Akhirnya… dapat MyKad – Sinar Harian


Akhirnya… dapat MyKad
ROSDALILAH ZAHARI
27 November 2013
  • Akhirnya... dapat MyKadMohd Zahari (kiri) menyerahkan MyKad kepada Mahalachime (dua, kanan) yang hadir ke Pejabat JPN negeri dengan ditemani keluarganya dan Adun Buntong, S Sivasubramaniam (kanan).
< 1 / 1 >

IPOH – Selepas mengharungi pelbagai dugaan,  S Mahalachime, 12, akhirnya memperoleh MyKad yang diserahkan sendiri Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, Mohd Zahari Hassan pada jam 12.30 tengah hari di pejabatnya di Meru Raya, semalam.

Mahalachime berkata, dia berasa amat gembira kerana kini dapat menguruskan pendaftaran ke Tingkatan Satu tanpa sebarang masalah.

“Saya benar-benar gembira dan kini saya boleh ke sekolah menengah dengan mudah,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi seorang guru.

Sementara itu, ibu saudaranya, M Logalechumi, 28, berkata, sebelum menghadapi masalah untuk memperoleh MyKad, Mahalachime adalah seorang yang sangat ceria dan peramah.

“Anak saudara saya sangat rajin dan taat. Dia sentiasa membantu dalam kerja-kerja rumah,” katanya.

Sebelum ini, kanak-kanak terbabit terpaksa menunggu selama dua bulan untuk mendapatkan MyKad daripada JPN Perak apabila keluarganya mendakwa statusnya diragui kerana warna kulitnya berbeza dengan ibu bapanya.

Mohd Zahari berkata, isu Mykad itu timbul selepas wujudnya keraguan dan salah faham antara keluarga pemohon dengan pegawai JPN bertugas berhubung prosedur terpaksa dijalankan sebelum permohonan Mahalachime dapat diluluskan.

Menurutnya, ia bukan isu besar memandangkan pemohon mempunyai sijil kelahiran sah.

Mengulas mengenai isu sijil kelahiran kanak-kanak itu yang didakwa dirampas pegawai JPN, beliau berkata, dokumen itu diambil hanya untuk siasatan dan ia  dikembalikan sejurus proses permohonan selesai.

“Setiap permohonan harus melalui proses dan peraturan ditetapkan dan kami telah meluluskan permohonan Mahalachime  dua hari selepas tarikh permohonan dibuat iaitu pada 31 September lalu.

“Namun, selepas MyKad itu siap, kami gagal menghubungi keluarganya,” katanya.

Beliau turut menafikan pihaknya menolak permohonan Mahalachime atas dasar perbezaan warna kulit dengan ibu kandungnya, V Kamalla, 60.

Mohd Zahari menasihatkan ibu bapa yang menghadapi masalah berhubung permohonan MyKad supaya berunding dengan pegawai kanan jabatan, bukan pihak ketiga.

“Segala masalah dihadapi pemohon boleh terus diadukan kepada pegawai JPN atau pegawai kanan jabatan. Malah, pegawai JPN komited dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah permohonan sekali gus mendapatkan hak kerakyatan sah,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s