Elak anak terbabit jenayah – Sinar Harian


Elak anak terbabit jenayah
DR AMINUDIN MANSOR
2 Disember 2013

KEHIDUPAN masa kini penuh cabaran, ibu bapa yang ada anak-anak remaja seharusnya sentiasa memantau kegiatan dan aktiviti anak-anak terutama pada musim sekolah ini, terutama kalangan mereka yang berada di sekolah menengah. Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak remaja, seharusnya sentiasa berasa bimbang dan memantau pembabitan jenayah dalam kalangan anak mereka.

Kajian menunjukkan, anak remaja terutamanya anak lelaki sering terdedah dengan pelbagai jenayah dan salah laku akibat salah pergaulan dan terbabit dengan rakan sebaya yang bermasalah. Ibu bapa juga mestilah sentiasa memantau kegiatan anak-anak di sekolah dan  di luar sekolah agar tidak terbabit dengan jenayah dan kongsi gelap.

Justeru, Ibu bapa mestilah selalu berhubung dengan pihak sekolah bagi memastikan anak mereka tidak ponteng sekolah yang dikatakan menjadi penyumbang terbesar kepada pembabitan jenayah di luar sekolah. Ibu bapa berperanan membanteras apa juga kegiatan jenayah dalam kalangan anak-anak mereka.

Statistik terkini, jumlah kes jenayah membabitkan pelajar sekolah dan remaja di seluruh negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sehingga Jun lalu menunjukkan peningkatan 873 kes atau kenaikan kepada 149 peratus berbanding 335 kes untuk tempoh sama, tahun lalu.

Memetik pendedahan perkara itu, Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman Datuk Wira Ayob Yaakob berkata, ada antara pelajar berkenaan turut terbabit dengan aktiviti kongsi gelap.

Kongsi gelap berkaitan dikatakan menyasarkan pelajar yang kerap ponteng sekolah untuk direkrut sebagai ahli dan kemudiannya terbabit dengan pelbagai aktiviti jenayah seperti mencuri. Hal inilah yang sepatutnya disedari oleh ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah menengah dan anak remaja.

“Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan semua jabatan termasuk Jabatan Pendidikan Negeri untuk menganalisis serta mengenal pasti kecenderungan selain mencari langkah terbaik membasmi pembabitan pelajar dalam kongsi gelap.

“Langkah mendidik dari awal ini amat perlu dalam usaha melahirkan pewaris yang bukan saja maju dari segi fizikal, malah sahsiah serta disiplinnya juga baik,” katanya pada seminar Strategi Pencegahan dan Kawalan Jenayah Yang Berkesan Untuk Guru Penasihat Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah 2013 di Jabatan Pendidikan Johor, baru-baru ini.

Beliau berkata, Op Cantas yang dijalankan sejak 17 Ogos lalu bukan sahaja mengekang aktiviti jenayah, tetapi pada masa sama membantu membanteras pembabitan pelajar sekolah serta remaja dalam kongsi gelap.

“Bagi memastikan usaha mendidik remaja berjaya, kami menetapkan empat teras utama iaitu apa juga yang dijalankan mestilah memberi kesan dan keberhasilan kepada masyarakat, pelaksanaan dilakukan dengan cepat dan fokus, kos efektif serta kelangsungan yang berterusan,” katanya.

Menurutnya, kerjasama ini juga membabitkan semua ahli masyarakat terdiri daripada pemikir profesional hinggalah kepada peringkat Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) untuk menjayakannya. Kerjasama seumpama ini dapat membanteras dari awal unsur jenayah yang boleh mempengaruhi pelajar sekolah.

Di samping itu, ahli masyarakat setempat terutamanya mereka yang tinggal di kawasan sekolah boleh melaporkan kepada pihak sekolah jika terdapat pelajar ponteng dan terbabit dengan unsur-unsur yang boleh menjurus kepada jenayah.

Kajian psikologi mendapati, pengaruh rakan sebaya, dan pelajar yang tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran di sekolah mengambil jalan mudah untuk ponteng sekolah dan kemudian terjebak dengan anasir jenayah, samseng dan kongsi gelap.

Banyak faktor mendorong remaja melakukan kegiatan jenayah dan samseng antaranya terpengaruh dengan kawan, persekitaran yang mendorong ke arah perbuatan jenayah, sikap degil, sombong dan tidak mendengar kata, memandang ringan terhadap hukum dan azab ALLAH. lemah iman, kurang didikan agama, desakan ekonomi seperti kemiskinan. Semua kelemahan ini wajar diatasi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s