Mengupaya JPN, PPD dan sekolah – Sinar Harian


Mengupaya JPN, PPD dan sekolah
CIKGU SIDEK BABA
19 Disember 2013
  • Cikgu Sidek Baba
< 1 / 1 >

SALAH satu cabaran Kementerian Pelajaran dalam melaksanakan dasar, pendekatan dan strategi baharu dalam pendidikan ialah penyelarasan pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan juga pihak sekolah.

Harus ada sinergi yang baik antara pihak kementerian dan agensi di bawahnya supaya proses pelaksanaan berjalan dengan baik dan seimbang.

Sejak dulu lagi, banyak program dibentuk berdasarkan model “satu untuk semua” (one-size-fits-all). Data antarabangsa dan kebangsaan menunjukkan sekolah memerlukan set intervensi berlainan supaya bersesuaian dengan tahap prestasi sekolah yang berbeza-beza.

Setiap sekolah tanpa mengira lokasi, saiz atau jenis akan menyediakan pendidikan yang baik dan holistik kepada murid. Dijangkakan menjelang 2020, tidak ada lagi sekolah berprestasi rendah (Band 6 atau 7) di negara ini, malah lebih banyak sekolah akan diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan berdasarkan prestasi ditunjukkan.

Jumlah bantuan kewangan dan operasi yang diberi kepada setiap sekolah akan bergantung kepada keperluan khusus masing-masing. Pemimpin negeri, daerah dan sekolah akan ada lebih kuasa untuk buat keputusan berkenaan operasi harian dan intervensi khusus mengikut konteks sekolah dan membolehkan pengurusan berasaskan sekolah lebih luas.

Pada masa depan semua sekolah akan bertanggungjawab membuat keputusan operasi tentang peruntukan bajet dan pelaksanaan kurikulum. Sebagai contoh pengetua/guru besar berkuasa penuh dalam pengurusan perbelanjaan geran per kapita dan reka bentuk jadual waktu persekolahan.

Walau bagaimana pun proses ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Dari semasa ke semasa lebih banyak sekolah akan diberikan hak membuat keputusan berdasarkan prestasi ditunjukkan. Peningkatan penekanan terhadap pengurusan berasaskan sekolah ini menuntut akauntabiliti yang lebih tinggi daripada pengetua/guru besar.

Kalau dulu pendekatan “top-down” agak tinggi tetapi pendekatan “bottom-up” dijadikan asas untuk menghasilkan pendidikan berkualiti kerana dijangka pengetua/ guru besar lebih tahu keadaan dan kedudukan sekolah masing-masing.

Akauntabiliti yang diharapkan ialah pengetua. Guru besar memiliki daya pengurusan yang baik, faham akan daerah operasinya dan punya amanah tinggi memastikan proses pembelajaran berlaku secara seimbang dan perubahan kepada natijah akhir pendidikan terjadi.

Peningkatan kualiti prasarana sekolah terutama di Sabah dan Sarawak harus menjadi fokus kerana tanpa prasarana yang kondusif iklim pengajaran dan pembelajaran tidak akan berlaku secara seimbang.

Kementerian akan bangunkan dan melaksanakan prinsip asas yang telus dan saksama dalam pengagihan kewangan dan sokongan lain kepada semua jenis sekolah. Prinsip ini akan diselaraskan dengan aspirasi sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Sebagai contoh kementerian akan mengenal pasti beberapa sekolah yang berdepan cabaran murid berpendapatan rendah dan berkeperluan khusus berbanding sekolah lain. Sejajar dengan prinsip ekuiti, sekolah ini memerlukan peruntukan tambahan bagi membolehkan sokongan perkhidmatan tambahan diberikan.

Pendekatan desentralisasi ini diharap memberi jalan lebih adil dan saksama kerana faktor bandar, pinggir bandar dan luar bandar, terutama Sabah dan Sarawak adalah tidak sama dalam banyak hal. Ketidaksamaan yang membawa jurang pencapaian dan keberhasilan mesti diatasi dengan tekad perancangan yang baik.

Antara keperluan utama dalam strategi desentralisasi ini ialah upaya pemantauan yang berkesan. Pasukan pengurusan di kementerian sentiasa berhubung rapat dengan pihak negeri dan pihak negeri ada hubungan yang sama dengan pihak daerah dan pengetua/guru besar. Tanpa pemantauan dibimbangi keberkesanan memahami situasi  setempat tidak berlaku.

Faktor sosio-geografi dan sosioekonomi amat penting dijadikan fokus supaya keciciran yang terdapat selama ini dapat diperbaiki dengan tekad pendidikan yang tinggi untuk melakukan kesaksamaan dan keadilan kepada semua.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s