PMR: Leteran ibu buah hasil 8A – Bernama


PMR: Leteran ibu buah hasil 8A
19 Disember 2013
  • PMR: Leteran ibu buah hasil 8ASharmine Sahabudin serta ibunya, Jasmine Ting, 49, menunjukkan keputusannya selepas beliau diumumkan sebagai salah seorang daripada 10 pelajar terbaik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina ST. Katolik, Petaling Jaya, hari ini. – Foto Bernama
< 1 / 1 >

PETALING JAYA – Minat mendalam terhadap muzik dari Korea, K-pop menyebabkan calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) Lim Zhe Yi, sering dileteri ibunya kerana banyak menghabiskan masa menonton klip video di laman sosial YouTube.

Leteran itu membuahkan hasil apabila Lim tersenarai antara 155 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Katolik di sini yang memperoleh semua A dalam keputusan PMR yang diumum hari ini.

Keputusan itu nyata mengejutkan ibunya, Nge Mee Lin yang mengaku sudah bersedia jika anak gadisnya pulang dengan keputusan yang tidak memberangsangkan.

“Saya tak sangka kerana kerja dia seharian adalah menonton K-pop. Saya berleter setiap hari dan semakin kuat berleter apabila dia hanya mendapat 1A dalam peperiksaan percubaan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Situasi sama juga dialami Qua Zhao Yee, 15, yang memberitahu Bernama bahawa ibu bapanya sering mengingatkannya untuk mengurangkan masa melayari laman sosial termasuk Facebook dan Twitter.

“Walaupun sering dimarahi, saya tetap melayari Facebook secara curi-curi, cuma tidak sekerap dahulu dan semakin hampir peperiksaan saya jadikan Facebook sebagai tempat untuk mengulang kaji pelajaran.

“Jika saya tidak memahami atau gagal menyelesaikan soalan Matematik, saya akan ‘post’ di Facebook dan rakan yang lain akan membalas serta memberi tunjuk ajar,” katanya yang turut memperoleh 8A.

Seorang lagi calon cemerlang, Lau Chuan Hong, 15, berkata tindakan meninggalkan sukan kegemarannya iaitu badminton dua bulan sebelum PMR bermula demi memberi tumpuan kepada pelajaran, berbaloi dengan keputusan 8A yang diperoleh.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata setiap hari dia menghabiskan sebuah buku latihan dalam pelbagai mata pelajaran, dan menghadiahkan kejayaannya kepada ibu bapanya.

“Ibu Wong Swee Hwa, 49, sering masak sup ayam untuk saya supaya lebih bertenaga semasa mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Bagi pelajar Sharmine Sahabudin, 15, keputusan cemerlang dalam PMR adalah hasil disiplin yang kuat menerusi jadual yang disediakan ibunya Jasmine Ting, 49, yang merupakan guru kelas tambahan.

Jasmine berkata pada hujung minggu, Sharmine diberi masa rehat sebanyak tiga kali daripada mengulang kaji pelajaran iaitu pada waktu makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

Sejak kecil, Sharmine memang diajar untuk belajar secara sistematik, begitu juga dengan adiknya Jordan, 12, yang mendapat 6A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.

Sharmine memberitahu dia tidak merasa tersisih dikelilingi rakan berbangsa Cina kerana bahasa Mandarin merupakan bahasa sehariannya dengan ibu, manakala bahasa Inggeris menjadi medium komunikasi dengan ayah Sahabudin Bachik, 53.

Ng Chin Tze, pula berharap keputusan 8A itu akan membolehkannya menyambung persekolahan di Maktab Tentera Diraja.

“Sejak dahulu saya memang nak mohon masuk tentera, kerana tertarik dengan disiplin yang diamalkan dan disiplin yang kuat membolehkan kita mencapai apa sahaja yang diinginkan,” katanya.   – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s