Tunggu tiga habis ujian sebelum cekup – Metro


Tunggu tiga habis ujian sebelum cekup

Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Tiga remaja masing-masing berusia antara 15 dan 17 tahun ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas didapati menjadikan blog peribadi serta laman sesawang sebagai portal memuat turun atau menayang filem tempatan tanpa izin pemilik hak cipta.

Pengarah Bahagian Penguatkuasanya Mohd Roslan Mahayuddin berkata, semua suspek lelaki berkenaan ditahan di Selangor dan Pulau Pinang masing-masing pada 29 Oktober serta 8 November lalu menerusi Op Spyglass, selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.
“Serbuan dibuat susulan aduan pemilik hak cipta (pengeluar filem) dan orang ramai berhubung laman web dan blog peribadi yang dijadikan sebagai portal memuat turun atau menayangkan beberapa filem tempatan termasuk KL Gangster 2, KL Zombie dan Tanda Putera baru-baru ini.

 

“Sebenarnya pihak kami sudah mengenal pasti semua suspek sebelum Aidiladha, namun serbuan hanya dilakukan selepas mereka selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengelakkan tumpuan mereka terganggu,” katanya pada sidang media Op Spyglass di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pasukan Petugas Khas Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Putrajaya Fahmi Kasim.
Mohd Roslan berkata, semua filem berkenaan dimuat turun di dalam laman sesawang web http://www.allinoneatheremovies.blogspot.com; http://www.pjsenter.com dan http://www.piratebytez.com yang dikendalikan tiga suspek berkenaan dipercayai sudah beroperasi setahun lalu.

 

FotoMOHD Roslan (dua dari kanan) menunjukkan peralatan yang disita KPDNKK untuk siasatan lanjut.

Katanya, dalam serbuan itu juga, pihaknya turut merampas sejumlah peralatan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) seperti komputer riba sebanyak tiga unit; peranti jalur lebar (satu unit); ‘router’ dan modem masing-masing dua unit bernilai kira-kira RM12,000.
“Semua suspek kini ditahan dan diletakkan di bawah jaminan polis, malah kami juga sudah memanggil ibu bapa bagi menyiasat kemungkinan mereka turut terbabit atau sedar tindakan yang dilakukan anak mereka kerana ia beroperasi di rumah.

 

“Berdasarkan soal siasat ke atas suspek, mereka memaklumkan filem yang disediakan di dalam laman sesawang atau blog seliaan itu diperoleh sumbernya daripada laman sesawang serta blog lain,” katanya.
Selain itu, Mohd Roslan berkata, pihaknya masih menyiasat dari semua aspek termasuk akaun suspek sama ada membabitkan kemasukan kewangan yang luar biasa atau tidak pada akaun masing-masing.
“Kejayaan membanteras tiga suspek walaupun kemungkinan bukan dalangnya, tetapi ia masih boleh menuju ke arah mengenalpasti siapakah dalang sebenarnya yang memuat turun karya tempatan di laman sesawang.
“Kami juga akan mengeluarkan notis halangan akses kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menghalang akses laman sesawang yang sudah diperuntukkan di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/26

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s