Warga pendidik menjiwai kehidupan masyarakat desa – Kosmo


Warga pendidik menjiwai kehidupan masyarakat desa

 

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

 

PARA peserta asyik menikmati makanan tengah hari di salah satu restoran yang diusahakan penduduk.

 

TERLETAK di pinggir tebing Sungai Johor, kira-kira 40 kilometer dari bandar Kota Tinggi, Kampung Johor Lama mempunyai pelbagai tarikan tersendiri.

Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan jika ia menjadi pilihan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi menjayakan program Semaian Kasih Perpaduan yang telah berlangsung pada 18 hingga 21 Oktober lalu.

Seramai 250 siswa siswi IPGM dari IPG Kampus Bahasa Melayu, Kampus Bahasa Antarabangsa, Kampus Perempuan Melayu,Kampus Pendidikan Islam, Kampus Raja Melewar, Kampus Temenggung Ibrahim dan Kampus Tun Hussein Onn berserta warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berkampung di sana untuk beramah mesra dengan para penduduk yang kebanyakannya nelayan.

AKTIVITI air memberi satu pengalaman bermakna buat semua peserta.

 

Program anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu merupakan program ketiga yang diusahakan di bawah konsep sama iaitu menjana Program Sekretariat Rukun Negara.

Inisiatif berkenaan bertujuan menanam sifat cintakan negara dan perpaduan dalam kalangan siswa siswi IPGM.

Kerjasama JPNIN-IPGM telah bermula sejak tiga tahun lalu bermula dengan Program Semarak Rukun Negara diikuti Program Jom Ke Desa (2011) dan Program Semaian Kasih Perpaduan ini.

Kesemua peserta telah diterima sebagai anak angkat oleh 44 penduduk kampung yang mengambil bahagian, sekali gus berpeluang merasai pengalaman hidup di desa.

SEORANG peserta wanita menunjukkan keberanian memegang anak buaya.

 

Kenali dunia luar

Menurut Rektor IPGM, Sulaiman Wak, aktiviti yang disusun dan dijalankan sepanjang program berlangsung berasaskan kepada lima prinsip Rukun Negara.

“Ia membolehkan para peserta yang terdiri daripada guru pelatih pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan sebilangan kecil kaum Iban, Bidayuh serta Kadazan menyerap falsafah Rukun Negara dalam kehidupan mereka.

“Kami sangat berterima kasih kepada JPNIN kerana melalui program ini ia memberi pengalaman berharga kepada siswa, siswi dan para guru untuk mengenali dunia luar. Selain itu, ia juga boleh dianggap sebagai persediaan awal untuk mereka jika ditempatkan di kawasan luar bandar selepas tamat pengajian kelak,” kata Sulaiman.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan pula melahirkan rasa bangga di atas kejayaan program tersebut.

“Kami menaruh kepercayaan yang tinggi kepada IPGM untuk menerapkan elemen integrasi nasional ke dalam program Semaian Kasih Perpaduan ini.

AKTIVITI untuk kanak-kanak seperti pertandingan melukis dan mewarna turut memeriahkan suasana sepanjang program ini berlangsung.

 

“Saya berpendapat semua bakal guru perlu menghayati prinsip Rukun Negara dalam usaha memupuk perpaduan dengan pelbagai kaum dan masyarakat kerana mereka merupakan agen perubahan yang utama,” ujar beliau.

Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, menangkap ikan di laut, aktiviti air dan ceramah mengenai kerjaya guru.

Salah seorang peserta, Muhammad Khairul Ridha Sharifuddin memberitahu, program anak angkat memberi pengalaman dan ruang untuk hidup bersama masyarakat di kampung.

“Saya rasa amat teruja kerana dapat merasai kehidupan nelayan di kampung ini. Bapa angkat saya, Abu Bakar Abd. Aziz yang bekerja sebagai nelayan turut mempunyai sebuah warung makan.

“Sewaktu mengikutnya ke laut untuk menangkap ikan, baru saya sedar kesusahan dan cabaran hidup yang terpaksa mereka lalui. Apabila menikmati hasil tangkapan yang dimasak sendiri oleh keluarga angkat, saya rasa amat bersyukur.

“Pengalaman sebegini amat berharga dan tidak akan saya lupakan sehingga ke akhir hayat,” kata Muhammad Khairul Ridha yang merupakan Naib Yang Dipertua Pelajar 1, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, IPG Kampus Ilmu Khas.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s