Mayat pelajar lelaki ditemui tergantung – Sinar Harian


Mayat pelajar lelaki ditemui tergantung
ROSALWANI CHE SOH
13 Disember 2013
  • Mayat pelajar lelaki ditemui tergantungMayat mangsa diusung anggota polis untuk dibawa ke hospital.
< 1 / 1 >

KOTA BHARU – Misteri bau busuk dalam tandas asrama di sebuah sekolah di Kok Lanas pagi semalam, terbongkar apabila penyelia asrama terbabit, menemui mayat seorang pelajar dalam keadaan tergantung dengan kain pelekat dalam tandas yang terkunci.

Penyelia terbabit, Zul Atfi Mohamad, 37, berkata, sebagai rutin setiap pagi dia melakukan pemeriksaan bersama pengetua sekolah bagi meninjau setiap keadaan kawasan sekitar sebelum pelajar memulakan kelas al-Quran pada setiap pagi selepas bermulanya cuti sekolah awal Disember lalu.

Menurutnya, hanya apabila sampai di kawasan bilik air di tingkat bawah, dia tercium bau yang amat busuk dan mendapati pintu salah sebuah tandas dalam bilik air asrama terkunci dari dalam.

“Curiga dengan keadaan itu, saya mengambil kerusi yang berada di luar dan cuba memanjatnya bagi meninjau keadaan dari dalam tandas yang terkunci itu.

“Ketika saya memanjat dinding bilik air berdekatan dengan siling tandas, saya mendapati mayat seorang lelaki separuh bogel dengan hanya memakai baju dan jaket manakala lehernya diikat dengan kain pelekat tergantung dalam tandas dan terdapat kesan darah dan najis di lantai bilik air itu,” katanya.

Kata Zul Atfi lagi, sebelum ini sepanjang lima hari bertugas di situ, dia turut melakukan pemeriksaan di seluruh kawasan termasuk di bilik air ini hampir setiap hari bermula Selasa lalu, namun tidak pula tercium bau
busuk.

“Apa pun pihak sekolah menyerahkan kes ini kepada polis untuk tindakan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sehingga ini pihaknya sudah mengenal pasti mayat mangsa dan hasil semakan yang dibuat melalui pengetua sekolah itu, mendapati salah seorang pelajar lelaki yang berusia 16 tahun tidak pulang ke rumah.

“Pihak sekolah telah menghubungi keluarga mangsa dan difahamkan pelajar itu tidak pulang ke kampungnya di Pasir Mas, selepas cuti bermula pada 7 Disember lalu,” katanya.

Berdasarkan pengecaman yang dilakukan oleh kedua-dua ibu bapa mangsa, mereka sudah mengenal pasti dan mengecam pakaian serta cermin mata yang dijumpai di tempat kejadian.

“Dari hasil siasatan terhadap mayatnya, pelajar itu sudah tiga hari berada dalam keadaan demikian. Melalui pengamatan yang dijalankan, kejadian terbabit tiada kaitan dengan unsur jenayah dan kes diklafikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Bahaya topi keledar mainan kanak-kanak – Sinar Harian


Bahaya topi keledar mainan kanak-kanak
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Disember 2013
  • Bahaya topi keledar mainan kanak-kanakShanthini (kanan) menunjukkan contoh topi keledar kanak-kanak yang menepati piawaian. Manakal Abdullah menunjukkan sebahagian daripada topi mainan (kiri) yang kerap digunakan ibu bapa ketika ini.
< 1 / 1 >

BANDA HILIR – Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kecewa dengan sikap sesetengah ibu bapa yang mengabaikan keselamatan anak-anak apabila menggunakan topi keledar mainan ketika membonceng motosikal.

Pengarah JKJR negeri, B. Shanthini berkata, pihaknya mengesan masih ramai ibu bapa menggunakan topi keledar berkenaan ketika pihaknya menyertai operasi bersepadu,  bukannya topi keledar yang menepati piawaian.

Menurutnya, topi berkenaan tidak direka khas untuk kegunaan motosikal, sebaliknya hanya untuk berbasikal atau papan luncur beroda.

“Alasan sering diberi ibu bapa adalah mereka tidak mengetahui terdapat topi keledar untuk kanak-kanak dijual di pasaran, selain tidak mahu menggunakan topi keledar dewasa kerana ia longgar ketika dipakai kanak-kanak.

“Mereka juga lebih suka beli topi mainan ini kerana murah. Tapi, harga sebenarnya sama dengan topi keledar dewasa iaitu antara RM30 hingga RM40 satu,”  katanya pada majlis perjumpaan Pengarah JKJR bersama media di pejabat JKJR negeri, dekat sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKJR negeri, Abdullah Kechut.

Shathini berkata, pihaknya menyediakan tidak kurang 10 topi keledar kanak-kanak setiap kali menyertai operasi bersepadu untuk ditukarkan kepada mereka yang menggunakan topi mainan.

Sementara itu, Shanthini berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri dalam memantau penjualan topi mainan di kedai-kedai motosikal.

Anak-anak yatim dirai penyelam skuba – Kosmo


Anak-anak yatim dirai penyelam skuba

 

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

 

PARA peserta dan kru Program Amal Sukan Air sempat mengabadikan kenangan menyertai program yang julung kali diadakan itu.

 

APABILA tibanya musim perayaan, pelbagai pihak tampil untuk meraikan anak-anak yatim dengan penganjuran majlis makan malam atau berbuka puasa di hotel-hotel terkemuka.

Namun, pendekatan yang diambil oleh sebuah kelab selam skuba, Fun & Fair Divers bagi memberi keriangan kepada golongan ini agak berbeza dan boleh dijadikan contoh buat semua.

Kelab tersebut mengambil pendekatan dengan menganjurkan Program Amal Sukan Air yang berlangsung di Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE), Shah Alam baru-baru ini sekali gus berjaya menyuntik nafas baharu bagi meraikan anak-anak yatim di Malaysia.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah renang, snorkeling dan selam skuba melibatkan penyertaan seramai 54 anak-anak yatim berusia dalam lingkungan 12 bulan hingga 17 tahun dari Pusat Jagaan Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh, Selangor.

Wakil penganjur, Azrul Shah Arshad berkata, pihaknya amat bersyukur dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan daripada kumpulan selam lain seperti Ombak Divers, Scuba Station dan individu perseorangan bagi melancarkan program yang julung kali diadakan itu.

“Biasanya, pihak lain akan datang ke rumah-rumah anak yatim untuk menghulurkan sumbangan atau membawa mereka membeli-belah mahupun makan beramai-ramai.

“Kami di Fun & Fair Divers mahu memberikan satu pengalaman berbeza buat anak-anak yang dikasihi ini. Melalui penganjuran program sebegini, ia secara tidak langsung dapat memupuk minat mereka dalam aktiviti sukan air,” ujar Azrul Shah kepada Kosmo!.

SEORANG kru memeriksa peralatan yang dipakai seorang kanak-kanak sebelum memulakan aktiviti menyelam.

 

Kegembiraan

Seawal pukul 10 pagi, program dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Syed Nasrullah al-Yahya Syed Hamid al-Yahya bagi memohon perlindungan daripada perkara-perkara yang tidak diingini.

Kemudian, para peserta menikmati sarapan pagi sebelum kesemuanya diberi peluang bermain di kolam dan menyertai aktiviti yang telah disediakan.

Apa yang pasti, kegembiraan jelas terpancar pada wajah anak-anak yatim itu apabila dapat menikmati kemudahan kolam renang dan mempelajari teknik selam skuba buat pertama kali dalam hidup mereka.

Menurut Azrul Shah, kanak-kanak tersebut dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan diberikan masa kira-kira 15 minit untuk menyelam.

“Ini membolehkan tenaga pengajar bekerjasama lebih rapat dengan setiap kanak-kanak dan memastikan mereka berasa selesa dengan peralatan menyelam sebelum memulakan aktiviti seperti pernafasan dalam air,” jelasnya.

Selain itu, sementara menunggu giliran untuk menyelam, kanak-kanak lain diajar berenang dan melakukan aktiviti snorkeling.

Gelak ketawa

Sepanjang program berlangsung, suasana begitu meriah dengan dipenuhi gelak tawa para peserta dan kru yang terlibat.

Bagi Mohd. Amirul Faisal, 11, jemputan yang diterima untuk menyertai program amal itu amat dihargai. Dia melahirkan rasa teruja apabila berpeluang melakukan aktiviti sedemikian.

“Saya rasa pihak sekolah perlu menjadikan sukan renang sebagai salah satu subjek dalam mata pelajaran. Ia memang aktiviti yang menyeronokkan,” ujar Mohd. Amirul yang pastinya akan menyimpan kemas pengalaman tersebut.

SEORANG peserta kelihatan gembira kerana berjaya melakukan aktiviti selaman skuba.

 

Sementara itu, wakil Fun & Fair Divers, Nur Jihan Halim, 29, memberitahu, apabila kita melakukan sesuatu untuk masyarakat, perlu sentiasa ada kegembiraan dan kepuasan dalam memberi.

“Saya harap pada masa akan datang, lebih banyak acara amal seperti ini dijalankan oleh pihak yang berkaitan. Ia sememangnya satu acara yang sangat menggembirakan dan tidak dapat dilupakan,” tuturnya.

Acara yang berakhir pada pukul 4 petang itu ditamatkan dengan pengagihan cenderahati berserta sijil penyertaan oleh jurulatih selam skuba, Prof. Azhar Hussin dan Pengarah LS Secret Solutions, Norazleena Yaha.

Fun & Fair Divers merupakan kelab yang diasaskan oleh beberapa penyelam skuba tempatan pada bulan Julai 2012. Setiap ahlinya terdiri daripada individu pelbagai peringkat umur dan semua lapisan masyarakat yang berkongsi minat sama iaitu selam skuba.

Budak perempuan 12 tahun hilang – Kosmo


Budak perempuan 12 tahun hilang

 

NOR ASYIKIN

 

PASIR MAS – Seorang kanak-kanak perempuan yang baru mencecah usia 12 tahun hilang dari rumahnya di Kampung Jerulong, Lemal dekat sini sejak tiga hari lalu.

Bapa tirinya, Zamri Mat Sin, 38, berkata, kehilangan Nor Asyikin Abdullah disedari dia dan isterinya, Norliza Nasir, 36, pukul 12.30 tengah malam Isnin lalu ketika mereka masuk ke bilik tidur anaknya itu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

 

‘Mungkin adik tak balik dah’ – Metro


‘Mungkin adik tak balik dah’

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: “Adik minta maaf, mungkin adik takkan balik dah, tapi adik tetap sayang mak,” itulah pesanan khidmat ringkas (SMS) terakhir dihantar seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sebelum menghilangkan diri sejak Selasa lalu.

Remaja terbabit Nur Emylia Azwa Azimi, 15, hanya disedari hilang oleh ibunya, Mazita Mohd Yusop, 41, ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh di rumah mereka di Parit Lebai Akhir, Bagan Tiang, di sini.

Difahamkan, remaja perempuan itu merajuk selepas ditegur ibunya kerana berbual di telefon dengan kenalan lelaki sehingga jam 4 pagi pada hari kejadian.

Mazita berkata, anaknya itu marah kerana ditegur lalu terus menutup pintu bilik tidurnya.

“Saya sangkakan dia tidur, namun terkejut apabila mendapati dia hilang sebaik bangun menunaikan solat Subuh sekitar jam 6 pagi.

“Saya kemudian segera mencari anak saya itu di rumah ayah yang terletak berhampiran, namun tidak berjaya.

Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Tanjung Piandang selepas gagal menjejakinya sehingga ke petang,” katanya.

Malah, dia turut meminta bantuan kenalannya supaya menghebahkan kehilangan anak gadisnya itu melalui laman sosial di Internet.

“Banyak kali kami cuba menghubungi dan menghantar SMS kepadanya, namun tidak dijawab.

Bagaimanapun, Nur Emylia akhirnya membalas SMS itu dan memberitahu tidak akan balik ke rumah.

“Saya berdoa dia akan pulang segera kerana keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan berikutan terlalu memikirkan keadaannya,” katanya.

Sementara itu, kakak Nur Emylia, Marlisa Azreen, 20, turut berusaha menjejaki adiknya dengan bantuan beberapa rakan karib.

“Saya yakin adik saya masih berada di daerah ini.

FotoMAZITA menunjukkan SMS anaknya.

Sekiranya dia terbaca berita ini, diharap dia segera pulang kerana emak sakit kerana terlalu risau keselamatannya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai adik diminta menghubungi talian 012-4234436 atau melaporkan ke balai polis berhampiran,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

Terpaksa tidur dalam van buruk – Sinar Harian


Terpaksa tidur dalam van buruk
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Disember 2013
  • Terpaksa tidur dalam van burukAzudin sekeluarga terpaksa meredah air bah sedalam satu meter dengan menaiki bot gentian kaca dipinjamkan seorang rakan untuk berpindah ke dalam van buruk yang tersadai di tepi jalan.
< 1 / 1 >

DUNGUN – Seorang nelayan bersama isteri sarat mengandung dan enam anaknya terpaksa meredah air sedalam satu meter bagi menyelamatkan diri selepas bangsal usang didiami mereka ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat, di sini, pagi kelmarin.

Nelayan pantai, Azudin Mat Hassan, 42, tergesa-gesa mencari bantuan apabila bangsal usang didirikannya di tepi parit di sebuah perkampungan berhampiran Jalan Sura Lapangan Terbang itu, tiba-tiba dinaiki air.

Difahamkan, ketika itu isteri, Rabiatul Adawiyah, 32, yang mengandung lapan bulan bersama enam anaknya, Fatin Shahirah, 15; Fatin Noraini, 13; Nurul Shahida, 12; Nurul Alia, 10; Nurul Shuhada, 8 dan Mohd Danish, 5, dalam kesejukan ketika menunggu Azudin keluar mendapatkan bantuan bot untuk memindahkan mereka.

Kesulitan dihadapi Azudin diketahui Sinar Harian selepas dihubungi seorang rakannya yang meminta bantuan.

Permohonan rumah ditolak

Azudin berkata, kejadian tersebut bukan pertama kali, sebaliknya mereka sekeluarga terpaksa berdepan detik cemas seumpama itu setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, walaupun menyedari keselamatan keluarganya terancam setiap kali musim tengkujuh, namun dia tiada pilihan selain terus menjadikan bangsal yang sebahagiannya diperbuat daripada kayu terpakai itu sebagai tempat berteduh.

“Saya pernah memohon untuk mendapatkan bantuan rumah, namun ditolak dengan alasan kami sudah mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Sedangkan hakikatnya, hanya pondok buruk didirikan di tepi parit.

“Saya sedih melihat isteri dan anak-anak dalam kesejukan kerana rumah kami dibasahi hujan. Namun orang miskin macam saya ni bila mengadu, siapa nak dengar? Apatah lagi hendak membantu,” katanya dengan nada hiba.

Azudin kini menanggung keluarganya dengan menangkap ikan di laut menggunakan bot gentian kaca dipinjamkan seorang rakannya.

Difahamkan, dia turut mendapat bantuan melalui koperasi nelayan berupa barang binaan untuk membaiki bangsal usangnya terutama bagi menggantikan atap bocor.

Azudin berkata, jika kesempitan seperti kehabisan beras dan keperluan makanan, rakannya itulah yang sering menghulurkan bantuan atas dasar simpati kerana tidak sanggup melihat anak-anaknya kelaparan.

Bagaimanapun katanya, beban ditanggungnya untuk membeli alatan persekolahan anaknya agak berkurangan sejak dia menerima bantuan JKM berjumlah RM450 sebulan dan sekarang, dia hanya memerlukan rumah lebih selesa untuk dijadikan tempat berlindung.

Terpaksa tidur dalam van sempit

Turut berkongsi kesedihan, anaknya, Nurul Shahida berkata, setiap kali air naik dan hampir menenggelamkan rumah, dia bersama ibu dan adik-adiknya terpaksa meredah hujan lebat untuk menumpang tidur dalam sebuah van buruk yang tersadai di tepi jalan, tidak jauh dari situ.

Menurutnya, walaupun tidak selesa, dia terpaksa menerima hakikat bapanya tidak mampu menyediakan rumah sempurna buat mereka sekeluarga, apatah lagi permohonan bapanya untuk mendapatkan bantuan rumah dinafikan pihak berwajib.

“Saya sedih sebab terpaksa tidur dalam keadaan sejuk dalam van sempit. Ayah sudah mohon bantuan rumah, cuma tak dapat. Jadi, kami terpaksalah tinggal di rumah buruk ini,” katanya.

Shahida yang bakal masuk tingkatan satu berkata, kemiskinan hidup menyebabkan dia terpaksa menjual kuih bagi menyara persekolahannya.

Katanya, setiap hari dia dan adiknya (Nurul Alia) terpaksa mengayuh basikal ulang-alik hampir 10 kilometer untuk menjual kuih dibuat ibunya di bandar Dungun.

“Selepas waktu sekolah, saya kena jual kuih untuk membantu ibu yang tidak bekerja kerana ayah hanya bekerja sebagai nelayan pantai dengan pendapatan tidak menentu.

“Sebelum ini, bangsal usang kami diami ini tidak mempunyai bekalan elektrik. Namun, kini berjaya disalurkan dengan bantuan rakan ayah yang simpati melihat kami tidur berbekalkan lilin,” katanya.

Harap timbang semula permohonan

Bagi Rabiatul Adawiyah pula, dia reda dengan nasib menimpa keluarganya, namun menaruh harapan tinggi agar pihak berwajib dapat mempertimbangkan semula permohonan suaminya untuk mendapatkan bantuan rumah.