Pengambilan guru ikut keperluan negeri – Sinar Harian


Pengambilan guru ikut keperluan negeri
WARTAWAN SINAR HARIAN
28 November 2013
 
 
  • Idris Jusoh
< 1 / 1 >

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pendidikan akan memastikan pengambilan guru dibuat mengikut keperluan negeri bagi mengurangkan masalah guru yang ingin bertukar ke sekolah di negeri tempat mereka berasal.
   
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ketika ini terdapat terlalu ramai guru yang memohon untuk bertukar ke negeri masing-masing sedangkan tempat adalah terhad.
   
“Sebagai contoh bilangan guru yang lahir di Kelantan seramai 57,740 dan yang sedang berkhidmat di negeri itu berjumlah 28,048 orang. Ini bermakna lebih 30,000 guru dari negeri itu sedang bertugas di negeri lain dan yang ingin balik ke Kelantan adalah seramai 2,483, sedangkan kekosongan yang ada cuma 1,079 sahaja.
   
“Begitu juga yang ingin pulang ke Terengganu berjumlah 1,267, manakala kekosongan yang ada hanya 179 sahaja. Ini bermakna (permohonan) 1,100 guru lagi tidak dapat dilayan dan sudah pastinya mereka kurang seronok dengan keadaan itu,” katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melawat Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini, ketika ditanya mengenai masalah pertukaran guru yang sukar diatasi sejak sekian lama.

Turut hadir Naib Canselor Unisza, Prof Dr Yahaya Ibrahim.
 
Idris berkata guru berkenaan enggan bertukar ke negeri lain, sebaliknya tetap mahu balik mengajar di tanah kelahiran dan sudah pastinya masalah ini tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat kerana ia melibatkan kekosongan yang ada di  sesuatu kawasan itu.
   
Katanya, keutamaan diberikan kepada suami atau isteri yang mengajar di negeri berlainan.
   
Mengenai dakwaan berlaku kebocoran kertas soalan peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan, beliau berkata, kementerian masih menyiasat perkara itu.
   
Mengenai Unisza, Idris berkata, universiti itu tidak mempunyai halangan untuk terus maju dan mencapai kedudukan antara 10 universiti terbaik di negara  ini berdasarkan perkembangan dan pencapaian semasa di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
   
“Dengan peningkatan dan penambahbaikan yang sedang berlaku di Unisza ini, saya percaya dan tidak mustahil universiti ini akan menjadi salah sebuah universiti tempatan terbaik dalam tempoh 10 tahun lagi,” katanya.
   
Katanya, dalam jangka masa yang singkat, Unisza menunjukkan perkembangan pesat dari segi pembangunan infrastruktur, bilangan pensyarah yang mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD), penerbitan dan penyelidikan dan pembangunan.

Kuda terapi anak istimewa – Bernama


Kuda terapi
anak istimewa

 

ADAM HAIKAL AHMAD HAIRIL yang menghidap kecacatan saraf otot menjalani rawatan terapi kuda di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai, Terengganu baru-baru ini.

 

KAEDAH urutan saraf, rawatan refleksologi dan berenang memang terkenal sebagai antara alternatif yang menjadi pilihan ramai ibu bapa untuk anak istimewa.

Selain itu, kaedah aromaterapi menggunakan urutan berasaskan haruman bunga-bungaan, akuaterapi menggunakan medium air dan muzik sebagai terapi untuk anak-anak istimewa. Bagaimanapun, tidak ramai menyedari bahawa Hippoterapi ataupun pergerakan haiwan terutama kuda boleh dijadikan terapi yang sangat berkesan dan terbukti mampu meningkatkan kesihatan fizikal terutama kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagi memberi peluang kepada kira-kira 600 OKU di Terengganu mendapatkan rawatan alternatif ini, Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA) memperluaskan operasinya di negeri tersebut secara rasmi mulai awal bulan ini.

Menunggang kuda

Bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Ibai, program terapi menggunakan kuda ini diharap dapat dimanfaatkan oleh keluarga golongan OKU di seluruh Terengganu.

RDA yang didaftarkan pada 1994 sebagai pertubuhan amal bertujuan menyediakan peluang kepada golongan istimewa iaitu kanak-kanak dan dewasa menjalankan aktiviti menunggang kuda sebagai satu kaedah terapi.

RDA Terengganu adalah cawangan ke-10 di Malaysia dan sehingga kini terapi berkuda terbukti berjaya memberi banyak kesan positif kepada OKU.

Pengerusi RDA Terengganu, Datuk Hamzah Muhammad berkata, terapi itu membolehkan kanak-kanak istimewa yang menunggang kuda mengawal postur, reaksi dan koordinasi sekali gus memberi manfaat dari segi psikologi, pertuturan dan bahasa mereka.

“Ada kanak-kanak yang sebelum ini tidak mahu berkomunikasi walaupun dengan ibu bapa sendiri, namun selepas menjalani terapi mereka menjadi lebih peramah dan ceria. Saya yakin lebih banyak testimoni kebaikan terapi secara berkuda ini akan kita ketahui selepas ini,” katanya pada majlis perasmian berkenaan yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Dengan mengguna gerakan irama tiga dimensi hasil pergerakan kuda, OKU yang duduk di atas pelana secara semula jadi akan belajar dan bertindak balas terhadap setiap gerakan kuda itu.

Walaupun kaedah tersebut mungkin agak asing bagi masyarakat di Terengganu tetapi ia adalah rawatan terbaik bagi membantu golongan berkenaan mempertingkatkan kecergasan.

Malah, di China terapi berkuda berjaya mengurangkan ketagihan remaja terhadap gajet telekomunikasi.

Sehingga kini rawatan terapi kuda terbukti berkesan kepada mereka yang mengalami kecacatan fizikal, mental dan emosi seperti palsi selebrum, sindrom Down dan Rett, gangguan neuro-otot, masalah pembelajaran, psikologi dan autisme.

Sejak dimulakan pada 2012, kira-kira 100 kanak-kanak OKU dari sekolah pendidikan khas dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang menyertainya telah menunjukkan peningkatan dari segi pergerakan fizikal, keyakinan, emosi dan pertuturan.

Setiap sesi terapi bagi seorang OKU mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 minit dan seramai tiga sukarelawan diperlukan untuk menemani OKU berkenaan. Ini antara cabaran yang dihadapi RDA Terengganu, iaitu kekurangan sukarelawan.

Sehingga kini terdapat kira-kira 3,000 OKU yang ditempatkan di kelas pendidikan khas di 90 buah sekolah rendah dan 50 buah sekolah menengah di seluruh Terengganu.

Percuma

Pengerusi RDA Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, persatuan berkenaan adalah organisasi yang diwujudkan bukan berlandaskan keuntungan tetapi lebih kepada kerja sukarela dengan menyediakan terapi menerusi kaedah menunggang kuda.

“Mungkin selama ini, ramai yang beranggapan aktiviti berkuda bersifat eksklusif kepada golongan berada sahaja, namun bagi terapi ini kami menyediakannya secara percuma.

“Alhamdulillah, bagi RDA Terengganu, sebuah syarikat korporat iaitu Excellent Far East Development Berhad telah memberi tajaan sebanyak RM50,000 dan kita harap tajaan ini akan diteruskan,” katanya.

Beliau juga berharap lebih ramai sukarelawan menyokong program ini di samping lebih banyak syarikat swasta dan korporat menaja terapi kuda agar ia terus dinikmati oleh ramai OKU di Terengganu. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2lxUOoADW
Hakcipta terpelihara

Golongan OKU pelajari ilmu astronomi – Kosmo


Golongan OKU pelajari ilmu astronomi

 

 

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH

 


 

SUARANYA berbisik menyebut setiap satu patah perkataan, matanya tertutup rapat seperti menggambarkan sesuatu dalam kepalanya manakala tangannya pula meraba-raba tulisan Braille di atas sebuah plak pameran.

Lantas senyuman terukir di raut wajah Khoo Song Yin, 10, selepas memahami tulisan di plak pameran khas yang memaparkan replika sebuah gunung di planet Marikh tersebut, lengkap dengan informasi dalam tulisan Braille.

“Sekarang baru saya tahu di planet Marikh pun ada gunung, malah gunungnya tiga kali lebih tinggi berbanding Everest.

“Selama ini, saya tidak tahu tentang sistem suria atau planet-planet kita.

“Kali ini, walaupun saya tidak dapat melihatnya, saya rasa seperti dapat menggambarkannya dalam fikiran saya,” kata Song Yin ketika ditanya apa yang dibacanya itu.

Song Yin merupakan antara pelajar sekolah khas daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan yang mempunyai keinginan mengetahui bidang sains astronomi.

Hasratnya untuk mengetahui kedudukan planet dan sistem cakerawala akhirnya berjaya direalisasikannya setelah menghadiri pameran khas Touch The Sky di Planetarium Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) baru-baru ini.

Pada pameran khusus buat golongan OKU tersebut, Angkasa turut mengadakan satu program istimewa iaitu Program Matahati Angkasa yang diadakan sempena Program Gerakan Inovasi Nasional 2013 – Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

DUA pelajar OKU penglihatan, Khairizul Najmi (tengah) dan Muhd. Firdaus Mohd. Rizan membaca buku Braille sambil dibantu kakitangan Planetarium Negara, Asmidar Zainol.

 

Pertandingan

Dalam program yang berbentuk pertandingan ini, seramai 32 pelatih guru dari Institut Perguruan Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur diberi peluang berfikir secara kreatif dan inovatif bagi menghasilkan alat bantu mengajar yang lebih berkesan dan mampu memberi gambaran serta pemahaman lebih jelas kepada golongan OKU ini.

Kesemua bakal guru tersebut diberi pilihan menghasilkan alat bantu mengajar dalam lima skop pertandingan iaitu Sistem Suria, Buruj, Cirian Matahati, Jujukan Bintang (panas dan sejuk) dan Cirian Astroid serta Komet.

“Program Matahati Angkasa ini adalah program baharu yang dijalankan oleh Angkasa tahun ini,” jelas Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad.

“Tujuannya ialah mengukur tahap kreativiti bakal-bakal guru ini dalam mencipta alat bantu mengajar bagi membudayakan sains dan teknologi buat golongan OKU (penglihatan).

“Selain pertandingan Program Matahati Angkasa, satu pameran khas untuk golongan OKU penglihatan juga telah diadakan serentak dan merupakan satu pameran yang unik.

“Keunikan pameran Touch The Sky ini ialah ia menggunakan elemen sentuhan dan idea tersebut tercetus selepas kami menerima banyak pertanyaan serta permohonan daripada Sekolah-Sekolah Khas Penglihatan yang mahu mengadakan lawatan ke Planetarium Negara,” ujarnya lagi.

Dalam pameran berkenaan, lebih 50 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu (B) dan Sekolah Kebangsaan Klang merasai sendiri pengalaman dan pendedahan mengenai bidang astronomi.

Rata-rata mereka berjaya mendapat jawapan terhadap persoalan berkaitan sains dan astronomi yang kerap kali berlegar di kepala masing-masing.

DUA guru pelatih memberi tunjuk ajar kepada Lee Wei Quan, 11, dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (B) Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

 

Buku Braille angkasawan

Selain pameran Touch The Sky dan program Matahati Angkasa, pihak Planetarium Negara juga melancarkan buku bertulisan Braille mengenai angkasawan pertama negara.

Buku yang berjudul Malaysia First Step In Space ini berkisar kepada Program Penerokaan Malaysia ke Angkasa dan pengalaman angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ketika berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Buku-buku tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah Pendidikan Khas Penglihatan di seluruh Malaysia.

“Ada yang bertanya kepada saya mengapa kami tidak mengeluarkan buku Braille berkonsepkan astronomi?

“Sebenarnya di pasaran dalam dan luar negara, banyak buku tulisan Braille, tetapi belum pernah ada buku program Angkasawan Negara yang diterbitkan dalam format tulisan ini.

“Saya pasti dengan adanya buku ini, kita dapat berkongsi perasan gembira dan bangga dengan golongan OKU tentang penerokaan Sheikh Muszaphar di angkasa,” kata Azreena lagi.

Hak kesetaraan

Usaha Planetarium Negara yang mahu memberi pengetahuan kepada golongan OKU penglihatan menerusi program Matahati Angkasa turut menerima pujian daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOSTI, Datuk Dr. Mohd. Azhar Yahya ketika hadir pada program tersebut baru-baru ini.

PARA pelajar OKU penglihatan teruja mencuba tulisan Braille yang dipamerkan.

 

Beliau percaya program yang dijalankan oleh Planetarium Negara dapat membantu golongan OKU memahami konsep-konsep astronomi dan sains angkasa, sekali gus memberi peluang kepada mereka merasai dan mempelajari pengalaman baharu.

“Menurut Undang-Undang Malaysia 658, Akta Orang Kurang Upaya 2008 Bahagian IV, golongan OKU sebenarnya mempunyai hak akses kepada kehidupan berbudaya atas asas kesetaraan dengan golongan orang upaya.

“Mereka (OKU) juga mempunyai hak menikmati akses bahan kebudayaan tersebut dalam format yang boleh diakses oleh mereka seperti persembahan kebudayaan, teater, muzium, panggung wayang, perpustakaan mahu pun pelancongan serta tapak yang memiliki kepentingan kebudayaan kebangsaan.

“Penyataan ini jelas bahawa golongan OKU seharusnya tidak dipinggirkan dalam sosial masyarakat dan usaha Planetarium Negara menganjurkan program Matahati ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memberi hak sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm#ixzz2lxUAbF3z
Hakcipta terpelihara

Keluarga cari remaja hilang – Kosmo


Keluarga cari remaja hilang

 

 

Oleh RIZAM ZAKARIYA
rizam.zakariya@kosmo.com.my

 

DUA gambar Muhamad Amirul yang dilaporkan hilang oleh keluarganya di Taman Janggus, Permatang Pauh.

 

BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Taman Janggus, Permatang Pauh di sini sejak Isnin lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Baharom Abu, Muhamad Amirul Wagiman dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira pukul 6 petang hari kejadian tanpa membawa sebarang beg pakaian.

“Berdasarkan laporan yang dibuat oleh ibu remaja berkenaan, dia (Muhamad Amirul) keluar dari rumah seorang diri pada petang Isnin lalu dan tidak pulang ke rumah sehingga hari ini (semalam).

“Menurut keluarganya, mereka sudah cuba mencari remaja tersebut di sekitar kawasan sini termasuk di rumah saudara-mara mereka tetapi gagal menemuinya.

“Berdasarkan laporan, remaja itu keluar dari rumah dengan memakai baju-T warna merah dan seluar trek hitam selepas dimarahi ibunya kerana dia bergaduh dengan seorang anak saudara lelakinya,” katanya ketika dihubungi.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2lxU1R0Ws
Hakcipta terpelihara

Tiga perlu bantuan – Metro


Tiga perlu bantuan

Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Dua remaja dan seorang kanak-kanak memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM28,300 untuk mendapatkan anggota palsu supaya dapat menjalani kehidupan seperti manusia normal.

Pelajar tingkatan enam, Mira Adila Mat Saruji, 19, memerlukan RM7,900 untuk mendapatkan tangan palsu manakala R Vignes, 16, dari Cheras, Kuala Lumpur memerlukan RM13,600 untuk membeli dua kaki palsu manakala Vivien Chee Hui Xuan, 7, dari Batu Gajah, Perak memerlukan RM6,800 untuk membeli kaki palsu.

Mira Adila dari Sungai Besar, Selangor berharap dapat memiliki tangan palsu menggantikan tangan kanannya yang dipotong akibat digilis lori kelapa sawit dalam kemalangan pada Julai tahun lalu.

Dia tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan kemalangan itu kerana peristiwa itu benar-benar meragut semangatnya untuk meneruskan hidup hingga memerlukan masa agak lama untuk kembali pulih.

FotoMIRA Adila, Vignes dan Vivien memerlukan anggota palsu untuk membantu meneruskan kehidupan mereka.

“Syukur keluarga dan orang sekeliling banyak memberi sokongan. Walaupun sekarang OKU (orang kelainan upaya) tetapi saya perlu teruskan hidup dan menumpukan pelajaran hingga ke peringkat lebih tinggi.
“Saya tidak mahu kecacatan menjadi penghalang untuk mencapai kejayaan kerana dengan ilmu saja boleh mengubah kehidupan menjadi lebih baik,” katanya yang terpaksa menyesuaikan diri dengan tangan kiri selepas kemalangan itu.

Vignes pula berkata, dia memerlukan dua kaki palsu baru berikutan yang lama sudah rosak di bahagian tapak sejak beberapa minggu lalu.

“Saya sudah cuba untuk memperbaiki kaki palsu digunakan sekarang tetapi disebabkan sudah tujuh tahun dipakai, kerosakannya tidak boleh dibaiki.

“Jadi, saya amat berharap orang ramai membantu saya mendapatkan kaki baru,” katanya yang bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Sementara itu, menurut bapa Vivien, Chee Keng Choy, 42, dia tidak mampu membeli kaki palsu untuk anak kesayangannya itu kerana tidak mempunyai kewangan mencukupi.

Menurutnya, dia berharap orang ramai dapat membantu anaknya yang mengalami masalah tumbesaran di kaki kanan kerana mahu melihat Vivien berjalan dengan normal.

Sumbangan kepada ketiga-tiga individu berkenaan boleh dibuat atas nama, The New Straits Times Press (M) Berhad dan dialamatkan kepada Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan nama penerima ditulis di belakang cek.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28

Tambah pengajian khas pelajar autisme – Metro


Tambah pengajian khas pelajar autisme

Shah Alam: Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan diharap dapat menambah lebih banyak jumlah sekolah harian yang menawarkan pengajian khas khusus untuk kanak-kanak autisme.

Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Bistaman Siru Abdul Rahman berkata, setakat ini, hanya terdapat 14 sekolah rendah dan menengah yang menawarkan kemudahan berkenaan dan sudah dimanfaatkan lebih 64 pelajar autisme.

Beliau berkata, sekiranya jumlah sekolah harian yang menawarkan pengajian khas untuk golongan itu ditambah, ia sekali gus turut meningkatkan jumlah pelajar autisme untuk mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain.

“Kanak-kanak autisme juga layak menerima pendidikan yang setaraf dengan kanak-kanak normal.

Jadi pertambahan jumlah sekolah juga membantu kanak-kanak autisme menjadi golongan yang berpendidikan,” katanya selepas majlis penyerahan cek RM500,030 yang dikumpul menerusi Kempen Sunshine September oleh Kumpulan Suria KLCC kepada NASOM di Setia Avenue, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Bistaman berkata, dana yang diterima itu dapat membantu kanak-kanak autisme melanjutkan pelajaran di sekolah harian kerana mereka perlu ditemani tenaga pengajar NASOM untuk sesi pembelajaran selain belajar cara bergaul dengan kanak-kanak normal.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28