Kemaruk Internet 19 jam – Metro


Kemaruk Internet 19 jam

Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Laporan ‘Norton Online Family’ mendapati kanak-kanak di negara ini menghabiskan secara purata 19 jam seminggu melayari Internet sedangkan ibu bapa beranggapan anak mereka hanya menggunakan Internet 11 jam sahaja dalam tempoh berkenaan.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail berkata, hasil kajian juga mendapati hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa yang diakses dan dilayari oleh anak mereka.
Malah, kajian juga menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak di negara ini pernah terdedah kepada pengalaman negatif menerusi penggunaan dalam talian. Katanya, senario itu sebenarnya memberikan impak negatif kepada perkembangan emosi kanak-kanak.

 

“Sepatutnya, institusi keluarga yang juga unit asas dalam masyarakat memandang serius perkara ini kerana ia menjadi faktor penentu kepada pembangunan yang mapan, sekali gus dapat memacu negara mencapai Wawasan 2020.
“Bagaimanapun, pada hari ini, institusi keluarga sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran yang dikaitkan dengan permasalahan sosial seperti pembuangan bayi, keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah, jenayah berat seperti bunuh dan jenayah seksual seperti rogol.
“Malah peri laku seksual tidak sihat, kecurian harta benda, jenayah perdagangan serta jenayah siber turut berlaku walaupun pelbagai usaha sudah diambil kerajaan,” katanya ketika berucap pada Seminar Remaja Perkasa, Harapan Bangsa, di sini, semalam. Kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada remaja dan ibu bapa menghadiri seminar berkenaan.

 

Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Wanita dan Suri Penjawat Awam (PUSPANITA) Puan Sri Datuk Rohani Abdullah. Siti Norlasiah berkata, laporan daripada Cyber Security Malaysia yang dikeluarkan Ogos lalu turut menunjukkan sebanyak 5,592 insiden keselamatan siber dilaporkan kepada Cyber999 dari Januari hingga Jun tahun ini.
Menurutnya, daripada analisis data separuh tahun pertama mendapati jenayah penipuan adalah kejadian paling kerap dilaporkan diikuti pencerobohan dan gangguan siber.

 

“Oleh itu, bagi membantu memperkasakan dan melindungi keselamatan ahli keluarga, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaksanakan Program Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita (SEKATA) yang bertujuan mendidik ahli keluarga, masyarakat serta komuniti untuk bekerjasama mengatasi masalah sosial di kawasan setempat.
“Selain SEKATA, Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) juga dibangunkan untuk melahirkan individu berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif serta sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s