Kerajaan Kedah beri sebulan supaya henti kutipan derma – Mukhriz
2013/12/01 – 11:35:02 AMCetakEmel Kawan
Alor Setar: Kerajaan negeri memberi tempoh sebulan kepada sekolah agama atau maahad tahfiz persendirian di Kedah untuk menghentikan semua aktiviti kutipan derma amal berunsurkan eksploitasi yang menggunakan pelajar majoritinya kanak-kanak.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata ini kerana kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan tindakan sedemikian dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menghentikan operasi premis terbabit terutama yang tidak berdaftar.
“Tindakan tegas wajar diambil kerana sudah banyak laporan mengenai aktiviti mengeksploitasi kanak-kanak berkenaan diterima.
“Mereka ini asalnya datang ke maahad tahfiz untuk menuntut ilmu, namun disuruh mengutip derma…jadi kita akan ambil tindakan jika perlu,” katanya.