malaysia yang ditahan oleh pemimpin kumpulan Komunis Mao sejak 30 tahun lalu.

Kehilangan Aishah katanya menyebabkan keluarganya berasa cukup sedih. Malah ujar Kamar, ibunya telah meninggalkan wasiat supaya Aishah  dijejaki.

“Saya sangat sedih tanpa dia di sini tahun demi tahun. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati pada emak saya. Emak menyebut namanya sebelum menutup matanya.

“Bila emak saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya dipetik The Daily Telegraph.

Aishah belajar di sekolah yang paling elit di Malaysia dan mendapat anugerah biasiswa Komanwel untuk belajar dalam bidang Juruukur Bahan di London.

Dia berlepas ke Britain pada tahun 1968 bersama tunangnya dan berhasrat untuk mencapai cita-cita untuk keluarga tetapi kemudiannya terlibat dengan kegiatan politik melampau yang menyebabkan dia melupakan segala-galanya untuk mengikut ajaran Maoist.

Dia terpengaruh dengan Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda, telah ditangkap minggu lalu atas dakwaan menahan tiga wanita tanpa kerelaannya melebihi tiga dekad di London.

Kaji sebelum putuskan kenaikan tambang bas sekolah – Bernama


Kaji sebelum putuskan kenaikan tambang bas sekolah
26 November 2013
  • Syed Hamid AlbarSyed Hamid Albar
< 1 / 2 >

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memberi pertimbangan ke arah melindungi kepentingan awam sebelum membuat keputusan berhubung cadangan menaikkan tambang bas.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata suruhanjaya itu juga akan berusaha mencapai formula agar tidak menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pihak yang berkaitan.

“Kadar tambang bagi bas sekolah akan diumumkan tidak lama lagi. Kami mengadakan beberapa mesyuarat dan meneliti beberapa cadangan.

“Kami perlu menimbangkan (kepentingan) orang awam juga, kerana mereka sudah tentulah tidak mahu sebarang kenaikan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pengangkutan Bandar dan Transit Aliran Massa (MRT) 2013 di sini hari ini.

Syed Hamid mengulas cadangan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk menaikkan tambang bas sebanyak 30 peratus di seluruh negara, sebelum bermulanya sesi persekolahan awal Januari ini.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata projek Klang Valley MRT (KVMRT), yang ketika ini sedang dilaksanakan, berperanan penting sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menambah baik pengangkutan awam di negara ini.

Beliau berkata projek itu amat penting dalam merealisasikan sasaran Bidang Ekonomi Utama Negara Lembah Klang untuk mencapai 20 tempat teratas pertumbuhan ekonomi dan berada dalam kalangan 20 bandar raya paling berdaya huni terkemuka dunia menjelang 2020.

“Pembangunan jajaran MRT akan turut memacu pembangunan pusat komersial baharu di Pusat Bandaraya KL, misalnya Warisan Merdeka, projek pembangunan Tun Razak Exchange dan Pembangunan Cochrane, selain turut meningkatkan kesalinghubungan ke pusat bandar raya,” kata Syed Hamid.

Beliau berkata apabila Fasa I projek Jajaran 1 MRT mula beroperasi pada Januari 2017, disusuli Fasa II pada Julai tahun sama, jumlah penumpang dalam sistem rangkaian kereta api bandar akan meningkat dua kali ganda di wilayah
Lembah Klang.

Syed Hamid berkata pada masa ini terdapat kira-kira 600,000 penumpang bagi semua sistem rangkaian kereta api bandar di Lembah Klang. – Bernama

Akhirnya… dapat MyKad – Sinar Harian


Akhirnya… dapat MyKad
ROSDALILAH ZAHARI
27 November 2013
  • Akhirnya... dapat MyKadMohd Zahari (kiri) menyerahkan MyKad kepada Mahalachime (dua, kanan) yang hadir ke Pejabat JPN negeri dengan ditemani keluarganya dan Adun Buntong, S Sivasubramaniam (kanan).
< 1 / 1 >

IPOH – Selepas mengharungi pelbagai dugaan,  S Mahalachime, 12, akhirnya memperoleh MyKad yang diserahkan sendiri Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, Mohd Zahari Hassan pada jam 12.30 tengah hari di pejabatnya di Meru Raya, semalam.

Mahalachime berkata, dia berasa amat gembira kerana kini dapat menguruskan pendaftaran ke Tingkatan Satu tanpa sebarang masalah.

“Saya benar-benar gembira dan kini saya boleh ke sekolah menengah dengan mudah,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi seorang guru.

Sementara itu, ibu saudaranya, M Logalechumi, 28, berkata, sebelum menghadapi masalah untuk memperoleh MyKad, Mahalachime adalah seorang yang sangat ceria dan peramah.

“Anak saudara saya sangat rajin dan taat. Dia sentiasa membantu dalam kerja-kerja rumah,” katanya.

Sebelum ini, kanak-kanak terbabit terpaksa menunggu selama dua bulan untuk mendapatkan MyKad daripada JPN Perak apabila keluarganya mendakwa statusnya diragui kerana warna kulitnya berbeza dengan ibu bapanya.

Mohd Zahari berkata, isu Mykad itu timbul selepas wujudnya keraguan dan salah faham antara keluarga pemohon dengan pegawai JPN bertugas berhubung prosedur terpaksa dijalankan sebelum permohonan Mahalachime dapat diluluskan.

Menurutnya, ia bukan isu besar memandangkan pemohon mempunyai sijil kelahiran sah.

Mengulas mengenai isu sijil kelahiran kanak-kanak itu yang didakwa dirampas pegawai JPN, beliau berkata, dokumen itu diambil hanya untuk siasatan dan ia  dikembalikan sejurus proses permohonan selesai.

“Setiap permohonan harus melalui proses dan peraturan ditetapkan dan kami telah meluluskan permohonan Mahalachime  dua hari selepas tarikh permohonan dibuat iaitu pada 31 September lalu.

“Namun, selepas MyKad itu siap, kami gagal menghubungi keluarganya,” katanya.

Beliau turut menafikan pihaknya menolak permohonan Mahalachime atas dasar perbezaan warna kulit dengan ibu kandungnya, V Kamalla, 60.

Mohd Zahari menasihatkan ibu bapa yang menghadapi masalah berhubung permohonan MyKad supaya berunding dengan pegawai kanan jabatan, bukan pihak ketiga.

“Segala masalah dihadapi pemohon boleh terus diadukan kepada pegawai JPN atau pegawai kanan jabatan. Malah, pegawai JPN komited dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah permohonan sekali gus mendapatkan hak kerakyatan sah,” katanya.

Tunggu tiga habis ujian sebelum cekup – Metro


Tunggu tiga habis ujian sebelum cekup

Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Tiga remaja masing-masing berusia antara 15 dan 17 tahun ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas didapati menjadikan blog peribadi serta laman sesawang sebagai portal memuat turun atau menayang filem tempatan tanpa izin pemilik hak cipta.

Pengarah Bahagian Penguatkuasanya Mohd Roslan Mahayuddin berkata, semua suspek lelaki berkenaan ditahan di Selangor dan Pulau Pinang masing-masing pada 29 Oktober serta 8 November lalu menerusi Op Spyglass, selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.
“Serbuan dibuat susulan aduan pemilik hak cipta (pengeluar filem) dan orang ramai berhubung laman web dan blog peribadi yang dijadikan sebagai portal memuat turun atau menayangkan beberapa filem tempatan termasuk KL Gangster 2, KL Zombie dan Tanda Putera baru-baru ini.

 

“Sebenarnya pihak kami sudah mengenal pasti semua suspek sebelum Aidiladha, namun serbuan hanya dilakukan selepas mereka selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengelakkan tumpuan mereka terganggu,” katanya pada sidang media Op Spyglass di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pasukan Petugas Khas Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Putrajaya Fahmi Kasim.
Mohd Roslan berkata, semua filem berkenaan dimuat turun di dalam laman sesawang web http://www.allinoneatheremovies.blogspot.com; http://www.pjsenter.com dan http://www.piratebytez.com yang dikendalikan tiga suspek berkenaan dipercayai sudah beroperasi setahun lalu.

 

FotoMOHD Roslan (dua dari kanan) menunjukkan peralatan yang disita KPDNKK untuk siasatan lanjut.

Katanya, dalam serbuan itu juga, pihaknya turut merampas sejumlah peralatan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) seperti komputer riba sebanyak tiga unit; peranti jalur lebar (satu unit); ‘router’ dan modem masing-masing dua unit bernilai kira-kira RM12,000.
“Semua suspek kini ditahan dan diletakkan di bawah jaminan polis, malah kami juga sudah memanggil ibu bapa bagi menyiasat kemungkinan mereka turut terbabit atau sedar tindakan yang dilakukan anak mereka kerana ia beroperasi di rumah.

 

“Berdasarkan soal siasat ke atas suspek, mereka memaklumkan filem yang disediakan di dalam laman sesawang atau blog seliaan itu diperoleh sumbernya daripada laman sesawang serta blog lain,” katanya.
Selain itu, Mohd Roslan berkata, pihaknya masih menyiasat dari semua aspek termasuk akaun suspek sama ada membabitkan kemasukan kewangan yang luar biasa atau tidak pada akaun masing-masing.
“Kejayaan membanteras tiga suspek walaupun kemungkinan bukan dalangnya, tetapi ia masih boleh menuju ke arah mengenalpasti siapakah dalang sebenarnya yang memuat turun karya tempatan di laman sesawang.
“Kami juga akan mengeluarkan notis halangan akses kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menghalang akses laman sesawang yang sudah diperuntukkan di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/26

Remaja 13 tahun dicerai talak tiga – Awani


Remaja 13 tahun dicerai talak tiga

 Munirah A Sani| Kemas kini: November 27, 2013

 
 
email
comments
Remaja 13 tahun dicerai talak tiga
KULIM: Kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulangtahun pertama perkahwinan, pasangan muda Nor Fazira Saad, 13 dan Mohd Fahmi Alias, 20, disahkan bercerai dengan talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim.

Nor Fazira berusia 12 tahun ketika dinikahkan dengan pasangannya, Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 20 tahun.

Memetik laporan Harian Metro, bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 43, berkata, beliau menerima kenyataan berkenaan walaupun pahit dan menganggap bukan jodoh anaknya untuk kekal di alam perkahwinan.

Saad turut memberitahu bahawa dia tidak mengetahui punca sebenar keretakan rumah tangga anaknya itu kerana Nor Fazira tidak banyak bercakap mengenai nasib yang menimpa dirinya.

Buat masa ini, Nor Fazira tinggal bersama bapa saudaranya di Padang Serai supaya jiwanya kembali tenang.

Harian Metro turut melaporkan kegagalan untuk menghubungi keluarga Mohd Fahmi untuk mendapatkan maklum balas.

Nor Fazira mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

Majlis pernikahan pasangan itu dilangsungkan di Masjid Kampung Padang Cina dengan mas kahwin RM1,500 serta wang hantaran RM4,552 pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin pada 2012 dan Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan terbabit.

Ia merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim dan mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Berita mula diterbitkan pada: November 27, 2013 09:20 (MYT)