Pantau pelajar di rumah kunci kejayaan – Sinar Harian


Pantau pelajar di rumah kunci kejayaan
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2013
  • Pantau pelajar di rumah kunci kejayaanPelajar SMSPP, Nur Nusratina berkongsi kegembiraan meraih 8A dengan keluarganya semalam.
< 1 / 1 >

PASIR PUTEH – Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh (SMSPP) yang mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik bagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah harian dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat negeri Kelantan mendedahkan ‘resipi’ kejayaan tersebut.

Pengetuanya, Wan Jah Wan Yaakub berkata, semangat kerja berpasukan dalam kalangan guru, pemantapan disiplin belajar dalam kalangan pelajar dan pembelaan kebajikan pelajar serta warga pendidik menjadi pemangkin kejayaan yang dicapai sekolah itu pada hari ini.

Katanya, pentadbir termasuk beliau, guru-guru kanan dan guru ketua bidang mengambil pelajar yang mendapat prestasi kurang memuaskan sebagai anak angkat masing-masing untuk diberi pendidikan tambahan di rumah masing-masing,  keseluruhannya di kuarters guru berhampiran asrama pelajar.

“Saya sendiri membawa pelajar pulang ke rumah saya bagi membolehkan saya memantau mereka belajar serta membawa guru tertentu untuk mengajar di rumah. Ternyata ‘sentuhan’ itu berjaya merapatkan jurang dengan pelajar lain.

“Pihak sekolah turut menjemput pakar motivasi dan guru cemerlang dalam mata pelajaran tertentu selain mengadakan program kecemerlangan di luar sekolah semata-mata untuk memberi rangsangan kepada pelajar menguasai ilmu dengan pelbagai pendekatan menyeronokkan,” katanya pada Majlis Penyampaian Keputusan PMR di Dewan Seri Gemilang SMSPP di sini, semalam.

Seramai 89 calon PMR sekolah tersebut meraih 8A, 38 mendapat 7B, tujuh mendapat 6A dan dua mendapat 5A, sementara daripada 136 pelajar perempuan sekolah tersebut, tiada pelajar mendapat C.

“Saya berpuas hati dengan komitmen semua pihak terutama guru-guru sekolah ini yang saling bekerjasama dan bersatu hati dalam memastikan prestasi pelajar SMSPP sentiasa gemilang.

“Kelulusan 100 peratus memberi keupayaan kepada SMSPP mendapat lonjakan capaian GPS kepada 1.06 berbanding 2012 sebanyak 1.11,” katanya.

Sementara itu, seorang anak tukang rumah dari Kampung Bukit Lakota, Jeli, Nur Nusratina Nahsarudin, 15, ketika ditemui bersama keluarganya berkata, dia bangga mendapat 8A sebagai pelajar tunggal dari pedalaman yang mampu bersaing untuk menghadiahkan kecemerlangan PMR kepada ayahnya, Nahsarudin Ibrahim, 40, dan ibunya, Norhayati Alias, 38.

“Ini adalah harapan ayah dan ibu kepada saya sebagai anak sulung daripada lima beradik. Semoga kejayaan ini menjadi ransangan kepada adik-adik saya,” katanya yang berminat menjadi jurutera.

Bapanya, Nahsarudin terharu dengan kejayaan anaknya dan berharap ia dapat mencetus kejayaan adik-adik  Nur Nusratina serta membela nasib keluarga.

“Demi kejayaan anak-anak, saya berusaha sehingga dia dapat masuk ke sekolah ini dan hari ini, dia hadiahkan saya kejayaan cemerlang.

“Ia memberi kekuatan kepada saya untuk terus menunaikan segala keperluan anak-anak demi kejayaan dalam pelajaran,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s