Golongan OKU pelajari ilmu astronomi – Kosmo


Golongan OKU pelajari ilmu astronomi

 

 

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH

 


 

SUARANYA berbisik menyebut setiap satu patah perkataan, matanya tertutup rapat seperti menggambarkan sesuatu dalam kepalanya manakala tangannya pula meraba-raba tulisan Braille di atas sebuah plak pameran.

Lantas senyuman terukir di raut wajah Khoo Song Yin, 10, selepas memahami tulisan di plak pameran khas yang memaparkan replika sebuah gunung di planet Marikh tersebut, lengkap dengan informasi dalam tulisan Braille.

“Sekarang baru saya tahu di planet Marikh pun ada gunung, malah gunungnya tiga kali lebih tinggi berbanding Everest.

“Selama ini, saya tidak tahu tentang sistem suria atau planet-planet kita.

“Kali ini, walaupun saya tidak dapat melihatnya, saya rasa seperti dapat menggambarkannya dalam fikiran saya,” kata Song Yin ketika ditanya apa yang dibacanya itu.

Song Yin merupakan antara pelajar sekolah khas daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan yang mempunyai keinginan mengetahui bidang sains astronomi.

Hasratnya untuk mengetahui kedudukan planet dan sistem cakerawala akhirnya berjaya direalisasikannya setelah menghadiri pameran khas Touch The Sky di Planetarium Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) baru-baru ini.

Pada pameran khusus buat golongan OKU tersebut, Angkasa turut mengadakan satu program istimewa iaitu Program Matahati Angkasa yang diadakan sempena Program Gerakan Inovasi Nasional 2013 – Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

DUA pelajar OKU penglihatan, Khairizul Najmi (tengah) dan Muhd. Firdaus Mohd. Rizan membaca buku Braille sambil dibantu kakitangan Planetarium Negara, Asmidar Zainol.

 

Pertandingan

Dalam program yang berbentuk pertandingan ini, seramai 32 pelatih guru dari Institut Perguruan Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur diberi peluang berfikir secara kreatif dan inovatif bagi menghasilkan alat bantu mengajar yang lebih berkesan dan mampu memberi gambaran serta pemahaman lebih jelas kepada golongan OKU ini.

Kesemua bakal guru tersebut diberi pilihan menghasilkan alat bantu mengajar dalam lima skop pertandingan iaitu Sistem Suria, Buruj, Cirian Matahati, Jujukan Bintang (panas dan sejuk) dan Cirian Astroid serta Komet.

“Program Matahati Angkasa ini adalah program baharu yang dijalankan oleh Angkasa tahun ini,” jelas Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad.

“Tujuannya ialah mengukur tahap kreativiti bakal-bakal guru ini dalam mencipta alat bantu mengajar bagi membudayakan sains dan teknologi buat golongan OKU (penglihatan).

“Selain pertandingan Program Matahati Angkasa, satu pameran khas untuk golongan OKU penglihatan juga telah diadakan serentak dan merupakan satu pameran yang unik.

“Keunikan pameran Touch The Sky ini ialah ia menggunakan elemen sentuhan dan idea tersebut tercetus selepas kami menerima banyak pertanyaan serta permohonan daripada Sekolah-Sekolah Khas Penglihatan yang mahu mengadakan lawatan ke Planetarium Negara,” ujarnya lagi.

Dalam pameran berkenaan, lebih 50 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu (B) dan Sekolah Kebangsaan Klang merasai sendiri pengalaman dan pendedahan mengenai bidang astronomi.

Rata-rata mereka berjaya mendapat jawapan terhadap persoalan berkaitan sains dan astronomi yang kerap kali berlegar di kepala masing-masing.

DUA guru pelatih memberi tunjuk ajar kepada Lee Wei Quan, 11, dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (B) Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

 

Buku Braille angkasawan

Selain pameran Touch The Sky dan program Matahati Angkasa, pihak Planetarium Negara juga melancarkan buku bertulisan Braille mengenai angkasawan pertama negara.

Buku yang berjudul Malaysia First Step In Space ini berkisar kepada Program Penerokaan Malaysia ke Angkasa dan pengalaman angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ketika berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Buku-buku tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah Pendidikan Khas Penglihatan di seluruh Malaysia.

“Ada yang bertanya kepada saya mengapa kami tidak mengeluarkan buku Braille berkonsepkan astronomi?

“Sebenarnya di pasaran dalam dan luar negara, banyak buku tulisan Braille, tetapi belum pernah ada buku program Angkasawan Negara yang diterbitkan dalam format tulisan ini.

“Saya pasti dengan adanya buku ini, kita dapat berkongsi perasan gembira dan bangga dengan golongan OKU tentang penerokaan Sheikh Muszaphar di angkasa,” kata Azreena lagi.

Hak kesetaraan

Usaha Planetarium Negara yang mahu memberi pengetahuan kepada golongan OKU penglihatan menerusi program Matahati Angkasa turut menerima pujian daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOSTI, Datuk Dr. Mohd. Azhar Yahya ketika hadir pada program tersebut baru-baru ini.

PARA pelajar OKU penglihatan teruja mencuba tulisan Braille yang dipamerkan.

 

Beliau percaya program yang dijalankan oleh Planetarium Negara dapat membantu golongan OKU memahami konsep-konsep astronomi dan sains angkasa, sekali gus memberi peluang kepada mereka merasai dan mempelajari pengalaman baharu.

“Menurut Undang-Undang Malaysia 658, Akta Orang Kurang Upaya 2008 Bahagian IV, golongan OKU sebenarnya mempunyai hak akses kepada kehidupan berbudaya atas asas kesetaraan dengan golongan orang upaya.

“Mereka (OKU) juga mempunyai hak menikmati akses bahan kebudayaan tersebut dalam format yang boleh diakses oleh mereka seperti persembahan kebudayaan, teater, muzium, panggung wayang, perpustakaan mahu pun pelancongan serta tapak yang memiliki kepentingan kebudayaan kebangsaan.

“Penyataan ini jelas bahawa golongan OKU seharusnya tidak dipinggirkan dalam sosial masyarakat dan usaha Planetarium Negara menganjurkan program Matahati ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memberi hak sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm#ixzz2lxUAbF3z
Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s