Kerana bapa aku terlupa! – Metro


Kerana bapa aku terlupa!

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: “Saya dan suami terpaksa tinggalkan Mohamad Akashah Samsuddin, 10, seorang diri di rumah jika hendak keluar ke mana-mana kerana dia tidak mempunyai sijil kelahiran kerana bimbang timbul masalah kelak,” kata Jamiliah Sa’ari.

Jamiliah, 43, berkata anak bongsu daripada tiga beradik yang juga orang kelainan upaya (OKU) itu tidak mempunyai sijil kelahiran kerana bapanya, Samsuddin Ahmad, 44, terlupa untuk menghantar borang pendaftaran sijil kelahiran kanak-kanak itu di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah, di sini.
Katanya, masalah itu disebabkan suaminya sering menangguh untuk menghantar borang itu menyebabkan ia tidak dihantar dan bimbang dikenakan denda disebabkan kelewatan itu sekiranya baru memohon sekarang.

 

“Suami hanya bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu, manakala saya pula hanya pembantu kedai makan dengan upah RM20 sehari menyebabkan kami bimbang sekiranya terpaksa membayar ratusan ringgit akibat kelewatan memohon sijil kelahiran anak kami.
“Akibatnya, Mohamad Akashah kini menghabiskan waktu di rumah dan hanya menggunakan buku merah ketika pemeriksaan kandungan untuk ke klinik tetapi saya sudah lama tidak membawanya ke hospital disebabkan masalah sijil kelahiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gunung Keriang, di sini, kelmarin.
Jamiliah berkata, disebabkan itu dia dan suami tidak dapat membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak mempunyai sijil kelahiran.

 

Katanya, mereka kini memikirkan masalah itu dan bimbang anaknya tidak dapat memohon untuk mendapatkan MyKad ketika berusia 12 tahun nanti.
“Disebabkan kesilapan kami sendiri, anak saya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan bimbang apabila Mohamad Akashah besar tidak dapat melakukan sebarang urusan termasuk membuka buku akaun bank dan sebagainya,” katanya.

 

Menurutnya, Mohamad Akashah dilahirkan normal pada 30 Mac 2003 di Hospital Alor Setar (HAS, di sini seberat 4.3 kilogram tetapi mengalami masalah ketika kelahirannya menyebabkan bayi itu lemas dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu sebelum dipindahkan ke wad kanak-kanak selama tiga minggu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Sewaktu berpantang, Mohamad Akashah jarang menangis berbanding bayi lain dan saya menyedari dia mengalami masalah saraf apabila dia lambat meniarap serta tidak mampu mengimbang badannya sendiri, katanya.
“Disebabkan itu, sampai sekarang dia hanya mampu terbaring atas tilam dan meniarap malah berat badannya semakin susut sehingga menyebabkan kedua belah kakinya bengkok,” katanya.
Katanya, dia mempunyai dua lagi anak, Mohamad Akmal, 17, yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Mohamad Aizat, 16, yang masih bersekolah menyebabkan dia sering meninggalkan Mohamad Akashah di rumah seorang diri ketika keluar bekerja.
Katanya, disebabkan kedai makan itu terletak tidak jauh dari rumahnya, dia akan pulang menjenguk keadaan anaknya selain menyuap bubur nasi dan minuman coklat untuk Mohamad Akashah.
“Sebelum ini, saya terpaksa menyuap minuman menggunakan sudu ke dalam mulutnya tetapi sejak akhir-akhir ini dia sudah boleh minum menggunakan botol susu.
“Walaupun kerap makan dan minum, namun berat badannya menurun sehingga membimbangkan kami sekeluarga dan kalau ada sijil kelahiran, bolehlah kami membawanya menjalani rawatan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPN Janisah Mohd Nor berkata, pegawai JPN Kedah sudah ke rumah Jamiliah semalam untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai Mohamad Akashah dan borang permohonan sudah dikemukakan untuk diisi dengan lengkap.
“Untuk makluman, permohonan daftar lewat sememangnya tidak dikenakan sebarang denda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s