100 Wira Negara diedar di sekolah – Metro


100 Wira Negara diedar di sekolah

Putrajaya: Naskhah buku patriotik memuatkan kisah tokoh veteran negara yang berjasa kepada tanah air bertajuk 100 Wira Negara kini boleh didapati di sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan semalam menerima 6,000 naskhah buku berkenaan yang disumbangkan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman yang menghasilkan buku berkenaan.

Sebagai simbolik penyerahan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima sumbangan terbabit daripada Abdul Aziz dalam satu majlis di sini, semalam.

Buku ‘100 Wira Negara’ yang dilancarkan tahun lalu itu adalah sebagai pengiktirafan kepada wira negara yang berkorban dan menyumbang ke arah kesejahteraan serta kemajuan masyarakat di Malaysia .

Sumbangan itu taja Kumpulan UEM Bhd (UEM) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) untuk diedarkan ke sekolah seluruh negara supaya menjadi iktibar kepada pelajar.

Naskhah buku sama turut diserahkan Abdul Aziz kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

Malah, Timbalan Perdana Menteri juga turut menyaksikan dua penaja buku 100 Wira Negara iaitu UEM yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Izzaddin Idris dan Bank Rakyat, diwakili Pengerusinya, Tan Sri Sabbaruddin Chik, menyerahkan tajaan kepada Khair.

Acara kemudian disusuli sumbangan penajaan kepada MUBARAK untuk penterjemahan buku 100 Wira Negara ke bahasa Inggeris, disampaikan UMP Holdings Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Md Yusoff Taib dan Kumpulan Far East Group, diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Noor Ismahanum Ismail.

Sementara itu, Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, idea penerbitan buku 100 Wira Negara itu tercetus daripada Pertandingan Melukis WIRAku bagi pelajar sekolah rendah di Balai Seni Lukis Negara dan buku itu dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Seri Najib Razak pada 7 Ogos 2009.

Menurutnya, setakat ini buku berkenaan sudah diedar di semua 81 kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) sedia ada.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/11

Nafsu budak hingusan – Metro


Nafsu budak hingusan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kajang: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun layak digelar binatang apabila tergamak merogol guru tadika di Taman Impian, di sini, pagi kelmarin hanya kerana meminati wanita itu dan menaruh perasaan cinta terhadapnya.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila mangsa berusia 26 tahun menghubungi pasangan suami isteri yang juga majikannya sebelum remaja itu berjaya dikesan di sebuah klinik haiwan berhampiran taman itu.
Suspek kemudian ditahan selepas mangsa mengecam wajahnya dan dibawa ke Balai Polis Kajang untuk siasatan lanjut.

 

Sumber berkata, guru terbabit pada mulanya datang ke tadika itu kira-kira jam 7 pagi berseorangan kerana tadika itu tidak dibuka kerana masih bercuti.
“Mangsa pada mulanya menyedari kehadiran remaja itu yang menunggu di luar tadika dan tidak mengesyaki apa-apa dan terus membuka pintu pagar sebelum mahu masuk ke dalam.
“Bagaimanapun, sebaik mangsa membuka pintu tiba-tiba remaja itu terus datang dari belakang dan memeluknya sebelum mengheret mangsa masuk ke dalam tadika itu. Malah, remaja itu memberitahu meminati mangsa dan menaruh perasaan cinta terhadapnya,” katanya.

 

Beliau berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan remaja terbabit cuba melawan, namun gagal sebaliknya remaja itu terus menanggalkan pakaian mangsa sebelum merogolnya.
“Selepas merogol mangsa, remaja terbabit terus melarikan diri. Mangsa yang trauma dengan kejadian itu menghubungi majikannya yang tiba tidak lama kemudian.

 

“Mangsa menceritakan apa yang berlaku sebelum memberikan gambaran mengenai wajah remaja berkenaan kepada majikannya itu,” katanya.
Menurutnya, majikannya kemudian terus keluar mencari remaja itu di kawasan berhampiran sebelum menemuinya berhampiran sebuah klinik haiwan.
“Majikannya itu kemudian membawa remaja itu berjumpa dengan mangsa untuk pengecaman sebelum wanita itu mengesahkan remaja itu yang merogolnya.
“Mereka kemudian membawa remaja itu ke balai polis dan mangsa turut membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/11

‘Usah lupa hak belajar’ – Metro


‘Usah lupa hak belajar’

Oleh Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: “Jangan hendak mengatakan ikut sunah Nabi Muhammad SAW jika niat dan cara hidup kita bukan ke arah itu.”

Demikian luah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan ketika diminta mengulas perkahwinan dalam kalangan remaja yang masih di bangku sekolah.

“Kita tidak seharusnya menafsirkan tanggungjawab itu dalam perkahwinan dan mengelakkan zina, tetapi perlu melihatnya dalam konteks lebih luas.

“Memang dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab untuk memberi pendidikan terutama membabitkan kehidupan berumah tangga kerana mereka mempunyai pengalaman itu.

“Namun, jangan disebab bimbangkan anak memberontak atau lari dari rumah (jika tidak dibenarkan bernikah), ibu bapa atau penjaga terlupa remaja ini berhak mendapat pendidikan pelajaran yang sempurna.

“Ia selaras dengan konteks hala tuju dunia hari ini apabila pelajar remaja mempunyai hak untuk mendapat pendidikan sempurna di sekolah sebagai jaminan masa depan mereka,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan pernikahan pasangan remaja Muhamad Haikal Farith Mohd Shah, 15, dan Nur Hazwani Mohd Kamal, 16, pada Sabtu lalu menjadikan mereka pasangan remaja terbaru yang bernikah di negara ini.

Bagaimanapun, pernikahan mereka mengundang pelbagai pandangan masyarakat sekitar termasuk reaksi negatif terutama selepas kisah kehancuran bahtera perkahwinan sepasang pengantin muda di Kedah yang berusia 13 dan 19 tahun sebelum ini.

Bagi Mohamad Ali, ibu bapa perlu ukur baju di badan sendiri, memandangkan keputusan untuk mengahwinkan remaja tidak boleh disebabkan keadaan fizikal dan kemahuan mereka semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira semua aspek secara menyeluruh.

“Ini termasuk daripada faktor ekonomi anak, kemampuan keluarga, mentaliti serta persekitaran tempat tinggal yang boleh mempengaruhi kehidupan mereka kelak.

“Walaupun secara fizikalnya anak sudah baligh dan boleh berkahwin, ibu bapa masih berperanan penting dalam menentukan keputusan dan hala tuju anak.

“Saya bimbang, jika ibu bapa atau penjaga kerap memenuhi permintaan remaja pada usia terlalu muda ini untuk berkahwin, akhirnya hak untuk mendapatkan pendidikan sempurna itu dinafikan dan akhirnya tercicir dalam pelajaran.

“Selain itu, pendidikan di sekolah menyediakan pendedahan kepada remaja ini untuk belajar membuat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri dan masa depan.

“Baik remaja atau ibu bapa, mereka seharusnya membuat timbal balik dan memikirkan sedalam-dalamnya baik buruk satu keputusan yang bakal diambil.

“Kita tidak perlu mendabik dada tentang anak yang berkahwin muda, sebaliknya sentiasa menerima realiti jika anak sebenarnya belum bersedia sepenuhnya menggalas tanggungjawab sebagai suami atau isteri,” katanya.

Selain itu, Mohamad Ali berkata, ketika inilah fungsi kursus perkahwinan yang perlu dihadiri bagi setiap pasangan ingin berkahwin.

“Persepsi masyarakat menganggap kursus perkahwinan sebagai syarat untuk membolehkan mereka bernikah adalah salah, sebaliknya ia lebih kepada mendidik dan memberi kesedaran kepada pasangan,” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Ada kes – Metro


Ada kes

Oleh Mohd Razlan Salleh

Kota Kinabalu: Seorang bekas pengurus restoran yang menghadapi tuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Februari lalu, diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Seksyen, di sini, semalam.

Hakim Ummu Khatom Abd Samad memerintahkan tertuduh, Riduan Masmud, 40, berbuat demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Riduan didakwa merogol kanak-kanak berusia 12 tahun enam bulan dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan di Inanam, kira-kira jam 10 pagi pada 18 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala tertuduh yang hadir dengan mengenakan kemeja berjalur biru dan berseluar hitam tidak diwakili peguam.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi pertuduhan cuba memberi suapan masing-masing berjumlah RM5,000, RM2,000 dan RM3,000 kepada bapa mangsa sebagai dorongan menarik balik laporan polis dibuat terhadapnya.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Terdahulu, kes berkenaan mendapat liputan meluas media apabila tertuduh yang sudah berkahwin dan memiliki seorang isteri serta empat anak mengahwini mangsa yang masih di bawah umur.

Dalam perbicaraan pada 21 Mei lalu, Riduan mengaku berkahwin dengan mangsa mengikut undang-undang termasuk menyerahkan sijil perkahwinan yang sah kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 16 dan 17 Disember ini untuk tertuduh membela diri.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Gagal capai ranting – Metro


Gagal capai ranting

Oleh Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Khairul Hamizy Ramlee

Marang: “Arus parit terlalu deras selepas hujan dan Muhammad Asyraaf tidak bernasib baik seperti dua rakannya yang sempat mencapai ranting pokok,” kata Zulkifli Mohd Rabi @ Mohd Rudin, bapa kepada Muhammad Asyraaf Zulkifli, 12, yang lemas selepas mandi parit di Kampung Undang Marang, kelmarin.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, anak ketiganya itu dikatakan mengayuh basikal menuju ke parit terletak satu kilometer dari rumah bersama dua rakan berusia sembilan dan 12 tahun.

Menurutnya, air parit melimpah disebabkan hujan berterusan sejak pagi menarik perhatian tiga rakan itu untuk mandi bersama, tetapi tindakan itu menyebabkan mereka dibawa arus deras sebaik memasuki parit itu.

“Ketiga-tiga mereka hilang kawalan dan terus dibawa air parit, tetapi dua rakannya sempat berpaut pada dahan pokok keludup manakala Muhammad Asyraaf pula tenggelam ke dasar.

“Dua rakannya bernasib baik kerana ada penduduk kampung sempat mencapai tangan mereka ketika melalui kawasan parit itu, “ katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Zulkifli, kakitangan Pejabat Perhutanan Terengganu berkata, dia mendapat berita buruk itu daripada ahli keluarga yang menghubunginya.

Menurutnya, dia yang berasa tidak sedap hati bergegas ke lokasi kejadian memastikan keadaan sebelum terkejut melihat jasad anaknya dibawa naik skuad skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Marang dalam keadaan tidak bernyawa.

Katanya, walaupun sedih, tetapi dia dan keluarga reda dengan kejadian itu serta menganggap ketentuan Ilahi.

Guru Muhammad Asyraaf di Sekolah Kebangsaan Undang, Shamsuddin Zakaria, 56, berkata, pemergian arwah satu kehilangan besar kerana Asyraaf seorang murid yang baik dan soleh.

Menurutnya, arwah ketua pengawas berdedikasi dan akan membaca doa harian di sekolahnya pada setiap hari persekolahan.

“Semua guru menyayanginya dan saya pasti suara bacaan doanya akan terus berkumandang walaupun selepas dia tiada,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu tidak dikategorikan sebagai mangsa banjir dan siasatan lanjut masih dijalankan.

 

FotoJENAZAH Muhammad Asyraaf dibawa ke HSNZ, semalam.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Keputusan PMR diumumkan 19 Disember ini – Bernama


Keputusan PMR diumumkan 19 Disember ini

2013/12/12 - 13:52:34 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 akan diumumkan pada 19 Disember ini, demikian menurut Kementerian Pendidikan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, kementerian itu memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi, pada hari yang sama.

“Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888 yang diaktifkan mulai 10 pagi 19 Dis hingga 11.59 malam, 25 Dis,” menurut kenyataan itu.

Seramai 462,940 calon menduduki peperiksaan PMR di 3,530 pusat peperiksaan di seluruh negara tahun ini. – BERNAMA

PELANTIKAN BARU KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA


PELANTIKAN BARU KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

10 December 2013

TAHNIAH

YBhg. Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,
Kementerian Pendidikan Malaysia

Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia berkuatkuasa mulai 8 Disember 2013.

TALIAN E-RAYUAN KEPADA PEMOHON TINGKATAN SATU SBP YANG TIDAK BERJAYA


TALIAN E-RAYUAN KEPADA PEMOHON TINGKATAN SATU SBP YANG TIDAK BERJAYA

10 December 2013

 

Talian e-Rayuan dibuka kepada pemohon Tingkatan Satu (1) Sekolah Berasrama Penuh (SBP 2014) yang tidak berjaya dan ingin mengemukakan rayuan dari 10 hingga 24 Disember 2013.

Sila layari http://apps.moe.gov.my/sbpt1/semakSBP_rayuan/

PERSIDANGAN PEMBANGUNAN ORGANISASI INSTITUSI PENDIDIKAN BLUE OCEAN STRATEGY (BOS) DALAM KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN PENDIDIKAN TAHUN 2013


PERSIDANGAN PEMBANGUNAN ORGANISASI INSTITUSI PENDIDIKAN BLUE OCEAN STRATEGY (BOS) DALAM KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN PENDIDIKAN TAHUN 2013

11 December 2013

Salam 1 Malaysia,

Sukacita dimaklumkan bahawa Institut Aminuddin Baki (IAB) akan mengadakan Persidangan Pembangunan Organisasi Institusi Pendidikan Blue Ocean Strategy (BOS) Dalam Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Tahun 2013 pada ketetapan seperti yang berikut:

            Tarikh        :    15 – 17 Disember 2013

Tempat      :    Auditorium Dato’ RazaliIsmail
Institusi Aminuddin Baki
69000 GENTING HIGHLANDS

Perasmian :    Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia

Untuk makluman semua, persidangan ini merupakan satu platform menguar-uarkan status pelaksanaan inisiatif anjakan kelima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah. Di samping itu, persidangan ini juga diadakan untuk berkongsi pengalaman amalan BOS pemimpin organisasi pendidikan.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi pihak urus setia persidangan iaitu Pn. Hjh. Wan Azmiza bt. Wan Mohamed (wanazmiza@iab.edu.my) di talian 03-61056255/017-8877800 atau En. Mohd Zaidi bin Basir (mohdzaidi@iab.edu.my) di talian 03-61056415/017-5511434.

Sekian, terima kasih.

Institut Aminuddin Baki
Kementerian Pendidikan Malaysia

SEMAKAN TAWARAN KE TINGKATAN 1 & 4 MURID BERKEPERLUAN KHAS 2014


SEMAKAN TAWARAN KE TINGKATAN 1 & 4 MURID BERKEPERLUAN KHAS 2014

11 December 2013
Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Tawaran Ke Tingkatan 1 & 4 Murid Berkeperluan Khas 2014 telah dibuka mulai 11 Disember 2013 sehingga 17 Disember 2013. Sila ke ruangan Aplikasi Berkala di Portal KPM atau klik di sini untuk membuat semakan.