Mimpi dapat A jadi kenyataan – Sinar Harian


Mimpi dapat A jadi kenyataan
ISMANIZA AHMAD
21 Disember 2013
  • Mimpi dapat A jadi kenyataanIntan menerima ciuman daripada neneknya selepas mengambil slip keputusan kelmarin sambil ditemani datuk.
< 1 / 1 >

IPOH – “Tak sangka mimpi mendapat semua A menjadi kenyataan,” kata Intan Nurul Syafiqah Abdullah, 15, yang memperoleh 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), kelmarin.

Intan berkata, sebelum mendapat keputusan tersebut, dia ada bermimpi mengambil keputusan termasuk menghadapi banyak halangan sebelum melihat keputusannya, namun ia menganggap itu hanya mainan tidur.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana ketika peperiksaan saya tidak yakin dapat menjawab soalan matapelajaran Kemahiran Hidup.

“Namun hari ini (kelmarin) saya amat gembira dengan kejayaan yang diperoleh. Alhamdulillah doa emak (panggilan untuk nenek) makbul.

Saya harap kejayaan ini akan memberi kekuatan kepada saya untuk cemerlang bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi,” katanya ketika ditemui di Sekolah Raja Perempuan Taayah, kelmarin.

Menurutnya, ketika di tingkatan satu dia sukar untuk menyesuaikan diri di sekolah berasrama, namun setelah dinasihati neneknya agar tidak melepaskan peluang belajar di sini, dia berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.

Intan yang bercita-cita menjadi saintis tidak akan mensia-siakan kejayaan yang diperoleh dan ingin membalas jasa nenek dan datuk yang menjaganya selama ini.

Sementara itu, neneknya, Zabedah Saad, 64, berkata, dia bersyukur Intan memperoleh 9A dalam PMR, sekali gus mengulangi kejayaannya mendapat 5A pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) empat tahun lalu.

Zabedah berkata, Intan adalah cucu yang dijaganya sejak kecil dan dia sentiasa mendoakan kejayaannya dalam apa juga bidang yang diceburi nanti.

“Walaupun Intan seorang yang pendiam tetapi dia rajin belajar. Saya amat gembira dengan kejayaan yang diperoleh,” katanya.

PMR: Anak petani dapat 9A – Sinar Harian


PMR: Anak petani dapat 9A
HAZELEN LIANA KAMARUDIN
21 Disember 2013
  • PMR: Anak petani dapat 9A Muhammad Amirul berkongsi kejayaannya mendapat 9A dalam PMR dengan ayah tercinta.
< 1 / 1 >

PASIR MAS – Seorang anak petani membuktikan kesusahan hidup bukan halangan untuk dia mencapai kecemerlangan 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan muncul sebagai pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkong.

Muhammad Amirul Hisham Mohamed Sabri, 15, berkata, kejayaannya itu adalah hadiah untuk ayahnya yang banyak mengorbankan masa demi memastikan dia mencapai kecemerlangan tersebut.

“Walaupun ayah sibuk dengan kerjanya bercucuk tanam namun dia tidak pernah membiarkan saya datang dan balik dari sekolah sendiri.

“Setiap hari dia mengambil dan menghantar saya ke sekolah, apabila ada kelas tambahan ayah sanggup menunggu walaupun berjam-jam, berpanas dan berhujan dengan motosikalnya,” katanya ketika ditemui di sekolah.

Turut sama meraikan kejayaan beliau ialah, Pengetua SMK Kangkong, Che Jusoh Ismail dan Penolong Kanan Pentadbiran, Norhayati Zakaria.

Menurutnya yang merupakan anak ketujuh dari 11 beradik itu, kejayaannya itu diharap dapat dijadikan semangat kepada adik-adiknya yang lain untuk turut sama mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Beliau yang mendapat semua A bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam dan Arab turut melahirkan ucapan terima kasih kepada guru-guru serta rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang pembelajaran.

Muhammad Amirul berkata, dengan pencapaian tersebut dia berharap dapat menyambung pengajian tingkatan empatnya di sekolah berasrama penuh sepertimana yang dicita-citakan semenjak awal persekolahan menengah dulu.

Sementara itu, ayahnya, Mohamed Sabri Yok, 56, berkata, kejayaan Muhammad Amirul adalah hadiah untuknya yang sangat bermakna.

“Lebih-lebih lagi dia lah anak pertama dalam keluarga kami yang mendapat 9A dan ia sangat menggembirakan saya dan isteri.

“Terima kasih kepada guru-guru yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada anak saya,” katanya.

Tangan remaja tersepit mesin penghancur rumput – Bernama


Tangan remaja tersepit mesin penghancur rumput
21 Disember 2013

BESUT – Seorang remaja cedera parah apabila tangan kanannya tersepit dalam mesin penghancur rumput di rumahnya di Kampung Gong Kepas dekat Kampung Raja di sini tengah hari tadi.

Mohd Idris Baharuddin, 14, dikatakan sedang menghancurkan rumput untuk makanan lembu peliharaan keluarganya apabila tiba-tiba tangannya termasuk ke dalam mesin berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Raja, Hasmadi Jusoh berkata pihaknya yang menerima panggilan mengenai kejadian itu menghantar lima anggota untuk memberi pertolongan kepada mangsa.

“Tangan kanan mangsa mengalami kecederaan agak serius hingga ke paras pergelangan tangan. Kita keluarkan tangan mangsa daripada mesin dengan bantuan beberapa penduduk,” katanya kepada Bernama.

Mohd Idris kemudiannya dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilapor stabil. – Bernama

PMR: 3,714 pelajar MRSM dapat semua ‘A’ – Bernama


PMR: 3,714 pelajar MRSM dapat semua ‘A’
21 Disember 2013

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,714 pelajar atau 61.71 peratus daripada 6,018 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat gred ‘A’ dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Ibrahim Ahmad berkata jumlah itu melebihi pencapaian tahun lepas iaitu 56.39 peratus.

“Pencapaian MRSM juga meningkat dalam subjek kritikal iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Bagi subjek Sains ia meningkat 92.64 peratus iaitu peningkatan 2.63 peratus berbanding 2012.

“Matematik pula 97.42 peratus iaitu perbezaan 1.22 peratus berbanding tahun lepas dan Bahasa Inggeris meningkat 1.22 peratus kepada 97.42 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau prestasi MRSM juga bertambah baik berbanding pencapaian tahun lepas iaitu Gred Purata Maktab (GPM) 1.1094 kepada 1.0910, peningkatan 0.0184.

“Kejayaan cemerlang yang dicapai dalam PMR 2013 menjadi ukuran kejituan usaha berterusan semua pihak sama ada pendidik, ibu bapa mahu pun pentadbiran MRSM demi memastikan kemantapan sistem pendidikan di maktab ini terus kekal cemerlang,” katanya. – Bernama

Anak mati lepas dapat rawatan – Sinar Harian


Anak mati lepas dapat rawatan
MOHD TAHA YAACOB
21 Disember 2013
  • Anak mati lepas dapat rawatanMuhamad Sardi dan Fadilah menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kes kematian anaknya. Gambar Kecil: Allahyarham Ulya Insyirah
< 1 / 1 >

JERTIH – Pasangan guru bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah pusat kesihatan dekat sini, kerana mendakwa kecuaian kakitangannya sehingga menyebabkan anak perempuan mereka meninggal dunia pada 6 Disember lalu.

Muhamad Sardi Saad, 37 dan isterinya Fadilah Ab Wahab, 43, dari Alor Lintang sedang mendapatkan khidmat guaman untuk membawa kes berkenaan ke muka pengadilan bagi mendapat pembelaan.

Pasangan terbabit kecewa kerana mendakwa layanan diterima ketika membawa anak mereka mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berkenaan pada 5 Disember lalu amat tidak memuaskan.

Menurut Muhamad, dia membawa anak perempuannya, Ulya Insyirah, 4 tahun dua bulan ke sana pada tarikh berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas anak bongsu daripada tiga beradik itu muntah-muntah kira-kira jam 3 pagi hari sama.

Rawatan diberi tak memuaskan hati

Dakwanya, setiba di unit kecemasan kira-kira jam 9.40 pagi, doktor bertugas mengarahkan supaya anaknya berdiri di atas alat penimbang kemudian dibaringkan di atas katil pesakit.

Mereka tidak berpuas hati kerana mendakwa doktor tidak membuat pemeriksaan sebagaimana lazim, termasuk memeriksa tekanan darah dan denyutan nadi, sebaliknya terus memasukkan air.

Dakwanya lagi, dua doktor bertugas dibantu seorang jururawat cuba memasukkan jarum di tangan anaknya untuk mencari urat darah tetapi tidak berjaya.

“Selepas lebih tiga jam berada di unit kecemasan, Ulya Insyirah kemudian dimasukkan ke wad di pusat kesihatan berkenaan. Pada peringkat awal dimasukkan air, keadaan anak saya kembali aktif dan dapat makan.

“Bagaimanapun selepas Maghrib hari sama, isteri saya lihat keadaan anak saya menunjukkan perubahan luar biasa apabila kaki dan tangannya kelihatan bengkak (sembab).

“Kami bertambah kecewa dengan jawapan seorang doktor dan jururawat yang datang membuat pemeriksaan harian apabila menjawab tidak tahu punca bengkak,” katanya.

Terlebih dimasukkan air

Muhamad berkata, dia memberitahu pihak pusat kesihatan kemungkinan anaknya terlebih dimasukkan air kerana diberi air secara berterusan walaupun keadaannya sudah pulih.

“Akhirnya pihak pusat kesihatan membuat ujian Sinar X (x-ray) dan terbukti diakui terdapat sedikit lebihan air, sehingga memasuki paru-paru anak saya,” katanya.

Menurutnya, pada malam itu keadaan anaknya semakin lemah dan menjadi kritikal apabila pernafasannya tidak normal.

Dakwanya, kelemahan pihak pusat kesihatan juga jelas ketika anaknya semakin teruk pelbagai masalah timbul di dalam wad, seperti ketiadaan soket elektrik berhampiran katil, selain kakitangan di situ terpaksa mencari di merata tempat tabung oksigen kerana kehabisan oksigen menyebabkan kelewatan bantuan diberi kepada anaknya.

Akhirnya setelah keadaan Ulya Insyirah bertambah serius, dia dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hanya kira-kira jam 5.30 pagi, 6 Disember.

Kata Muhamad Sardi, sebaik tiba di HSNZ, pada jam 6.50 pagi anaknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (INCU) namun, pada jam 8.05 pagi anaknya disahkan meninggal dunia oleh doktor.

Buat laporan polis

Berikutan rasa tidak puas hati terhadap cara pihak pusat kesihatan memberi rawatan terhadap anaknya, Muhamad Sardi kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kampung Raja, pada 12 Disember.

“Kami sebenarnya akur dan reda dengan kematian Ulya Insyirah kerana itu kehendak ALLAH. Namun, rasa sedih dan kecewa dengan cara kakitangan pusat kesihatan membuat pemeriksaan dan merawat mangsa menyebabkan saya terpaksa bawa perkara ini ke atas,” katanya.

Menurutnya, paling penting, kes seumpama ini diharap tidak akan berulang dan menimpa pesakit lain yang mendapatkan rawatan di pusat kesihatan itu.

Kes dalam siasatan

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

Katanya, walaupun tidak menerima laporan sekalipun pihaknya tetap akan menjalankan siasatan kerana sememangnya prosedur kementerian yang menetapkan satu siasatan dilakukan sekiranya berlaku kematian membabitkan
kanak-kanak di bawah umur lima tahun di pusat kesihatan.

“Siasatan kes ini diketuai oleh seorang doktor pakar kanak-kanak dari HSNZ bersama pasukannya dan sedang menyiasat dari pelbagai sudut termasuk menilai pihak pusat kesihatan itu mahupun HSNZ mematuhi Prosedur
Operasi Standard (SOP).

Kata beliau, siasatan dilakukan secara telus tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Pelajar mangsa kebakaran dibantu – Sinar Harian


Pelajar mangsa kebakaran dibantu
21 Disember 2013

TAWAU – Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mary Yap Kain Chin memberi jaminan akan membantu pelajar sekolah yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya di sini, Selasa lepas.

Beliau berkata bantuan itu akan diserahkan selepas mendapat laporan terperinci daripada pihak berkenaan.

“Kita akan beri bantuan keperluan sekolah berikutan sekolah akan dibuka awal tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan dan keperluan harian kepada 198 keluarga mangsa kebakaran itu di sini, malam tadi.

Yap yang juga Anggota Parlimen Tawau berkata perbincangan akan turut diadakan dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengkaji semula penempatan mangsa yang terlibat.

Kebakaran di Kampung Kurnia Jaya pada Selasa lepas itu memusnahkan kira-kira 80 buah rumah papan. – Bernama

Tanya ayah alam barzakh petanda anak pergi – Sinar Harian


Tanya ayah alam barzakh petanda anak pergi
SYAIRAH ABDUL LAJIS
21 Disember 2013
  • Tanya ayah alam barzakh petanda anak pergiHusny ditenangkan ahli keluarga di bilik mayat HTAN semalam
< 1 / 2 >

KUALA PILAH – “Masih terngiang-ngiang di telinga saya,  sewaktu arwah Nur Khalilatul bertanyakan soalan tentang alam barzakh ketika kami sedang menonton televisyen bersama.

“Saya sungguh tak sangka soalan itu sebenarnya petanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya”, kata bapa mangsa, Husny Zaim Ibrahim, 39.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang kelmarin, Nur Khalilatul Sofiah, 14, maut di tempat kejadian apabila kereta dipandu Husny terbabas di Kilometer 8, Jalan Kuala Pilah-Kampung Sungkak, di sini.

Husny bersama isteri, Nur Selawati Ahmad, 39, dan tiga anaknya dalam perjalanan dari rumah mereka di Feldajaya Selatan, Jempol ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bagi menziarahi saudara.

Dia memandu dengan berhati-hati sewaktu melalui Jalan Sungkak, kerana hari semakin gelap bimbang binatang ternakan berkeliaran di jalan berkenaan.

Namun, setibanya di lokasi kejadian, kereta jenis Honda yang dipandunya hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali.

“Saya tak tahu apa yang berlaku. Seingat saya, sewaktu mengawal stereng, tiba-tiba kereta terbabas ke kiri jalan, lalu rempuh tiang lampu.

“Kemudian merempuh sebatang pokok kelapa sawit sehingga menyebabkan kereta saya remuk,” katanya.

Husny berkata, kejadian itu berlaku begitu pantas dan selepas menyedari mereka terlibat dalam kemalangan, dia dan isteri mencari anak-anak.

“Saya dan isteri bergegas keluar selamatkan anak-anak. Pintu belakang kereta remuk dan saya cuba pecahkan pintu sebelah kiri.

“Saya lihat arwah mengalami kecederaan serius di bahagian kepala. Manakala dua lagi, Nur Syuhadatul Husna, 16, dan Muhammad Abrar Hakimi, 9, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang melihat kejadian itu menghantar mangsa sekeluarga ke HTAN.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 8, Jalan Kuala Pilah-Kampung Sungkak jam 6.50 petang kelmarin.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord dalam perjalanan dari arah Sungkak ke Kuala Pilah terbabas dan melanggar tiang lampu di bahu jalan kemudiannya terbabas ke dalam kebun kelapa sawit.

“Namun, kira-kira jam 7.40 malam, pihak kami menerima panggilan HTAN memberitahu seorang penumpang perempuan berusia 14  meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

‘Anak Orang Asli boleh berjaya’ – Sinar Harian


‘Anak Orang Asli boleh berjaya’
NOR AZURA MD AMIN
21 Disember 2013
  • 'Anak Orang Asli boleh berjaya'Abdul Ghani bersama ibu bapanya menunjukkan sijil pelajar cemerlang PMR bagi calon masyarakat Orang Asli yang diterima
< 1 / 1 >

PONTIAN – Dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai bilangan adik-beradik ramai tidak menghalang anak nelayan muncul sebagai pelajar cemerlang Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi calon masyarakat
Orang Asli peringkat negeri Johor.

Abdul Ghani Nordin, anak bongsu dari 10 beradik memperoleh keputusan 7A 1B pada PMR yang diumumkan kelmarin.

Dia menyifatkan kejayaannya itu sangat bermakna dan merupakan hadiah kepada kedua ibu bapanya.

Pelajar Sekolah Menengah Sri Perhentian ini juga berazam untuk mengubah pandangan orang ramai tentang masyarakat Orang Asli yang bekerja sebagai nelayan di sini.

“Saya ingin berjaya dalam pelajaran untuk mengejar cita-cita menjadi jurutera, saya mahu buktikan anak orang Asli boleh berjaya,” katanya.

Katanya, kehidupan serba kekurangan yang diharungi menjadikan dia lebih tabah dan matang dalam membahagikan masa untuk belajar dan membantu ayahnya, Nordin Ismail, 60.

“Bagi saya, merekalah pendorong utama untuk saya berjaya dalam pelajaran dan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.

“Jika mempunyai masa terluang, saya akan membantu mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Dahlan, semalam.

Menurutnya, dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam bilik darjah dan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam di rumah.

“Saya tidak sangka dianugerahkan pelajar cemerlang PMR bagi calon masyarakat Orang Asli, kejayaan ini memberi semangat untuk berjaya pada peperiksaan SPM kelak,” katanya.

Dua lagi lelaki Pakistan ditahan – Metro


Dua lagi lelaki Pakistan ditahan

Kuala Lumpur: Dua lagi lelaki Pakistan ditahan polis, kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam beberapa siri penculikan di ibu kota termasuk membabitkan kes seorang guru kanan sebuah sekolah menengah pada November lalu.

Penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan ini enam orang dan mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun terbabit dipercayai aktif melakukan jenayah culik sejak setahun lalu.
Kumpulan penjenayah Mat Karpet itu dilaporkan menggunakan Facebook (FB) untuk menjerat mangsa berjumpa sebelum melakukan penculikan.

 

Menurut sumber, dua suspek terbaru yang berusia 30-an itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sebuah rumah di Brickfields, di sini, kira-kira jam 7 malam.
Sumber itu berkata, dua suspek terbabit diberkas hasil siasatan dilakukan terhadap empat rakan mereka yang ditahan pada Rabu lalu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Pautan terlepas – Metro


Pautan terlepas

Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Mohamad Hairi Azmi Tham

Sungai Siput: “Saya sempat melihat Ismail berpaut pada kayu sebelum dihanyutkan arus deras sungai walaupun cuba memaut tangannya,” kata Mohd Khalish Mohd Khairi, 16, sejurus melihat rakannya, Muhammad Ismail Mazalan, 13, lemas berhampiran Jambatan Victoria, Karai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan lemas ketika memancing bersama empat rakan di pinggir Sungai Perak, di sini.
Mohd Khalish berkata, kejadian berlaku apabila mereka masuk ke dalam sungai untuk mengalihkan kayu besar yang terapung.

 

Menurutnya, Ismail mengajak mereka menarik kayu itu dengan alasan ia boleh dijadikan pangkin untuk mereka berehat di atasnya sambil memancing.
“Kami berpaut pada kayu itu dalam keadaan badan di dalam air. Bagaimanapun, pautan kami terlepas apabila kayu itu tiba-tiba berpusing. “Saya sempat mencapai tangan seorang rakan yang berada di atas kayu itu dan ketika itu saya dapat merasa tangan saya menggenggam tangan Ismail, tapi saya tidak sedar bila pautan saya terlepas,” katanya. Sementara itu, seorang lagi rakan mangsa, Mohamed Noor Hafizz Hasnon, 17, berkata, dia segera menghulurkan tangannya apabila melihat rakannya lemas, namun hanya dapat menyelamatkan Khalish.
“Kejadian berlaku terlalu pantas. Bila kayu besar itu bergerak, mereka berdua terlepas pautan dan terus hanyut. Saya sempat capai tangan Khalish dan menariknya ke atas.

 

“Saya cuba mencari kayu panjang untuk diberikan kepada Ismail, tetapi tidak sempat. Saya nampak tangan dia timbul di permukaan sungai sebelum hilang begitu saja,” katanya.
Menurutnya, Ismail memang bersungguh-sungguh mengajak mereka pergi memancing, semalam.

 

Bapa mangsa, Mazalan Abdul Wahab, 43, reda dengan kejadian yang menimpa anak bongsunya itu walaupun anaknya itu masih belum ditemui.
“Kali terakhir saya bercakap dengannya pada jam 10 pagi tadi (semalam). Dia meminta izin untuk ke Rawang, Selangor bagi menghadiri kenduri rakannya,” katanya.
Ketua Polis Daerah (IPD) Sungai Siput Superintendan Azman Salim berkata, anggota segera menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) bagi membantu mencari mangsa. sehingga jam 6 petang, semalam, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20