Terpaksa tidur dalam van buruk – Sinar Harian


Terpaksa tidur dalam van buruk
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Disember 2013
  • Terpaksa tidur dalam van burukAzudin sekeluarga terpaksa meredah air bah sedalam satu meter dengan menaiki bot gentian kaca dipinjamkan seorang rakan untuk berpindah ke dalam van buruk yang tersadai di tepi jalan.
< 1 / 1 >

DUNGUN – Seorang nelayan bersama isteri sarat mengandung dan enam anaknya terpaksa meredah air sedalam satu meter bagi menyelamatkan diri selepas bangsal usang didiami mereka ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat, di sini, pagi kelmarin.

Nelayan pantai, Azudin Mat Hassan, 42, tergesa-gesa mencari bantuan apabila bangsal usang didirikannya di tepi parit di sebuah perkampungan berhampiran Jalan Sura Lapangan Terbang itu, tiba-tiba dinaiki air.

Difahamkan, ketika itu isteri, Rabiatul Adawiyah, 32, yang mengandung lapan bulan bersama enam anaknya, Fatin Shahirah, 15; Fatin Noraini, 13; Nurul Shahida, 12; Nurul Alia, 10; Nurul Shuhada, 8 dan Mohd Danish, 5, dalam kesejukan ketika menunggu Azudin keluar mendapatkan bantuan bot untuk memindahkan mereka.

Kesulitan dihadapi Azudin diketahui Sinar Harian selepas dihubungi seorang rakannya yang meminta bantuan.

Permohonan rumah ditolak

Azudin berkata, kejadian tersebut bukan pertama kali, sebaliknya mereka sekeluarga terpaksa berdepan detik cemas seumpama itu setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, walaupun menyedari keselamatan keluarganya terancam setiap kali musim tengkujuh, namun dia tiada pilihan selain terus menjadikan bangsal yang sebahagiannya diperbuat daripada kayu terpakai itu sebagai tempat berteduh.

“Saya pernah memohon untuk mendapatkan bantuan rumah, namun ditolak dengan alasan kami sudah mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Sedangkan hakikatnya, hanya pondok buruk didirikan di tepi parit.

“Saya sedih melihat isteri dan anak-anak dalam kesejukan kerana rumah kami dibasahi hujan. Namun orang miskin macam saya ni bila mengadu, siapa nak dengar? Apatah lagi hendak membantu,” katanya dengan nada hiba.

Azudin kini menanggung keluarganya dengan menangkap ikan di laut menggunakan bot gentian kaca dipinjamkan seorang rakannya.

Difahamkan, dia turut mendapat bantuan melalui koperasi nelayan berupa barang binaan untuk membaiki bangsal usangnya terutama bagi menggantikan atap bocor.

Azudin berkata, jika kesempitan seperti kehabisan beras dan keperluan makanan, rakannya itulah yang sering menghulurkan bantuan atas dasar simpati kerana tidak sanggup melihat anak-anaknya kelaparan.

Bagaimanapun katanya, beban ditanggungnya untuk membeli alatan persekolahan anaknya agak berkurangan sejak dia menerima bantuan JKM berjumlah RM450 sebulan dan sekarang, dia hanya memerlukan rumah lebih selesa untuk dijadikan tempat berlindung.

Terpaksa tidur dalam van sempit

Turut berkongsi kesedihan, anaknya, Nurul Shahida berkata, setiap kali air naik dan hampir menenggelamkan rumah, dia bersama ibu dan adik-adiknya terpaksa meredah hujan lebat untuk menumpang tidur dalam sebuah van buruk yang tersadai di tepi jalan, tidak jauh dari situ.

Menurutnya, walaupun tidak selesa, dia terpaksa menerima hakikat bapanya tidak mampu menyediakan rumah sempurna buat mereka sekeluarga, apatah lagi permohonan bapanya untuk mendapatkan bantuan rumah dinafikan pihak berwajib.

“Saya sedih sebab terpaksa tidur dalam keadaan sejuk dalam van sempit. Ayah sudah mohon bantuan rumah, cuma tak dapat. Jadi, kami terpaksalah tinggal di rumah buruk ini,” katanya.

Shahida yang bakal masuk tingkatan satu berkata, kemiskinan hidup menyebabkan dia terpaksa menjual kuih bagi menyara persekolahannya.

Katanya, setiap hari dia dan adiknya (Nurul Alia) terpaksa mengayuh basikal ulang-alik hampir 10 kilometer untuk menjual kuih dibuat ibunya di bandar Dungun.

“Selepas waktu sekolah, saya kena jual kuih untuk membantu ibu yang tidak bekerja kerana ayah hanya bekerja sebagai nelayan pantai dengan pendapatan tidak menentu.

“Sebelum ini, bangsal usang kami diami ini tidak mempunyai bekalan elektrik. Namun, kini berjaya disalurkan dengan bantuan rakan ayah yang simpati melihat kami tidur berbekalkan lilin,” katanya.

Harap timbang semula permohonan

Bagi Rabiatul Adawiyah pula, dia reda dengan nasib menimpa keluarganya, namun menaruh harapan tinggi agar pihak berwajib dapat mempertimbangkan semula permohonan suaminya untuk mendapatkan bantuan rumah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s