Keperitan hidup 9 beranak – Sinar Harian


Keperitan hidup 9 beranak
HAZELEN LIANA KAMARUDDIN
19 Disember 2013
  • Keperitan hidup 9 beranakNoraini hanya mampu berdoa agar anaknya bersabar dengan dugaan hidup yang ditempuhi.
< 1 / 2 >

PASIR MAS – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah keperitan hidup yang dilalui seorang ibu bersama lapan anaknya, yang mendakwa ditinggalkan suami sejak setahun lalu.

Lebih memeritkan lagi Noraini Mohd Noor, 40, yang menghidap angin ahmar sehingga menyebabkan separuh badan sebelah kiri lumpuh terpaksa berhenti kerja.

“Hidup kami ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, namun saya perlu kuatkan semangat dan tabahkan hati demi anak yang masih kecil,” katanya di rumahnya di Taman Perumahan Jintan, di sini.

Menurutnya, disebabkan tidak mampu bergerak, anak tempatnya bergantung untuk melakukan kerja rumah seperti mengemas, memasak, mencuci dan juga membantu menguruskan dirinya.

Noraini berkata, walaupun anak sulung, Wan Amierul Asyraf Wan Jafri, 18, cacat anggota badan tetapi dia sangat aktif dan cekap menjaga adik serta keperluan mereka sekeluarga.

“Dia bersama adiknya yang berumur 16 hingga 4 tahun seolah-olah memahami kesusahan yang saya lalui kerana mereka tidak pernah merungut walaupun tidak dapat hidup selesa seperti kanak-kanak lain.

“Mereka pernah berlapar kerana beras habis dan saya tidak mempunyai wang untuk membeli barang dapur. Ketika itu hanya air paip jadi alas perut kami anak beranak namun anak-anak sedikit pun tidak mengeluh,” katanya.

Menurutnya, bantuan bulanan RM400 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mencukupi kerana dia sendiri memerlukan lampin pakai buang disebabkan tidak dapat bergerak.

Katanya, bakinya pula digunakan untuk membayar bil elektrik dan air serta barangan dapur yang hanya mampu bertahan selama dua minggu sahaja.

“Paling menyedihkan apabila Wan Amierul Asyraf yang turut mendapat bantuan RM150 setiap bulan daripada JKM sanggup memberikan wang itu kepada adiknya yang masih bersekolah untuk membeli makanan dan belanja ke sekolah.

“Sedangkan dia sendiri ke sekolah tanpa duit dan sanggup kelaparan seharian kerana kasihankan saya serta adik-adik,” katanya.

Menurutnya, selain mengalami kesempitan hidup, mereka juga menunggu masa untuk keluar dari rumah milik suaminya itu kerana ia akan dijual tidak lama lagi.

“Kami tidak tahu hendak menumpang hidup di mana selepas ini jika rumah ini dijual,” katanya.

Sementara itu, Wan Amierul Asyraf yang setia menjaga ibunya itu turut memberitahu kerusi roda digunakan sudah uzur.

Walaupun tidak dapat bertutur dengan lancar tetapi dia bersungguh-sungguh menceritakan keadaan kerusi roda yang merupakan ‘kaki’ buatnya untuk bergerak.

Wan Amierul Asyraf juga terpaksa berkerusi roda ke Sekolah Menengah Chekok yang terletak tiga kilometer dari rumahnya.

Kadang-kadang jika bernasib baik, dia ditumpangkan guru atau orang ramai yang terserempak dengannya ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 02300-29-00012721-2 (Wan Amierul Asyraf).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s