Permohonan BR1M 2014 dibuka dari 23 Disember – Bernama


Permohonan BR1M 2014 dibuka dari 23 Disember
17 Disember 2013
  • LHDN
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 akan dibuka dari Isnin ini sehingga 31 Januari depan, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

“Bagi pemohon baharu pula boleh mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014 secara percuma mulai tarikh tersebut,” kata kenyataan itu.

Borang permohonan BR1M 2014 boleh didapati di pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau dimuat turun melalui laman web LHDN di http://www.hasil.gov.my.

Pembayaran akan dibuat kepada yang layak bermula Februari dan BR1M 2014 dijangka memberi manfaat kepada 5.9 juta isi rumah serta dua juta individu bujang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-2716 yang dibuka mulai 23 Dis ini, dari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Ketika pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala untuk indvidu bujang berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan dinaikkan sebanyak RM50 kepada RM300.

Selain itu caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 akan diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas dan tinggal sebatang kara juga akan menerima kenaikan jumlah bantuan daripada RM500 kepada RM650.  – Bernama

Ujian Kecenderungan Kemasukan Ke MRSM Pada 24 Disember – Bernama


Ujian Kecenderungan Kemasukan Ke MRSM Pada 24 Disember

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menjadualkan semula Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk calon yang terjejas akibat banjir di kawasan Pantai Timur.

Mara dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan ujian dan sesi temu duga itu akan diadakan pada 24 Disember bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang di MRSM Kota Putra, Terengganu (calon program Ulul Albab) dan MSRM Kuantan, Pahang (calon program biasa dan ‘International General Certificate of Secondary Education’).

Calon boleh menghubungi talian 09-6957655 bagi ujian dan sesi temu duga di MRSM Kota Putra dan 09-5681502 bagi MRSM Kuantan. – BERNAMA

PBS dipertingkat, guna Java, HTML 5 – Bernama


PBS dipertingkat, guna Java, HTML 5
17 Disember 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan sedang membangunkan modul Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang baharu menggunakan teknologi Java dan HTML 5 yang lebih cekap dan ringan berbanding teknologi sebelumnya.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu persidangan Dewan Negara hari ini, pendekatan baharu dalam pengurusan kapasiti pemprosesan di pusat data secara ‘on-demand’ itu diambil bagi membolehkan keupayaan pemprosesan ditingkatkan mengikut keperluan.

“Ini akan memastikan pengguna tidak menghadapi isu ‘auto log out’ atau server perlahan dan tidak dapat mencapai aplikasi itu,” katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah mengenai langkah kerajaan untuk menaik taraf PBS di setiap sekolah yang disediakan kemudahan infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT).

Kementerian juga melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam modul PBS baharu dengan menyediakan keupayaan ‘cache’ bagi membolehkan PBS terus beroperasi walaupun secara ‘off-line’.

Selain itu, Idris berkata terdapat beberapa kelemahan dalam penggunaan infrastruktur ICT khususnya keupayaan server komputer bagi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan semak dalam talian.

Beberapa punca dan penyelesaian telah dikenal pasti termasuk isu kapasiti pemprosesan yang telah ditetapkan pusat data, aplikasi SPPBS sedia ada memerlukan keupayaan pemprosesan yang tinggi kesan daripada penggunaan teknologi lama serta jadual kemasukan data yang sangat fleksible menyebabkan pengguna memasukkan data pada penghujung tahun mengakibatkan kesesakan pusat data.

Mengenai usaha mengurangkan beban tugas guru, beliau berkata modul PBS diintegrasikan dalam Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) sebagai ‘single window’ bagi kemasukan data di sekolah.

“Kementerian akan melaksanakan dasar kemasukan data yang sama fleksible tetapi perlu dilaksanakan secara berkala dalam tempoh sama yang lebih singkat bagi mengelakkan kesesakan yang dialami pada penghujung tahun,” katanya.

Idris berkata, sehingga kini, sebanyak 9,898 sekolah mempunyai capaian Internet dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,526 sekolah dirangkaikan dengan perkhidmatan 1BestariNet.

Sebanyak 1,372 sekolah lagi dirangkaikan melalui pelbagai pemberi perkhidmatan seperti Telekom Malaysia, Speedcast dan lain-lain.  – Bernama

Sedia pinjaman perumahan penjawat awam berasaskan harga rumah – CUEPACS – Berita Harian


Sedia pinjaman perumahan penjawat awam berasaskan harga rumah – CUEPACS

2013/12/17 – 11:13:04 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman meminta kerajaan menyediakan pinjaman perumahan penjawat awam berasaskan harga rumah dan bukannya berasaskan gaji sekarang.

Beliau juga meminta kerajaan memberi cuti tanpa rekod kepada penjawat awam untuk menunaikan umrah.

CUEPACS juga meminta elaun perumahan penjawat awam RM180 sebulan dikaji semula.

Selain itu, antara tuntutan badan itu adalah kadar faedah pinjaman perumahan empat peratus dikaji semula.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Konvensyen Tri-Tahunan CEUPACS Ke-26 (Sesi 2013-2016) di Dewan Wawasan, Menara PGRM di sini, sebentar tadi.

PEKELILING PERKHIDMATAN BIL. 38/2013 – Pemberian Subsidi Yuran Pengasuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak Di Tempat Kerja Sektor Awam


PEKELILING PERKHIDMATAN BIL. 38/2013

E-mailCetakPDF

17 DISEMBER 2013

Pemberian Subsidi Yuran Pengasuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak Di Tempat Kerja Sektor Awam

Muat turun: Pekeliling Perkhidmatan Bil. 38/2013

Najib mahu penjawat awam terus julang negara di mata dunia – Bernama


Najib mahu penjawat awam terus julang negara di mata dunia

2013/12/17 – 16:29:15 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu anggota perkhidmatan awam terus bekerja keras menjayakan misi menjadikan Malaysia negara maju dan terus dipandang tinggi oleh pemimpin dunia.

Perdana Menteri berkata, dengan kerjasama 1.4 juta penjawat awam yang mendukung aspirasi itu, beliau yakin Malaysia akan terus berkembang menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi seperti yang dihasratkan.

“Bila saya bersalaman dengan perdana menteri dari negara lain, misalnya Perdana Menteri Jepun (Shinzo Abe) atau Presiden China (Xi Jinping) dan lepas ini Presiden Obama (Presiden Amerika Syarikat Barack Obama) pula nak datang, saya nak mereka melihat dan menghormati Malaysia sebagai negara yang semakin hari semakin menjurus kepada sebuah negara maju yang sama-sama kita boleh banggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ke-26 di sini, hari ini.

Najib berkata, hubungan dan kerjasama baik penjawat awam dan kerajaan perlu diteruskan dengan setiap daripada mereka perlu menjadikan misi itu sebagai komitmen yang perlu didukung, dihayati dan dilaksana untuk kebaikan bersama.

“Mudah-mudahan kerjasama ini akan menjadikan kita sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita tak nak lagi orang perlekehkan kita,” katanya.

Obama yang dijadual ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Keusahawanan Global kali ke-4 pada 11 hingga 12 Oktober lalu terpaksa menangguhkan lawatannya berikutan penutupan operasi sebahagian agensi pentadbiran negara itu.
Najib ketika mengumumkan perkara itu pada 2 Oktober lalu berkata Obama menyatakan beliau tetap komited membuat lawatan ke Malaysia.

– BERNAMA

Anak hilang seminggu – Sinar Harian


Anak hilang seminggu
NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
17 Disember 2013
  • Anak hilang semingguMazita menunjukkan SMS terakhir yang dikirim anaknya.
< 1 / 2 >

IPOH – Selepas seminggu menghilangkan diri, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas ditegur ibunya kini ditemui selamat di rumah rakan teman lelakinya, di sini, kelmarin.

Nur Emylia Azwa Azimi ditemui oleh ibunya, Mazita Mohd Yusof, 41, yang mencari anak keduanya itu di sekitar pekan terbabit kira-kira jam 9 malam.

Bapa saudara remaja terbabit, Mohd Khairi Mohd Yusof, 36, berkata, kakaknya itu telah membuat laporan polis di Balai Tanjung Piandang telah berusaha mencari anaknya itu di sekitar pekan Parit Buntar.

Katanya, mereka bernasib baik apabila menemui rakan anaknya di salah sebuah restoran yang turut membantu menunjukkan rumah yang telah di duduki oleh remaja berkenaan.

“Terkejut apabila anak saudara berada di rumah yang didakwa rakan kepada teman lelakinya. Ketika ditemui, ibu bapa rakan lelaki terbabit tiada di rumah.

“Emylia menyorok dalam selimut di bilik rumah terbabit. Keengganan Emylia pulang ke rumah memaksa ibunya memujuk lebih setengah jam sebelum dia di bawa pulang,” katanya di sini, semalam.

Mohd Khairi berkata, anak saudaranya itu kini selamat dan telah berbaik semula dengan ibunya.

“Nasib baik tidak berlaku apa-apa kejadian yang lebih buruk terhadap dia kerana sepanjang kehilangannya, kakak saya banyak menangis dan tidak berputus asa mencari anaknya itu,” katanya.

Emylia dilaporkan hilang gara-gara kecil hati setelah ditegur ‘bergayut’ melalui telefon pada 10 Disember lalu.

Emylia dikatakan bergayut sehingga jam 4 pagi dengan kenalan yang tidak dikenal pasti kemudian disedari hilang kira-kira jam 6 pagi ketika Mazita bangun untuk menunaikan solat Subuh.

Gadis terbabit turut menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada ibunya yang memaklumkan dia tidak akan pulang ke rumah meskipun menyayangi ibunya.

Berita kehilangan remaja tersebut turut dihebahkan melalui laman sesawang dengan harapan anaknya ditemui semula.

Warga emas ditahan cabul budak lembam – Metro


Warga emas ditahan cabul budak lembam

Kuala Lipis: Tindakan seorang bapa menyuruh anaknya pulang ke rumah sendirian selepas singgah membeli minuman di sebuah warung di sebuah stesen bas di Benta, di sini, membawa padah apabila kanak-kanak itu menjadi mangsa cabul seorang lelaki warga emas, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa berusia 11 tahun yang juga kanak-kanak lembam diselamatkan bapanya berusia 41 tahun yang melihat lelaki warga emas itu sedang memegang tangan serta pinggang mangsa.
Sebelum kejadian, mangsa bersama bapanya menunggang motosikal sebelum berhenti di hadapan sebuah warung kerana mahu membeli minuman untuk kanak-kanak berkenaan.

 

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebaik selesai membayar harga minuman, kanak-kanak terbabit kemudian diarahkan bapanya supaya pulang sendiri ke rumah kerana lelaki itu mahu menyelesaikan urusan lain.
Menurutnya, bagaimanapun lelaki berkenaan berpatah semula selepas berasa tidak sedap hati sebelum menemui mangsa sedang meronta-ronta melepaskan diri daripada genggaman tangan warga emas yang berusia 70 tahun itu.
Katanya, siasatan awal mendapati, warga emas terbabit hanya melepaskan tangan mangsa selepas menyedari kehadiran bapa mangsa dan terus membawa kanak-kanak itu pulang ke rumah.

 

“Sebaik tiba di rumah, mangsa kemudian menceritakan kejadian sebenar kepada bapanya dengan mengatakan lelaki warga emas itu meraba punggung, pinggang selain memegang tangan,” katanya.
“Bapa mangsa yang berasa marah dan tidak berpuas hati dengan perbuatan tidak senonoh warga emas berkenaan kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Benta pada hari yang sama,” katanya.

 

Menurutnya, susulan laporan bapa mangsa, polis berjaya menahan warga emas berkenaan berhampiran dengan sebuah stesen bas di Benta sebelum dibawa ke Balai Polis Benta untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

Sekolah buka macam biasa – Metro


Sekolah buka macam biasa

Kuala Lumpur: Semua sekolah yang terbabit dengan banjir akan memulakan sesi persekolahan tahun depan mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata sehingga kini pihaknya tidak menerima aduan atau permohonan daripada pihak sekolah untuk menangguhkan sesi persekolahan. “Tambahan pula masih ada tempoh selama dua minggu sebelum sekolah dibuka dan kita yakin mereka (pihak sekolah) dapat menyelesaikan serta menyelaraskan masalah yang dihadapi ekoran banjir,” katanya. Idris berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan MYEULINK – Kebolehgajian Siswazah dan Peranan Pendidikan Tinggi – Peluang dan Cabaran Abad Ke-21: Perspektif Malaysia dan Eropah, di sini, semalam. Dua negeri dilanda banjir buruk awal bulan ini iaitu Terengganu dan Pahang.
Turut mengalami banjir ialah Johor dan Kelantan. Sesi persekolahan 2014 bagi Terengganu dan Kelantan akan bermula 1 Januari, manakala Pahang serta Johor pula 2 Januari.

 

Mengulas lanjut, Idris berkata kementeriannya akan menghantar buku teks baru kepada sekolah terlibat secepat mungkin agar sesi pembelajaran tidak terjejas, manakala bantuan peralatan lain boleh diselia oleh pihak sekolah. “Sekolah juga dibenar untuk membuat pesanan secepat mungkin tanpa perlu menunggu kelulusan dan kemudian mereka perlu maklumkan kepada kita (kementerian),” katanya. Mengenai kerugian yang ditanggung akibat bencana itu, Idris berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada sekolah. Mengulas mengenai persidangan itu, Idris berkata secara keseluruhan sebanyak 80 peratus graduan dan 90 peratus penuntut jurusan teknikal di Malaysia mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pelajaran. “Cabaran kita bukan hanya ‘employability’ (kebolehgajian), tetapi bagaimana untuk kita sediakan mahasiswa yang boleh ‘adapt’ (sesuaikan diri), dapat kemahiran dan pendedahan bagi memastikan mereka boleh dapat kerja dalam pelbagai bidang yang semakin wujud dengan perkembangan teknologi yang pesat,” katanya.
Idris juga berkata adalah penting untuk semua institusi pengajian tinggi memastikan tenaga pengajar mereka dilengkapi pengalaman industri supaya mereka tahu situasi sebenar bidang pekerjaan. Sementara itu, Duta dan Ketua Perwakilan Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Luc Vandebon berkata krisis ekonomi di Eropah membuka peluang kepada perubahan dengan memperkenalkan program-program baharu seperti Pakej Pekerjaan Belia.
“Program itu yang dipersetujui pada April, menumpukan kepada peralihan daripada sekolah kepada bidang kerja menerusi skim jaminan belia.

 

“Skim itu menyasarkan belia berusia bawah 25 tahun akan ditawarkan sama ada pekerjaan, latihan atau meneruskan pengajian, dalam tempoh empat bulan mereka menamatkan pengajian atau diberhentikan kerja,” katanya.
Lebih 200 peserta hadir persidangan sehari itu yang menyaksikan pakar akademik dan industri dari Malaysia dan Eropah membincangkan cabaran kebolehgajian siswazah serta merumuskan cadangan untuk menanganinya pada masa depan. – BERNAMA

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

Kebajikan 1.4 juta penjawat awam akan terus dipelihara – Najib – Berita Harian


Kebajikan 1.4 juta penjawat awam akan terus dipelihara – Najib

2013/12/17 – 11:03:49 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berjanji akan terus memelihara dan meningkatkan kebajikan 1.4 juta penjawat awam asalkan hasil negara bertambah.

Sehubungan itu, beliau berjanji meninmbangkan empat cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang dinyatakan Presidennya, Datuk Omar Osman pada Konvensyen Tri-Tahunan CEUPACS Ke-26 di sini, sebentar tadi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan konvensyen itu.