Nasihat nenek jadi pegangan – Sinar Harian


Nasihat nenek jadi pegangan
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2013
  • Nasihat nenek jadi peganganMohd Shukor (dua, kiri) menunjukkan keputusan kepada Yusof (kanan) sambil diperhatikan Guru Kanan Kemanusiaan SMK Kubang Rotan, Zul Ahmad Tarmizi Hussain (kiri) dan Daharah di kediaman mereka di Kampung Hilir, dekat sini.
< 1 / 1 >

KUALA KEDAH – Meskipun menjalani hidup serba kekurangan dan ayah ibu tiada di sisi namun ia tidak mematahkan semangat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Rotan, dekat sini, untuk memperoleh keputusan terbaik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Lebih menggembirakan, Mohd Shukor Ali, 15, merupakan satu-satunya pelajar yang mencapai keputusan 8A dan menjadi kebanggaan  khususnya nenek dan datuknya, Yusof Arif, 85.

Neneknya, Daharah Jaafar, 80, berkata, cucunya dibesarkan mereka berdua seawal usia beberapa bulan lagi berikutan ketiadaan bapanya manakala ibu pula sudah memulakan kehidupan baru di tempat lain.

“Nenek gembira. Tak sangka, Mohd Shukor akan memperoleh keputusan terbaik. Sedangkan kami bergantung kepada bantuan seperti zakat untuk menyara kehidupan. Buku rujukan digunakannya atas keprihatinan guru sekolah sahaja.

“Suami pula bekas nelayan, manakala nenek pula tidak bekerja. Jadi, kejayaan Mohd Shukor merupakan satu kebanggaan buat kami. Sebab itulah nenek sering menasihatinya rajin belajar untuk mengubah nasib diri,” katanya.

Malah, walaupun cucunya perlu berjalan kaki setiap kali pulang dari sekolah kira-kira 1.5 kilometer (km), keadaan terbabit dilihat tidak pernah mematahkan semangatnya untuk memperoleh keputusan cemerlang.

Mohd Shukor menyifatkan kejayaan diperoleh merupakan hadiah istimewa buat nenek dan datuknya yang sudi menjaga dia selama ini.

“Datuk dan nenek menjaga saya dari kecil. Hanya ini jalan untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Kubang Rotan, Sharif Bahari berkata, sebagai sekolah luar Bandar yang kebanyakan keputusan hanyalah sederhana, dia tidak hanya teruja sebaliknya turut terharu ada pelajar tunggal mencapai keputusan terbaik dalam PMR terakhir ini.

Katanya, keputusan kali ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari 131 pelajar tingkatan tiga yang mengambil PMR berkenaan.

Dalam pada itu, sebagai penghargaan kepada Mohd Shukor yang mengharumkan nama sekolah, dia menerima hadiah istimewa RM500 daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s