‘Usah lupa hak belajar’ – Metro


‘Usah lupa hak belajar’

Oleh Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: “Jangan hendak mengatakan ikut sunah Nabi Muhammad SAW jika niat dan cara hidup kita bukan ke arah itu.”

Demikian luah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan ketika diminta mengulas perkahwinan dalam kalangan remaja yang masih di bangku sekolah.

“Kita tidak seharusnya menafsirkan tanggungjawab itu dalam perkahwinan dan mengelakkan zina, tetapi perlu melihatnya dalam konteks lebih luas.

“Memang dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab untuk memberi pendidikan terutama membabitkan kehidupan berumah tangga kerana mereka mempunyai pengalaman itu.

“Namun, jangan disebab bimbangkan anak memberontak atau lari dari rumah (jika tidak dibenarkan bernikah), ibu bapa atau penjaga terlupa remaja ini berhak mendapat pendidikan pelajaran yang sempurna.

“Ia selaras dengan konteks hala tuju dunia hari ini apabila pelajar remaja mempunyai hak untuk mendapat pendidikan sempurna di sekolah sebagai jaminan masa depan mereka,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan pernikahan pasangan remaja Muhamad Haikal Farith Mohd Shah, 15, dan Nur Hazwani Mohd Kamal, 16, pada Sabtu lalu menjadikan mereka pasangan remaja terbaru yang bernikah di negara ini.

Bagaimanapun, pernikahan mereka mengundang pelbagai pandangan masyarakat sekitar termasuk reaksi negatif terutama selepas kisah kehancuran bahtera perkahwinan sepasang pengantin muda di Kedah yang berusia 13 dan 19 tahun sebelum ini.

Bagi Mohamad Ali, ibu bapa perlu ukur baju di badan sendiri, memandangkan keputusan untuk mengahwinkan remaja tidak boleh disebabkan keadaan fizikal dan kemahuan mereka semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira semua aspek secara menyeluruh.

“Ini termasuk daripada faktor ekonomi anak, kemampuan keluarga, mentaliti serta persekitaran tempat tinggal yang boleh mempengaruhi kehidupan mereka kelak.

“Walaupun secara fizikalnya anak sudah baligh dan boleh berkahwin, ibu bapa masih berperanan penting dalam menentukan keputusan dan hala tuju anak.

“Saya bimbang, jika ibu bapa atau penjaga kerap memenuhi permintaan remaja pada usia terlalu muda ini untuk berkahwin, akhirnya hak untuk mendapatkan pendidikan sempurna itu dinafikan dan akhirnya tercicir dalam pelajaran.

“Selain itu, pendidikan di sekolah menyediakan pendedahan kepada remaja ini untuk belajar membuat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri dan masa depan.

“Baik remaja atau ibu bapa, mereka seharusnya membuat timbal balik dan memikirkan sedalam-dalamnya baik buruk satu keputusan yang bakal diambil.

“Kita tidak perlu mendabik dada tentang anak yang berkahwin muda, sebaliknya sentiasa menerima realiti jika anak sebenarnya belum bersedia sepenuhnya menggalas tanggungjawab sebagai suami atau isteri,” katanya.

Selain itu, Mohamad Ali berkata, ketika inilah fungsi kursus perkahwinan yang perlu dihadiri bagi setiap pasangan ingin berkahwin.

“Persepsi masyarakat menganggap kursus perkahwinan sebagai syarat untuk membolehkan mereka bernikah adalah salah, sebaliknya ia lebih kepada mendidik dan memberi kesedaran kepada pasangan,” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s