Anak-anak yatim dirai penyelam skuba – Kosmo


Anak-anak yatim dirai penyelam skuba

 

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

 

PARA peserta dan kru Program Amal Sukan Air sempat mengabadikan kenangan menyertai program yang julung kali diadakan itu.

 

APABILA tibanya musim perayaan, pelbagai pihak tampil untuk meraikan anak-anak yatim dengan penganjuran majlis makan malam atau berbuka puasa di hotel-hotel terkemuka.

Namun, pendekatan yang diambil oleh sebuah kelab selam skuba, Fun & Fair Divers bagi memberi keriangan kepada golongan ini agak berbeza dan boleh dijadikan contoh buat semua.

Kelab tersebut mengambil pendekatan dengan menganjurkan Program Amal Sukan Air yang berlangsung di Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE), Shah Alam baru-baru ini sekali gus berjaya menyuntik nafas baharu bagi meraikan anak-anak yatim di Malaysia.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah renang, snorkeling dan selam skuba melibatkan penyertaan seramai 54 anak-anak yatim berusia dalam lingkungan 12 bulan hingga 17 tahun dari Pusat Jagaan Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh, Selangor.

Wakil penganjur, Azrul Shah Arshad berkata, pihaknya amat bersyukur dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan daripada kumpulan selam lain seperti Ombak Divers, Scuba Station dan individu perseorangan bagi melancarkan program yang julung kali diadakan itu.

“Biasanya, pihak lain akan datang ke rumah-rumah anak yatim untuk menghulurkan sumbangan atau membawa mereka membeli-belah mahupun makan beramai-ramai.

“Kami di Fun & Fair Divers mahu memberikan satu pengalaman berbeza buat anak-anak yang dikasihi ini. Melalui penganjuran program sebegini, ia secara tidak langsung dapat memupuk minat mereka dalam aktiviti sukan air,” ujar Azrul Shah kepada Kosmo!.

SEORANG kru memeriksa peralatan yang dipakai seorang kanak-kanak sebelum memulakan aktiviti menyelam.

 

Kegembiraan

Seawal pukul 10 pagi, program dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Syed Nasrullah al-Yahya Syed Hamid al-Yahya bagi memohon perlindungan daripada perkara-perkara yang tidak diingini.

Kemudian, para peserta menikmati sarapan pagi sebelum kesemuanya diberi peluang bermain di kolam dan menyertai aktiviti yang telah disediakan.

Apa yang pasti, kegembiraan jelas terpancar pada wajah anak-anak yatim itu apabila dapat menikmati kemudahan kolam renang dan mempelajari teknik selam skuba buat pertama kali dalam hidup mereka.

Menurut Azrul Shah, kanak-kanak tersebut dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan diberikan masa kira-kira 15 minit untuk menyelam.

“Ini membolehkan tenaga pengajar bekerjasama lebih rapat dengan setiap kanak-kanak dan memastikan mereka berasa selesa dengan peralatan menyelam sebelum memulakan aktiviti seperti pernafasan dalam air,” jelasnya.

Selain itu, sementara menunggu giliran untuk menyelam, kanak-kanak lain diajar berenang dan melakukan aktiviti snorkeling.

Gelak ketawa

Sepanjang program berlangsung, suasana begitu meriah dengan dipenuhi gelak tawa para peserta dan kru yang terlibat.

Bagi Mohd. Amirul Faisal, 11, jemputan yang diterima untuk menyertai program amal itu amat dihargai. Dia melahirkan rasa teruja apabila berpeluang melakukan aktiviti sedemikian.

“Saya rasa pihak sekolah perlu menjadikan sukan renang sebagai salah satu subjek dalam mata pelajaran. Ia memang aktiviti yang menyeronokkan,” ujar Mohd. Amirul yang pastinya akan menyimpan kemas pengalaman tersebut.

SEORANG peserta kelihatan gembira kerana berjaya melakukan aktiviti selaman skuba.

 

Sementara itu, wakil Fun & Fair Divers, Nur Jihan Halim, 29, memberitahu, apabila kita melakukan sesuatu untuk masyarakat, perlu sentiasa ada kegembiraan dan kepuasan dalam memberi.

“Saya harap pada masa akan datang, lebih banyak acara amal seperti ini dijalankan oleh pihak yang berkaitan. Ia sememangnya satu acara yang sangat menggembirakan dan tidak dapat dilupakan,” tuturnya.

Acara yang berakhir pada pukul 4 petang itu ditamatkan dengan pengagihan cenderahati berserta sijil penyertaan oleh jurulatih selam skuba, Prof. Azhar Hussin dan Pengarah LS Secret Solutions, Norazleena Yaha.

Fun & Fair Divers merupakan kelab yang diasaskan oleh beberapa penyelam skuba tempatan pada bulan Julai 2012. Setiap ahlinya terdiri daripada individu pelbagai peringkat umur dan semua lapisan masyarakat yang berkongsi minat sama iaitu selam skuba.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s