Pesanan arwah ayah dorong catat 8A – Bernama


Pesanan arwah ayah dorong catat 8A
19 Disember 2013
  • Pesanan arwah ayah dorong catat 8ADatuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (dua, kiri) melihat keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah (SMKSB) yang cemerlang mendapat 9A selepas Majlis Pengumuman Keputusan PMR 2013 Peringkat Negeri Kedah di sekolah itu di Alor Setar hari ini. – Foto Bernama
< 1 / 1 >

ALOR SETAR – Pesanan terakhir arwah bapanya empat tahun lalu, mendorong Hani Faqihah Mohd Nor untuk mencatat kejayaan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumum hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah (SMKSB) itu yang memperoleh 8A, berkata arwah bapanya Mohd Nor Mat Daud yang meninggal dunia akibat sakit jantung, berpesan agar dia menjadi insan berjaya dan cemerlang dalam pelajaran.

“Saya juga berazam untuk membalas jasa ibu Norhafiza Long, 43, yang bersusah payah menjaga saya selepas kematian bapa empat tahun lalu,” kata anak tunggal itu kepada pemberita selepas Pengumuman Keputusan PMR 2013 di SMKSB hari ini.

Dia yang bercita-cita menjadi guru berkata, ibunya yang bekerja sebagai kerani di Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kota Setar memastikannya tidak terpinggir dalam segala aspek terutamanya pendidikan.

Bagi anak pesawah, A’liah Bakar pula keputusan 9A yang diperolehnya adalah hasil ulang kaji pelajaran secara berkumpulan.

Selain itu restu ibu dan ayah juga amat penting dalam kejayaan saya hari ini, katanya.

Pada majlis tersebut Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hadir menyampaikan keputusan kepada 73 pelajar cemerlang sekolah itu.

Sementara itu di KULIM, kesempitan hidup sebagai ibu tunggal digunakan Badariah Abdul Aziz, 42, sebagai motivasi kepada anak tunggalnya untuk berjaya dalam pelajaran.

Anaknya Nurul Fazira Ilyannie Ramli mencatat keputusan 8A dan muncul antara pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah.

“Kerana hanya memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia menyebabkan saya sering berpindah-randah mencari rezeki untuk menyara hidup dan anak tunggal saya ini setelah berpisah dengan suami 10 tahun lepas,” katanya ketika ditemui selepas mengambil slip keputusan peperiksaan PMR anaknya.

Menurut operator pengeluaran itu, dia tidak mahu jerih payah yang dilaluinya diwarisi anaknya kelak.

Sementara itu, Nurul Fariza Illyanie berkata sikap ibunya yang sering menziarahinya di asrama dan tidak jemu memberi galakan banyak membantu kejayaannya.

Sekolah itu muncul sekolah harian terbaik di Kedah, manakala dari segi keseluruhan pula di tempat ketiga.

Pengetua sekolah Oomi Kalsom Ibrahim berkata, sebanyak 201 daripada 294 calon memperoleh keputusan ‘A’ bagi semua mata pelajaran.

Sekolah ini antara 13 sekolah di Kedah yang mencatat keputusan 100 peratus, katanya.  – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s