Tunas mukmin – Metro


Tunas mukmin

Oleh Nur Lela Zulkipli

Hulu Langat: “Saya sering tertinggal solat lima waktu kerana sibuk dengan tugas seharian dan aktiviti sekolah, namun selepas menghadiri kem motivasi ini, ia menyedarkan saya mengenai pentingnya menjaga solat dan kelebihannya,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Raub, Pahang, Safwan Che Jaafar, 14, yang menyertai Program Smart Quran Motivation Holiday di Kem Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, di sini.

Program sembilan hari bermula 30 November lalu itu turut memberi peluang kepada 50 peserta membabitkan pelbagai latar belakang di seluruh negara untuk mendekatkan diri dengan ilmu agama Islam selepas sibuk mengejar ilmu dunia.

“Pada mulanya saya tidak mahu sertai kem motivasi ini kerana mengenangkan rakan lain yang sedang bergembira ketika cuti sekolah, namun ibu dan ayah mendesak saya mengikutinya.

“Alhamdulillah ibu dan ayah memaksa saya ke sini kerana ilmu yang dicurahkan fasilitator berjaya mengubah pemikiran saya yang hanya mahu bergembira,” katanya selepas majlis penutupan program berkenaan, di sini, semalam.

Bagi Nasreen Aina Mohd Nasir, 13, dia bersyukur berpeluang mempelajari pelbagai kaedah mengambil wuduk dan mandi hadas menggunakan air sungai di kawasan itu.

“Saya tidak pernah tinggal di kampung dan menggunakan air sungai untuk mengambil wuduk dan mandi di sungai, namun kali ini berpeluang melalui semua pengalaman itu bersama rakan baru.

“Kalau boleh saya mahu berada sebulan, di sini, malah berasa seperti tidak cukup untuk menuntut ilmu bersama fasilitator yang melayan kami seperti keluarga sendiri,” katanya yang berasal dari Klang.

Menurut Nasreen Aina lagi, dia tidak sabar untuk mengikuti siri kem motivasi anjuran Al-Islah Training Centre (AIMC) itu walaupun terpaksa pergi ke negeri lain.

Pelatih AIMC, Fakhrul Hikmi Abdul Hamid, 26, berkata, program motivasi berkonsepkan percutian sering mendapat perhatian ibu bapa yang tidak mahu anak mereka menghabiskan cuti sekolah dengan perkara yang tidak berfaedah.

“Pada kem motivasi kali ini, peserta berjaya khatam al-Quran daripada program tadarus yang dijalankan bermula hari pertama selain dapat menikmati cuti persekolahan sambil menuntut ilmu.

“Melalui cara ini, minda pelajar akan sentiasa segar untuk menerima pelajaran baru ketika memulakan penggal baru persekolahan.

“AIMC memberi penekanan dalam bidang ilmu al-Quran dan disiplin yang diajar pakar al-Quran lepasan universiti luar supaya kehidupan peserta selepas ini lebih teratur dan mengambil berat ilmu agama Islam,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa harus meneliti isi kandungan kem motivasi supaya dapat mengubah anak mereka menjadi insan yang lebih baik dan bukannya balik dengan fikiran kosong.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/09

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s