Tambang bas sekolah: SPAD kena timbang rasa – Sinar Harian


Tambang bas sekolah: SPAD kena timbang rasa
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Disember 2013
  •  Tambang bas sekolah: SPAD kena timbang rasa Gambar hiasan
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi jaminan, kadar caj tambang bas sekolah yang baru akan diumumkan sebelum sesi persekolahan 2014 bermula tidak akan membebankan rakyat.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya masih mengkaji kadar yang sesuai, walaupun berdepan desakan Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia yang mahu kenaikan 40 peratus mulai Januari ini.

“Sebarang kadar kenaikan adalah dalam bidang kuasa SPAD dan pengusaha bas sekolah seharusnya tidak membuat keputusan sendiri tanpa berbincang bersama terlebih dulu,” ujar Syed Hamid dipetik sebuah akhbar.

Terdahulu, di Muar, Johor, mesyuarat Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia sebulat suara meluluskan kenaikan tambang sebanyak 40 peratus mulai Januari ini, dengan mendakwa mereka berdepan kos operasi yang tinggi.

Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata, kadar baru itu diambil kira dengan pelbagai kos termasuk tayar, baik pulih bas, bahan api, pekerja dan servis yang dikenakan terhadap pengusaha bas.

Katanya, usul yang dipersetujui dalam mesyuarat persatuan itu, akan diteruskan jika SPAD tidak mengambil keputusan muktamad mengumumkan sebarang kenaikan tambang yang sepatutnya dilakukan.

Akhbar itu turut memetik reaksi awal Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang berkata, kenaikan tambang yang dituntut pengusaha bas terbabit tidak wajar, malah membebankan lagi ibu bapa, terutama yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah.

“Kami selaku ibu bapa membantah keras dengan kenaikan tambang 40 peratus kerana jumlah itu terlalu tinggi dan tidak wajar berbanding beban yang akan dialami pihak ibu bapa yang menanggung anak bersekolah menaiki pengangkutan terbabit.

“Saya mohon SPAD mengambil tindakan tegas dan sewajarnya jika mereka masih berdegil untuk menaikkan tambang tanpa kelulusan badan itu,” katanya.

Kali terakhir tambang bas sekolah dikaji pada 2009.

Pelajar cuba bunuh diri didakwa – Sinar Harian


Pelajar cuba bunuh diri didakwa
NIK MUHAMMAD RAFFIQ
16 Disember 2013
  • Pelajar cuba bunuh diri didakwaGadis 14 tahun ini kelu seketika selepas mendapati hukuman bakal dikenakan ke atasnya akibat cuba bunuh diri.
< 1 / 1 >

DUNGUN – Akibat tekanan perasaan, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah bantuan penuh kerajaan di daerah ini nekad untuk membunuh diri dengan cuba terjun dari bangunan sekolah.

Natijahnya, dia terpaksa menanggung hukuman yang bakal dikenakan akibat perbuatan di luar kewarasannya itu.

Dia yang difahamkan anak ketiga daripada lima beradik itu bakal berdepan hukuman penjara atau denda.

Tertuduh yang sempat ditemui Sinar Harian selepas pendakwaan dilakukan ke atasnya berkata, dia melakukan perbuatan itu kerana gagal mengawal emosi selepas menghadapi masalah pelajaran dan keluarga.

“Saya menyesal melakukan kesalahan itu. Mungkin apa yang saya lalui ini merupakan pengajaran buat saya. Saya nasihatkan rakan-rakan lain agar tidak melakukan perbuatan ini kerana ia salah di sisi agama dan undang-undang,” luah gadis 14 tahun yang berhadapan dakwaan cuba membunuh diri itu.

Pelajar perempuan terbabit berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Dia yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun pagi semalam didapati melakukan perbuatan itu pada jam 9.10 pagi 6 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pelajar yang berasal dari Kampung Kuala Abang itu bagaimanapun mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hazwanie Hussain Bustari.

Dia dikenakan jaminan sebanyak RM1,500 dan mahkamah menetapkan 24 Disember ini sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

SEMAKAN TAWARAN SEKOLAH KAWALAN NEGERI, KRK, KAA, SMKA DAN SABK AMBILAN JANUARI 2014


SEMAKAN TAWARAN SEKOLAH KAWALAN NEGERI, KRK, KAA, SMKA DAN SABK AMBILAN JANUARI 2014

18 December 2013

Semakan tawaran sekolah kawalan negeri, KRK, KAA, SMKA dan SABK ambilan Januari 2014 akan diumumkanmulai 18 Disember 2013 bermula jam 10.00 pagi melalui alamat sesawang
http://public.moe.gov.my dan semakan SMS dengan menaip MOE<jarak>SKKAWALAN<jarak>Angka Giliran UPSR (contoh : MOE SKKAWALAN ZZ0000001).

‘Tiada orang mahu kahwin orang gemuk’ – Metro


‘Tiada orang mahu kahwin orang gemuk’

Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: “Pelbagai usaha saya dan suami lakukan bagi memastikan dia tidak terus melayan nafsu makan terutama ketika menonton televisyen. Bimbangkan berat badannya yang berlebihan, kami mengambil keputusan berjumpa pakar pemakanan bagi mendapatkan nasihat, selain mengubah aktiviti hariannya dengan mengajak dia melakukan aktiviti sukan,” kata pemilik restoran di ibu negara Elfitrawati Awang, 42, yang mempunyai anak lelaki dengan berat badan berlebihan, Putra Norhafiz Ilias, 7.

Putra Norhafiz memiliki berat mencecah 54 kilogram.

Menurutnya, suaminya Ilias Awang, 48, sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada Putra untuk menurunkan berat badan ketika anaknya itu memasuki usia lima tahun.

Katanya, ketika itu, anak bongsu daripada tiga beradik itu memiliki berat badan mencecah 57 kilogram selepas dipercayai mempunyai selera tinggi terhadap makanan seperti ayam dan burger.

FotoPUTRA Norhafiz mempunyai selera tinggi terhadap makanan seperti ayam dan burger.

“Dengan berat badan menyamai orang dewasa, Putra mengalami gangguan pernafasan terutama ketika tidur. Bimbang dan kasihan dengan keadaannya, kami perlu membantunya supaya dia tidak terus melayan nafsu makan saja menyebabkan kami memaksanya bersukan walaupun pada awalnya dia agak malas.
“Sejak itu, saya nampak perubahan dirinya walaupun selera makannya masih sama. Yang penting dia tidak lagi jadi pemalas dan semakin rajin membantu saya di kedai selain sering mengajak ayah dan adik beradik bermain badminton dan sepak takraw,” katanya.

Elfitrawati berkata, bagi ibu bapa yang mempunyai anak obesiti, mereka tidak sepatutnya membiarkan anak menjadi pasif atau hanya berkurung di rumah dengan memberikan mereka apa saja makanan.

“Pada awalnya memang sukar tetapi kita tidak boleh berputus asa jika mahu melihat anak sihat. Jika tidak, rasanya semakin bertambah berat badan mereka mungkin mendapat pelbagai penyakit kerana pergerakan yang terbatas,” katanya.

Menurutnya, faktor suaminya yang sentiasa bergurau dengan menyatakan ‘tiada orang mahu berkahwin dengan orang gemuk’ menyebabkan murid Sekolah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya itu berusaha menurunkan berat badannya.

“Syukur selepas memasuki sekolah, berat badan Putra susut tiga kilogram. Dia juga aktif bermain bola sepak, badminton dan takraw selain membantu saya di kedai dengan mengambil pesanan pelanggan dan membasuh pinggan mangkuk,” katanya.

Menceritakan bagaimana berat badan anaknya berlebihan, Elfitrawati berkata, ia berlaku selepas doktor menyarankan supaya menukar susu formula ketika anaknya itu berusia tiga tahun.

“Sejak itu selera makannya semakin bertambah tetapi ia semakin menjadi-jadi selepas dia berhenti meminum susu kerana setiap hari hanya mahukan ayam goreng.

“Dia akan menangis atau memberontak jika kami tidak menyediakan ayam dalam hidangannya dan keadaan itu menyebabkan kami buntu dan terpaksa mengikut kemahuannya,” katanya.

Elfitrawati berkata, pada masa kini dia berusaha mengubah menu Putra mengikut nasihat doktor dengan mengurangkan pemberian makanan berlemak dan berasaskan ayam.

Harian Metro pada Rabu lalu melaporkan seorang budak lelaki berusia lima tahun Mohammad Danish Asyraaf mempunyai berat badan melampau iaitu 57 kilogram dipercayai akibat nafsu makan yang kuat hingga menjejaskan kecergasannya selain terpaksa tidur dalam keadaan duduk.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Banjir: Dua sekolah terjejas teruk – Sinar Harian


Banjir: Dua sekolah terjejas teruk
RAIHAM MOHD SANUSI
15 Disember 2013
  • Banjir: Dua sekolah terjejas terukAhmad bersama isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud (kiri) dan Rohani turut membantu membersihkan peralatan SK RKT Felda Seberang Tayor ketika meninjau sekolah itu semalam.
< 1 / 1 >

KEMAMAN – Sekolah harian di dua daerah negeri Pantai Timur iaitu di Kemaman, Terengganu dan Kuantan, Pahang terjejas teruk selepas hampir 100 peratus peralatan sekolah musnah ditenggelami banjir.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Mazlan Mohamad berkata, dua daerah itu adalah yang paling teruk terjejas akibat bencana itu.

“Selain Pahang dan Terengganu, negeri yang turut dilanda banjir adalah Johor, Kelantan dan Melaka. Namun kerosakan peralatan sekolah di daerah-daerah di negeri lain tidaklah sedahsyat di Kuantan dan Kemaman.

“Jadi kelmarin (Jumaat) saya datang ke Kuantan meninjau keadaan sekolah yang terjejas serta berjumpa dengan pihak pengurusan sekolah di sana bagi membincangkan anggaran kerosakan dialami dan hari ini (Sabtu) saya ke Kemaman pula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Felda Seberang Tayor, semalam.

Mengulas lanjut katanya, laporan anggaran ganti rugi dan penambahbaikan sekolah hasil dari lawatan yang dilakukan itu akan disampaikan kepada Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dinilai, agar peruntukan dapat diluluskan.

Mazlan berkata, pihak kementerian menghargai usaha warga sekolah yang bertungkus lumus membersihkan sekolah bersama agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan bomba dan penyelamat dan sukarelawan dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang turut meninjau keadaan sekolah itu berkata, walaupun banjir di daerah ini telah pulih beberapa hari lalu, namun kerja-kerja membersih bangunan kerajaan termasuk sekolah dan rumah terbantut kerana tekanan air rendah.

“Penggunaan air ketika ini melebihi kapasiti yang ada, jadi tekanannya menjadi rendah kerana selepas banjir surut banyak bangunan dan rumah disaluti lumpur,” katanya.

Ditanya mengenai rumah penduduk kampung yang rosak teruk akibat banjir, kata beliau, pihaknya akan membuat bancian mengenainya.

“Sekiranya terdapat rumah roboh atau rosak, kerajaan negeri sedia menimbang untuk menggantikan rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) yang baharu kepada mereka,” katanya yang turut membersihkan sekolah bersama Ahli Dewan Negara, Senator Rohani Abdullah dan Guru Besar SK RKT Felda Seberang Tayor, Nor Azmi Muda.

Dua remaja maut tercampak, motosikal bertembung – Kosmo


Dua remaja maut tercampak, motosikal bertembung

 

KEADAAN motosikal yang terbabit dalam kemalangan dan mengorbankan dua remaja lelaki di Jempol, Negeri Sembilan semalam.

 

JEMPOL – Dua remaja menemui ajal dalam keadaan tragis apabila tercampak selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Bahau-Juasseh di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3.15 pagi itu, Nur Aiman Hakimi Nordin meninggal dunia di tempat kejadian manakala Tan Eng You disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Jempol dekat sini.

Rakan Eng You, Teo Xiong Fu, yang menunggang motosikal berasingan pula dilaporkan parah. Ketiga-tiga mangsa berusia 17 tahun dan menetap di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, nahas dipercayai berlaku apabila Nur Aiman Hakimi yang menunggang Honda EX5 dari arah Bahau cuba memotong motosikal yang ditunggang rakan-rakannya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kerana bapa aku terlupa! – Metro


Kerana bapa aku terlupa!

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: “Saya dan suami terpaksa tinggalkan Mohamad Akashah Samsuddin, 10, seorang diri di rumah jika hendak keluar ke mana-mana kerana dia tidak mempunyai sijil kelahiran kerana bimbang timbul masalah kelak,” kata Jamiliah Sa’ari.

Jamiliah, 43, berkata anak bongsu daripada tiga beradik yang juga orang kelainan upaya (OKU) itu tidak mempunyai sijil kelahiran kerana bapanya, Samsuddin Ahmad, 44, terlupa untuk menghantar borang pendaftaran sijil kelahiran kanak-kanak itu di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah, di sini.
Katanya, masalah itu disebabkan suaminya sering menangguh untuk menghantar borang itu menyebabkan ia tidak dihantar dan bimbang dikenakan denda disebabkan kelewatan itu sekiranya baru memohon sekarang.

 

“Suami hanya bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu, manakala saya pula hanya pembantu kedai makan dengan upah RM20 sehari menyebabkan kami bimbang sekiranya terpaksa membayar ratusan ringgit akibat kelewatan memohon sijil kelahiran anak kami.
“Akibatnya, Mohamad Akashah kini menghabiskan waktu di rumah dan hanya menggunakan buku merah ketika pemeriksaan kandungan untuk ke klinik tetapi saya sudah lama tidak membawanya ke hospital disebabkan masalah sijil kelahiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gunung Keriang, di sini, kelmarin.
Jamiliah berkata, disebabkan itu dia dan suami tidak dapat membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak mempunyai sijil kelahiran.

 

Katanya, mereka kini memikirkan masalah itu dan bimbang anaknya tidak dapat memohon untuk mendapatkan MyKad ketika berusia 12 tahun nanti.
“Disebabkan kesilapan kami sendiri, anak saya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan bimbang apabila Mohamad Akashah besar tidak dapat melakukan sebarang urusan termasuk membuka buku akaun bank dan sebagainya,” katanya.

 

Menurutnya, Mohamad Akashah dilahirkan normal pada 30 Mac 2003 di Hospital Alor Setar (HAS, di sini seberat 4.3 kilogram tetapi mengalami masalah ketika kelahirannya menyebabkan bayi itu lemas dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu sebelum dipindahkan ke wad kanak-kanak selama tiga minggu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Sewaktu berpantang, Mohamad Akashah jarang menangis berbanding bayi lain dan saya menyedari dia mengalami masalah saraf apabila dia lambat meniarap serta tidak mampu mengimbang badannya sendiri, katanya.
“Disebabkan itu, sampai sekarang dia hanya mampu terbaring atas tilam dan meniarap malah berat badannya semakin susut sehingga menyebabkan kedua belah kakinya bengkok,” katanya.
Katanya, dia mempunyai dua lagi anak, Mohamad Akmal, 17, yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Mohamad Aizat, 16, yang masih bersekolah menyebabkan dia sering meninggalkan Mohamad Akashah di rumah seorang diri ketika keluar bekerja.
Katanya, disebabkan kedai makan itu terletak tidak jauh dari rumahnya, dia akan pulang menjenguk keadaan anaknya selain menyuap bubur nasi dan minuman coklat untuk Mohamad Akashah.
“Sebelum ini, saya terpaksa menyuap minuman menggunakan sudu ke dalam mulutnya tetapi sejak akhir-akhir ini dia sudah boleh minum menggunakan botol susu.
“Walaupun kerap makan dan minum, namun berat badannya menurun sehingga membimbangkan kami sekeluarga dan kalau ada sijil kelahiran, bolehlah kami membawanya menjalani rawatan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPN Janisah Mohd Nor berkata, pegawai JPN Kedah sudah ke rumah Jamiliah semalam untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai Mohamad Akashah dan borang permohonan sudah dikemukakan untuk diisi dengan lengkap.
“Untuk makluman, permohonan daftar lewat sememangnya tidak dikenakan sebarang denda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

NUTP mahu bilangan guru kaunselor di sekolah ditambah – Bernama


NUTP mahu bilangan guru kaunselor di sekolah ditambah

2013/12/15 – 14:43:14 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan menjalankan ujian kesihatan mental di kalangan pelajar di samping berharap bilangan guru kaunselor di sekolah ditambah.

Presidennya, Hashim Adnan berkata seiring dengan langkah itu, Kementerian Pelajaran perlu mengisi keperluan guru kaunselor di sekolah-sekolah supaya ia selari dengan usaha membantu para pelajar yang bermasalah.

Pendekatan satu guru kaunselor untuk 500 pelajar yang dilakukan pada masa ini tidak lagi sesuai, dan nisbahnya perlu dikecilkan kepada satu guru kaunselor bagi 300 atau 350 orang murid sahaja, katanya kepada Bernama.

“Nisbah yang kecil ini dapat membantu guru untuk lebih fokus menjalankan tugasan dalam membantu pelajar menangani tekanan mental dan emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam semalam bahawa kementerian itu akan menjalankan ujian kesihatan mental bagi pelajar sekolah menengah dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat mulai tahun depan.

Subramaniam dilaporkan sebagai berkata setakat Disember 2012, daripada 19,919 pelajar dari 357 buah sekolah yang disaring dalam Program Minda Sihat seluruh negara, 7.45 peratus menghadapi kemurungan manakala 7.59 peratus menghadapi tekanan.

Sebelum menjalankan kajian itu, Hashim berkata Kementerian Kesihatan perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada ibu bapa, pelajar dan guru sebelum ia diwajibkan kepada semua pelajar.
“Bagaimanapun ini adalah satu langkah baik kerana ia dapat mengenal pasti pelajar yang berisiko mempunyai masalah kerana bukan semua pelajar terbuka untuk menceritakan masalah yang dihadapi kepada guru kaunselor di sekolah masing-masing,” katanya. – BERNAMA

Permohonan Jawatan Guru Besar / Pengetua disyaratkan mesti telah menghadiri NPQEL/NPQH – NUTP


Permohonan Jawatan Guru Besar / Pengetua disyaratkan mesti telah menghadiri NPQEL/NPQH

Tarikh Berita/News Date: