Kuda terapi anak istimewa – Bernama


Kuda terapi
anak istimewa

 

ADAM HAIKAL AHMAD HAIRIL yang menghidap kecacatan saraf otot menjalani rawatan terapi kuda di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai, Terengganu baru-baru ini.

 

KAEDAH urutan saraf, rawatan refleksologi dan berenang memang terkenal sebagai antara alternatif yang menjadi pilihan ramai ibu bapa untuk anak istimewa.

Selain itu, kaedah aromaterapi menggunakan urutan berasaskan haruman bunga-bungaan, akuaterapi menggunakan medium air dan muzik sebagai terapi untuk anak-anak istimewa. Bagaimanapun, tidak ramai menyedari bahawa Hippoterapi ataupun pergerakan haiwan terutama kuda boleh dijadikan terapi yang sangat berkesan dan terbukti mampu meningkatkan kesihatan fizikal terutama kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagi memberi peluang kepada kira-kira 600 OKU di Terengganu mendapatkan rawatan alternatif ini, Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA) memperluaskan operasinya di negeri tersebut secara rasmi mulai awal bulan ini.

Menunggang kuda

Bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Ibai, program terapi menggunakan kuda ini diharap dapat dimanfaatkan oleh keluarga golongan OKU di seluruh Terengganu.

RDA yang didaftarkan pada 1994 sebagai pertubuhan amal bertujuan menyediakan peluang kepada golongan istimewa iaitu kanak-kanak dan dewasa menjalankan aktiviti menunggang kuda sebagai satu kaedah terapi.

RDA Terengganu adalah cawangan ke-10 di Malaysia dan sehingga kini terapi berkuda terbukti berjaya memberi banyak kesan positif kepada OKU.

Pengerusi RDA Terengganu, Datuk Hamzah Muhammad berkata, terapi itu membolehkan kanak-kanak istimewa yang menunggang kuda mengawal postur, reaksi dan koordinasi sekali gus memberi manfaat dari segi psikologi, pertuturan dan bahasa mereka.

“Ada kanak-kanak yang sebelum ini tidak mahu berkomunikasi walaupun dengan ibu bapa sendiri, namun selepas menjalani terapi mereka menjadi lebih peramah dan ceria. Saya yakin lebih banyak testimoni kebaikan terapi secara berkuda ini akan kita ketahui selepas ini,” katanya pada majlis perasmian berkenaan yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Dengan mengguna gerakan irama tiga dimensi hasil pergerakan kuda, OKU yang duduk di atas pelana secara semula jadi akan belajar dan bertindak balas terhadap setiap gerakan kuda itu.

Walaupun kaedah tersebut mungkin agak asing bagi masyarakat di Terengganu tetapi ia adalah rawatan terbaik bagi membantu golongan berkenaan mempertingkatkan kecergasan.

Malah, di China terapi berkuda berjaya mengurangkan ketagihan remaja terhadap gajet telekomunikasi.

Sehingga kini rawatan terapi kuda terbukti berkesan kepada mereka yang mengalami kecacatan fizikal, mental dan emosi seperti palsi selebrum, sindrom Down dan Rett, gangguan neuro-otot, masalah pembelajaran, psikologi dan autisme.

Sejak dimulakan pada 2012, kira-kira 100 kanak-kanak OKU dari sekolah pendidikan khas dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang menyertainya telah menunjukkan peningkatan dari segi pergerakan fizikal, keyakinan, emosi dan pertuturan.

Setiap sesi terapi bagi seorang OKU mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 minit dan seramai tiga sukarelawan diperlukan untuk menemani OKU berkenaan. Ini antara cabaran yang dihadapi RDA Terengganu, iaitu kekurangan sukarelawan.

Sehingga kini terdapat kira-kira 3,000 OKU yang ditempatkan di kelas pendidikan khas di 90 buah sekolah rendah dan 50 buah sekolah menengah di seluruh Terengganu.

Percuma

Pengerusi RDA Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, persatuan berkenaan adalah organisasi yang diwujudkan bukan berlandaskan keuntungan tetapi lebih kepada kerja sukarela dengan menyediakan terapi menerusi kaedah menunggang kuda.

“Mungkin selama ini, ramai yang beranggapan aktiviti berkuda bersifat eksklusif kepada golongan berada sahaja, namun bagi terapi ini kami menyediakannya secara percuma.

“Alhamdulillah, bagi RDA Terengganu, sebuah syarikat korporat iaitu Excellent Far East Development Berhad telah memberi tajaan sebanyak RM50,000 dan kita harap tajaan ini akan diteruskan,” katanya.

Beliau juga berharap lebih ramai sukarelawan menyokong program ini di samping lebih banyak syarikat swasta dan korporat menaja terapi kuda agar ia terus dinikmati oleh ramai OKU di Terengganu. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2lxUOoADW
Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s