Remaja OKU maut jatuh kolam ketika memancing – Bernama


Remaja OKU maut jatuh kolam ketika memancing
18 Disember 2013

KOTA BHARU – Seorang remaja kelainan upaya (OKU) Mohamed Hilmi Mohamed, 15, maut selepas dipercaayai tergelincir ke dalam sebuah kolam buatan di Kampung Pasir Tok Kambing, Sering di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Demit bersama seorang adik lelakinya sedang memancing ikan di kolam itu kira-kira 300 meter dari rumah mereka.

Adik mangsa, Mohd Hafizullah, 12, berkata setelah abangnya terjatuh, dia cuba mendapatkan bantuan daripada orang ramai.

“Setelah kembali ke kolam bersama dua penduduk kampung, abang saya didapati sudah tidak bernyawa lagi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Hafizullah berkata, mereka keluar memancing tanpa memberitahu anggota keluarga mereka.

Seorang penduduk, Ibrahim Sulaiman berkata beliau sedang menaiki motosikal apabila mendengar jeritan supaya membantu menyelamatkan mangsa.

“Saya terus berhenti dan mengangkat mangsa bersama seorang lagi penduduk kampung tetapi ketika itu mangsa sudah tidak bernyawa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Mayat Mohamed Hilmi dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat.  – Bernama

Pesara guru suami isteri maut nahas – Sinar Harian


Pesara guru suami isteri maut nahas
18 Disember 2013

BALING – Sepasang suami isteri yang merupakan pesara guru, maut setelah motosikal yang mereka naiki terbabit dalam pelanggaran dengan sebuah kenderaan, di jalan utama Kampung Kejai-Kuala Ketil berdekatan Kampung Kuala Bakong di sini hari ini.

Mohd Yusof Lazim, 61, dan isterinya Hamidah Dollah, 58, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari.

Pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Batu Pekaka,Kuala Ketil ketika kejadian berlaku.

Pemandu kenderaan jenis Perodua Alza yang terbabit dalam pelanggaran itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.

Adik mangsa, Mohd Termizi Lazim, 51, yang ditemui di rumah mayat Hospital Daerah Baling berkata ketika kejadian, abang dan kakak iparnya dalam perjalanan pulang dari dusun buah-buahan mereka di Kampung Kejai, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian. – Bernama

Kerajaan Tidak Abai Keperluan Sekolah Luar Bandar Di Sabah – Kamalanathan – Bernama


Kerajaan Tidak Abai Keperluan Sekolah Luar Bandar Di Sabah – Kamalanathan

 

Kamalanathan

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengabaikan keperluan pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di mana-mana sekolah di Sabah, kata Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan.

Beliau berkata kementerian juga menggunakan sebaik-baiknya peruntukan yang disediakan kerajaan, malah setakat ini membelanjakan kira-kira RM168 juta, bagi tujuan penyelenggaraan 521 sekolah di negeri itu.

“Cumanya proses tersebut mengambil masa untuk pastikan pembangunan infrastruktur dapat diperkasakan dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk bagi perhatian serta-merta kepada sekolah yang benar-benar memerlukan,” katanya pada persidangan Dewan Negara Rabu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Dr Lucas Umbul yang ingin tahu langkah kerajaan dalam memenuhi keperluan kemudahan infrastruktur di sekolah-sekolah daif luar bandar di Sabah.

Kamalanathan berkata terdapat 1,285 buah sekolah di seluruh Sabah yang terdiri daripada 700 buah sekolah rendah dan 585 sekolah menengah yang sememangnya sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan dalam pelbagai aspek.

Katanya bagi memastikan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan di sekolah-sekolah terlibat dilaksanakan mengikut jadual, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Sarawak akan diberi kuasa untuk memantau serta menyelaras projek pembangunan sekolah di peringkat negeri masing-masing.

“Setakat ini kerjasama yang kita dapat daripada kerajaan negeri amat baik dan kita dapat perbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kementerian dalam memenuhi setiap keperluan yang diperlukan,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2014 Oktober lepas, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan RM54.6 bilion dan daripada jumlah itu, RM831 juta akan dibelanjakan bagi membina 33 sekolah baharu dan menaik taraf sekolah sedia ada termasuk sekolah usang di seluruh negara. – BERNAMA

Bomoh didakwa cabul pelajar – Sinar Harian


Bomoh didakwa cabul pelajar
WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2013
  • Bomoh didakwa cabul pelajar
< 1 / 1 >

SABAK BERNAM – Mahkamah Majistret Sungai Besar menetapkan 21 Januari depan bagi sebutan semula kes seorang bomoh bergelar ‘ustaz’ yang didakwa atas kesalahan mencabul seorang pelajar tingkatan tiga di rumahnya awal bulan ini.

Keputusan itu diputuskan Majistret, Shah Wira Abdul Halim selepas tertuduh, Fadzil Hasan, 53, memohon satu tarikh lain untuk melantik peguam dalam membantunya membela diri dalam perbicaraan kes tersebut.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan di rumah lelaki itu di No 48 Jalan Melor Taman Pertama Sabak Bernam pada jam kira-kira 11.40 malam 6 Disember lalu.

Tertuduh didakwa dengan sengaja memegang bahagian sulit di tubuh mangsa ketika gadis itu menemani bapanya menjalani rawatan kesihatan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 10 tahun penjara atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada pertuduhan asal.

Kes itu dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Izza Munirah Mansor.

Sinar Harian 8 Disember lalu melaporkan, seorang gadis dicabul seorang bomoh.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu berlaku sewaktu bapa mangsa berusia 46, ingin mendapatkan rawatan tradisional selepas mengadu sakit perut.

Katanya, sebaik bapa mangsa tiba di rumah ustaz itu, lelaki yang turut membawa anak perempuannya berusia 15 tahun itu diarahkan suspek baring dengan keseluruhan badannya ditutup dengan kain dan menutup lampu rumah berkenaan.

“Suspek kemudiannya memberitahu kepada bapa mangsa hantu di dalam badannya itu telah berpindah ke badan anaknya (mangsa) dan menyuruh gadis itu baring di ruang tamu rumah dengan ditutupi kain.

“Suspek kemudiannya mengarahkan bapa mangsa bangun dan duduk di atas kerusi sambil suspek meneruskan rawatan ke atas mangsa kononnya ingin membuang hantu dalam badan gadis berkenaan,” katanya.

Noor Mushar berkata, sebaik saja bapa mangsa duduk di kerusi itu, dia yang kepenatan terlelap kira-kira 20 minit dan apabila tersedar dari tidur, dia terkejut apabila mendapati bomoh terbabit sedang leka meraba badan anaknya.

Berang dengan perlakuan jijik suspek, katanya, bapa mangsa terus mengajak anaknya itu pulang ke rumah.

NGO kecewa KPM tak beri layanan – Sinar Harian


NGO kecewa KPM tak beri layanan
WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2013
  • SPPBSSPPBS
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) kecewa apabila permohonan untuk berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung kepincangan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) tidak dilayan sehingga kini.

Menurut Ketua Gerak Kerjanya, tiada maklum balas diterima terhadap surat permohonan yang dihantar pada 30 November lalu.

“SGMM kecewa kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan tidak memberi respon dengan surat permohonan SGMM bertarikh 30 November 2013.

“Ia untuk mengadakan Mesyuarat Meja Bulat bagi membincang dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah kepincangan sistem PBS,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihaknya tetap bertegas agar sistem  PBS dan SPPBS itu dimansuhkan.

“SGMM tetap bertegas mahu PBS ini dimansuhkan dan diganti dengan sistem peperiksaan yang ditambah baik.

“Kita tidak mahu murid Tingkatan 3 tahun 2014 ini menjadi ‘Tikus Makmal’ diuji dengan sistem kedua tercorot di Asia Tenggara, merujuk kepada keputusan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA),” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan gesaan SGMM yang mahu perbincangan meja bulat dibuat secara terperinci antara kementerian dengan guru-guru bagi menyelesaikan isu ini.

“Saya sudah hantar surat itu melalui e-mel kepada kementerian. Saya mendapat tahu surat itu sudah diterima pihak KPM, cuma tidak ada maklum balas daripada mereka sehingga hari ini (3 Disember).

“Kami sudah bersedia untuk berjumpa dengan pihak KPM sendiri untuk bincang mengenai isu ini. Isu ini sudah dijawab dalam Parlimen tetapi jawapan yang diberi Timbalan Menteri I dan Timbalan Menteri II tidak menjawab kepada persoalan yang diajukan. Mereka hanya menjelaskan teori pelaksanaan PBS itu sendiri,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu, KPM sedang membangunkan modul PBS yang baharu menggunakan teknologi Java dan HTML 5 yang lebih cekap dan ringan berbanding teknologi sebelumnya.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Negara bahawa pendekatan baharu dalam pengurusan kapasiti pemprosesan di pusat data secara ‘on-demand’ itu diambil bagi membolehkan keupayaan pemprosesan ditingkatkan mengikut keperluan.

Kementerian juga melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam modul PBS baharu dengan menyediakan keupayaan ‘cache’ bagi membolehkan PBS terus beroperasi walaupun secara ‘off-line’.

SEMAKAN TAWARAN KE TINGKATAN SATU(1) PROGRAM ASAS PENDIDIKAN (PAV) TAHUN 2014


SEMAKAN TAWARAN KE TINGKATAN SATU(1) PROGRAM ASAS PENDIDIKAN (PAV) TAHUN 2014

18 December 2013

 

Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Tawaran Ke Tingkatan Satu(1) Program Asas Pendidikan (PAV) Tahun 2014 boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia di ruangan (APLIKASI BERKALA) bermula 18 Disember 2013 (Rabu).

Semak di sini http://apps.moe.gov.my/esptv/pav_semaktawaran/

Harap maklum.

PENILAIAN 10% MARKAH KOKURIKULUM SEBAGAI SYARAT KEMASUKAN KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM SESI 2014/2015


PENILAIAN 10% MARKAH KOKURIKULUM SEBAGAI SYARAT KEMASUKAN KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM SESI 2014/2015

18 December 2013

PENILAIAN 10% MARKAH KOKURIKULUM SEBAGAI SYARAT KEMASUKAN KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM SESI 2014/2015

BAGI CALON SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM). SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM) DAN SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA (STAM), TAHUN 2013

 

 

Muat Turun
PENILAIAN 10% MARKAH KOKURIKULUM SEBAGAI SYARAT KEMASUKAN KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM SESI 2014/2015

Tujuh sekeluarga dikurung along – Metro


Tujuh sekeluarga dikurung along

Kuala Lumpur: Akibat bapa berhutang dengan along kerana ketagih judi, tiga anak lelaki berusia 61 tahun itu, seorang menantu dan tiga cucunya yang masih kecil menjadi mangsa apabila along bertindak mengurung mereka dalam rumah dengan merantai besi mengunci pintu rumah di Segambut Muda.

Bapa berkenaan meninggalkan sekeping nota tertera nombor telefon dipercayai milik along serta jumlah hutang RM2,000 yang perlu dibayar sebelum menghilangkan diri bulan lalu, kerana bimbang diburu ceti haram berkenaan.
Isterinya, Chan Ah Lin, 55, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian pada 9 Disember lalu, itu jam 4 petang, selepas mendapat panggilan telefon daripada anak sulung memberitahu mereka sekeluarga diserang sekumpulan along yang datang ke rumah.

 

“Saya bergegas pulang ke rumah dan mendapati mereka tidak dapat keluar kerana pintu utama sudah dikunci daripada luar menggunakan rantai besi. Anak sulung memanjat keluar melalui tingkap dan berusaha membuka kunci mangga menggunakan tukul, namun gagal.
“Jiran yang mendengar bunyi bising ketukan datang ke rumah untuk membantu, namun gagal. Anak sulung saya kemudian ke kedai membeli gergaji untuk memotong rantai besi berkenaan,” katanya yang ditemui di Wisma MCA di sini, semalam.
Menurut Ah Lin, anaknya menyedari mereka sekeluarga dikurung selepas menerima panggilan telefon daripada along memberitahu mereka sudah merantai pintu kerana gagal membayar hutang sejak pertengahan bulan lalu.

 

FotoCHONG (kiri) bersama tiga cucu lelaki terbabit menunjukkan rantai yang digunakan along.

“Setiap kali along datang rumah, kami yang sengsara. Sejak 10 tahun lalu, hampir RM100,000 wang sudah dihabiskan untuk membantu melangsaikan hutang dia (suami) dengan ceti haram, namun hingga sekarang dia masih belum insaf.
“Hingga awal Disember ini, sudah tujuh ceti haram datang ke rumah mencarinya, manakala lebih 10 lagi sering menelefon kami sekeluarga. Kami tidak tahu ke mana dia menghilang kerana sejak aktif berjudi, dia jarang pulang ke rumah,” katanya.

 

Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, hasil rundingan dengan along terbabit, pihaknya berjaya menyelesaikan sebahagian hutang lima daripada tujuh along tanpa mengambil kira sebarang bayaran faedah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18